TABUNG DNA MEMBANTU FORENSIK BUANG BAYI


Kes buang bayi di negara ini semakin menjadi-jadi dan serius apabila hampir setiap hari kita mendengar berita berkaitan jenayah yang amat hina tersebut. Perbuatan yang tidak bertamadun dan langsung tiada peri kemanusiaan itu meningkat mendadak lebih 54 peratus sejak Januari sehingga ke hari ini berbanding lapan bulan pertama tahun lepas. Statistik terbaru dikeluarkan oleh Polis menunjukkan terdapat 65 kes buang bayi dilaporkan di seluruh negara sejak awal tahun ini berbanding hanya 42 kes dalam tempoh sama tahun lalu. Ini membuktikan wujudnya kesinambungan yang menakutkan bagi masalah jenayah sosial yang kronik ini.

Sehubungan itu, melihat kepada senario yang semakin parah dan seakan bertukar menjadi barah dalam masyarakat, maka timbul cadangan bijak agar diwujudkan tabung sampel asid deoksiribonukleik (DNA) bagi setiap kelahiran baru di negara ini yang mana kewujudan tabung sampel DNA berkenaan dijangka mampu menjadi mekanisme berkesan dalam rangka membasmi kes pembuangan bayi yang semakin tidak terkawal, di samping membantu pihak berkuasa menangani pelbagai kes jenayah berat lain seperti dilaksanakan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, New Zealand dan Denmark yang mewujudkan akaun tabung sampel DNA untuk semua rakyatnya.

Sementara itu, jenayah pembuangan bayi akan dapat diselesaikan dengan mudah melalui sampel DNA bayi berkenaan yang boleh dianalisis terus dan keputusan ujiannya boleh mengesan kedudukan, latar belakang dan identiti ibu serta bapa biologi bayi berkenaan di mana sahaja mereka berada serta boleh ditangkap untuk dibawa ke muka pengadilan pada bila-bila masa bagi menjalani hukuman yang sewajarnya apabila semua rakyat di negara ini mempunyai akaun serta profil DNA masing-masing yang boleh diakses dengan kebenaran Mahkamah untuk dijadikan rujukan jika terlibat dengan jenayah serius. Kewujudan tabung DNA juga secara tidak langsung boleh menakutkan orang ramai daripada terjebak dengan jenayah berat atau melakukannya.

Ini adalah kewujudan tabung DNA adalah seiring dengan kemajuan sains dan teknologi dunia forensik di mana inovasi ini dilihat mampu menyelesaikan trend jenayah yang semakin kompleks, sofistikated serta bermanfaat kepada pihak berkuasa terutamanya pihak Polis dalam mengesan penjenayah di samping memberi hak dan keadilan kepada suspek dalam sesuatu kes jenayah. Kemudahan tabung DNA juga apabila dilaksanakan mampu membantu pihak mahkamah di negara ini misalnya membuat sesuatu keputusan penghakiman dan hukuman yang lebih adil, tepat dan memuaskan semua pihak walaupun kosnya agak tinggi dan negara juga masih kekurangan tenaga pakar di dalam bidang ini.

Peruntukan seperti yang termaktub di dalam Akta Identifikasi DNA 2009 umpamanya mengkehendaki menyimpan dan menyelenggarakan profil DNA daripada indeks seperti indeks suspek, indeks tempat kejadian jenayah dan indeks orang hilang. Objektif utama Tabung atau bank data DNA sedia ada adalah menyimpan dan menyelenggara indeks ini bagi maksud pengenalpastian manusia berhubung dengan penyiasatan forensik. Profil DNA dan apa-apa maklumat berhubung dengannya yang disimpan dan diselenggarakan dalam tabung atau bank data DNA boleh digunakan untuk membantu dalam penemuan atau pengenalpastian jasad manusia daripada sesuatu bencana dan pengenalpastian orang yang masih hidup atau yang telah mati.

Keputusan DNA yang mempunyai ketetapan hampir 99.9 peratus mampu menjadi mekanisme menyelesaikan pelbagai kes jenayah berat di negara kita di mana melalui kewujudan tabung DNA membolehkan pihak berkuasa mengambil dan menyimpan sampel DNA, menganalisis sampel DNA dan menggunakannya untuk tujuan kemanusiaan dan proses keadilan di mahkamah memandangkan data DNA cukup membantu dalam mengenal pasti identiti jasad manusia, malahan juga haiwan dan sebagainya dalam kejadian seperti malapetaka, bencana alam, kemalangan, kehilangan atau kebakaran serta mangsa dan pesalah jenayah berat di negara kita.

Tabung DNA juga memberi kemudahan kepada pihak berkuasa seperti polis untuk menyimpan profil DNA seseorang suspek untuk dijadikan bahan rujukan bagi tujuan menyelesaikan sesuatu kes jenayah pada masa akan datang. Ini sudah tentu memudahkan pihak berkuasa memandangkan bukti cap jari, gambar dan beberapa kaedah forensik lain masih gagal membantu menangani kes-kes jenayah di negara kita. Dalam perkara yang sama, memang tidak dapat dinafikan bahawa data DNA dan segala maklumat seseorang dapat membantu pihak berkuasa menyelesaikan variasi kes jenayah seperti bunuh, liwat, rogol, sumbang mahram serta lain-lain kes jenayah berat di negara kita.

Kadar kejadian jenayah yang tinggi, begitu juga dengan kompleksitinya memerlukan teknik dan peralatan canggih bagi membantu penyiasatan kes oleh agensi terlibat dengan cepat dan adil. Penggunaan DNA semakin berkembang di seluruh dunia dan mengikut pengalaman perlaksanaan dan kejayaan di negara-negara maju membuktikan banyak kes jenayah di sana dapat diselesaikan dengan cepat dan mudah di mana teknologi ini telah digunakan secara meluas di negara berkenaan sejak tahun 1980-an lagi. Oleh demikian, Malaysia perlu dari masa ke semasa perkemaskan segala peruntukan undang-undang berkenaan DNA melalui undang-undang identifikasi DNA seiring dengan kemajuan forensik.

Kejayaan dalam sesuatu kaedah penyelesaian sesuatu kes jenayah adalah bergantung pada siasatan yang dijalankan dan salah satu mekanisme pendekatan yang efisien dalam mengendalikan kes jenayah berat ialah melalui ujian forensik DNA. Terdapat beberapa kes di Malaysia berjaya diselesaikan menggunakan forensik DNA termasuklah kes-kes berprofil tinggi seperti pembunuhan dan rogol Noor Suzaily Mokhtar pada 2000, kes Canny Ong pada 2003 dan banyak lagi. Secara realistiknya, aplikasi dan teknologi DNA berjaya merungkai bukti prima facie yang diperoleh daripada hasil penyiasatan dan ujian yang dilakukan.

RUJUKAN

Tubuh tabung DNA, Utusan Malaysia, 22 Ogos 2010
Wajibkan sample DNA, Utusan Malaysia, 22 Ogos 2010

Comments

Popular Posts