Tuesday, February 19, 2013

Bon, ekuiti tarik minat pelabur

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Pasaran bon dan ekuiti Malaysia dijangka menarik minat pelabur asing pada tahun ini, sekali gus mengekalkan momentum pertumbuhan pada tahun lalu, menurut penganalisis ekonomi Standard Chartered Bank (StanChart). Perancang Strategi Pelaburan Kanan StanChart (Pengurusan Kekayaan Kumpulan Perbankan Penggunanya), Manpreet Gill berkata, salah satu faktor pemilihan Malaysia sebagai destinasi pelaburan disebabkan kestabilan Ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini. Katanya, Ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar AS pada kadar RM2.90 pada akhir tahun ini. Malah, pihaknya menyarankan keselesaan bagi pelabur asing untuk memilih bon dalam mata wang tempatan Asia (kecuali Yen) dalam tempoh matang jangka panjang berbanding bon dalam mata wang AS. "Kami mencadangkan supaya pelabur mempunyai pilihan untuk memilih pelaburan tempoh matang pendek bagi bon yang menggunakan mata wang dolar AS," katanya dalam sidang media mengenai tinjauan ekonomi 2013 di sini hari ini. Hadir sama pada majlis ialah Ketua Perancang Strategi Pelaburan StanChart (Pengurusan Kekayaan Kumpulan, Perbankan Pengguna), Steve Brice. Sementara itu, mengenai pasaran komoditi dunia, Brice berkata, harga emas akan terus meningkat dan menjadi pilihan pelabur sepanjang tahun ini. Kata beliau, pihaknya menjangkakan harga emas dunia mampu melonjak sehingga AS$1,900 (RM5,700) seaun pada tahun ini. "Bagaimanapun, minyak, besi dan beberapa komoditi lagi tetap menjadi pilihan pelabur dunia kerana terdapat permintaan tinggi berikutan pemulihan ekonomi dunia," ujarnya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130112/ek_01/Bon,-ekuiti-tarik-minat-pelabur#ixzz2LMeFFZXz © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: