Status Islam hak eksklusif Mahkamah Syariah


Bidang kuasa syariah
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
bhnews@bharian.com.my
2010/08/21
Rayuan balu bekas pendaki Everest ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan semalam memutuskan hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan status agama pendaki Everest, Sarjan M Moorthy atau Mohammad Abdullah yang yang penukaran agamanya kepada Islam menimbulkan pertikaian.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Zainun Ali, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Clement Allan Skinner sebulat suara menolak rayuan isteri Moorthy, S Kaliammal dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan ia tiada bidang kuasa mendengar status agama Moorthy.

Kaliammal merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Disember 2005 yang mengetepikan permohonannya bagi perisytiharan bahawa suaminya beragama Hindu dan dikebumikan mengikut upacara agama berkenaan.

Mahkamah Tinggi memutuskan ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan persoalan berhubung status agama Moorthy kerana ia sudah diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah.

Dalam penghakimannya semalam, Zainun berkata, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk menentukan status agama seseorang.

Zainun berkata, andaian bahawa individu bukan Islam dihalang menyaman mahkamah syariah timbul daripada peruntukan yang menyatakan bahawa mahkamah itu tiada bidang kuasa ke atas orang bukan Islam.
“Dalam kes ini, perayu tidak dihalang daripada membuat permohonan di mahkamah syariah untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi bagi membolehkannya (mahkamah syariah) membincangkan isu relevan dan memutuskannya dengan adil mengikut agama dan undang-undang Islam.

“Pada pandangan kami, dalam sistem dwi kehakiman akan ada percanggahan dan mahkamah sivil sedaya upaya cuba meleraikan percanggahan itu dengan membuat interpretasi supaya tiada konflik.

“Jika percanggahan itu tidak boleh diselesaikan, maka niat Perlembagaan Persekutuan ialah penggubal undang-undang mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Dalam rayuannya, Kaliammal yang diwakili peguam M Manoharan menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Kaliammal memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember 2005, bagaimanapun keesokannya MAIWP mendapat perintah ex-parte daripada Mahkamah Syariah bahawa Moorthy sudah memeluk Islam sebelum kematiannya.

Perintah itu juga membenarkan MAIWP mengebumikan Moorthy mengikut agama Islam dan hukum syarak. Beliau dikebumikan pada 28 Disember 2005 di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Gombak, Selangor.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Bidangkuasasyariah/Article

berita berkaitan:


PUTRAJAYA 20 Ogos - Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa pertikaian mengenai status agama seseorang yang diisytiharkan telah memeluk Islam hanya boleh ditentukan secara eksklusif di Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Sivil.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa menyemak dan membatalkan perintah Mahkamah Tinggi Syariah yang mengisytiharkan pendaki Everest, Sarjan M. Moorthy seorang Islam.

Oleh yang demikian, rayuan balunya, S. Kaliammal, 35, agar permohonan semakan kehakiman bagi memperoleh deklarasi bahawa Allahyarham atau nama Islamnya, Mohamad Abdullah masih seorang Hindu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi, ditolak.

Demikian keputusan sebulat suara panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zainun Ali yang bersidang bersama Hakim Datuk Abdul Wahab Patail dan Hakim Datuk Clement Allan Skinner.

Sementara itu, Kaliammal yang hadir bersama anak perempuannya, Theneswary, 13, ketika ditanya pemberita di luar mahkamah berkata, beliau sedih dengan keputusan tersebut.

Hakim Zainun ketika membacakan penghakiman bertulisnya menyatakan, undang-undang sudah mengiktiraf bahawa perselisihan berhubung status agama seseorang Islam merupakan bidang kuasa tunggal Mahkamah Syariah tanpa mengira isu yang dipertikaikan.

Beliau menyatakan, pihak berkuasa bagi agama terlibat lebih layak menentukan sama ada seseorang itu benar-benar penganut agama tersebut atau masih mengamalkan ajarannya.

Namun begitu, panel itu berpendapat, Kaliammal tidak dilarang mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah bagi mengetepikan perintah sebelah pihak secara adil berlandaskan undang-undang syariah.

Panel itu juga sepakat menyatakan bahawa dua sistem kehakiman berbeza yang diamalkan selalunya menimbulkan percanggahan pendapat yang mana mahkamah sivil menggunakan interpretasi tertentu bagi mengelak konflik.

Bagaimanapun, Hakim Zainun menyebut, memilih mahkamah sivil dan mengetepikan mahkamah yang lebih layak mendengarnya bukan merupakan pilihan yang betul.

''Jika percanggahan pendapat itu gagal disatukan, terpulang kepada penggubal undang-undang untuk mengambil jalan penyelesaian terhadap Perlembagaan Persekutuan,'' ujar beliau.

Sementara itu, peguam M. Manoharan yang mengetuai pasukan pembelaan memberitahu pemberita di luar mahkamah, pihaknya akan memfailkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan.

Kaliammal mencabar keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 28 Disember 2005 yang menyatakan, ia tiada bidang kuasa menyemak dan membatalkan perintah Mahkamah Tinggi Syariah yang mengisytiharkan suaminya seorang Islam.

Hakim Datuk Seri Md. Raus Sharif (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) berpendapat, Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa ke atas sebarang perkara yang mana Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa yang diberikan di bawah undang-undang bertulis.

Dengan keputusan itu, Kaliammal gagal mendapatkan deklarasi bahawa suaminya masih penganut Hindu serta tuntutan agar Allahyarham Mohamad dikebumikan menurut adat istiadat agama itu.

Pada 22 Disember 2005, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan pihak yang menjaga jenazah Moorthy supaya menyerahkannya kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dikebumikan segera mengikut agama Islam dan hukum syarak.

Allahyarham disemadikan enam hari kemudian.

Kaliammal dalam rayuannya menamakan MAIWP, Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kerajaan Malaysia selaku responden pertama hingga ketiga.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_05.htm

Comments

Popular Posts