Memahami simptom-simptom stress dalam kewangan

DR. MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD - TIADA ada belenggu yang lebih menjerat melainkan apabila seseorang itu hidup berlebih daripada kemampuannya. Asas utama dalam membina kestabilan kewangan adalah untuk berbelanja mengikut kadar kemampuan diri. Namun, dengan trend yang membudayakan hidup berhutang untuk berbelanja, ramai yang gagal pada perkara asas ini. Isu ini biasanya berlaku kepada golongan berpendapatan tengah di mana mereka mempunyai akses kepada kredit dan pada masa sama terpaksa mengimbangkan antara keinginan dan kemampuan. Hidup secara bersederhana wajar menjadi panduan tetapi apabila keinginan menguasai diri, kemudahan kredit yang ada sering disalah guna sehingga menjerumuskan diri ke kancah hutang. Jadi bagaimanakah kita dapat mengetahui kita sebenarnya hidup melebihi kadar kemampuan? Tidak mempunyai tunai mencukupi untuk memenuhi keperluan-keperluan asas adalah petanda terakhir kepada musibah kewangan diri. Namun, terdapat beberapa petanda awal yang perlu kita sedari sebelum musibah di atas melanda. Tidak mempunyai simpanan kecemasan adalah petanda awal yang perlu diambil perhatian. Menabung dengan sikit-sikit lama-lama menjadi bukit itu sesuatu yang hambar, tetapi ia bukanlah sesuatu yang kompleks untuk dilaksanakan. Pun begitu, masih ramai kecundang dalam perkara ini. Berapa banyakkah jumlah untuk simpanan kecemasan? Mempunyai simpanan sebanyak tiga bulan kadar perbelanjaan adalah sesuatu yang munasabah, manakala mempunyai simpanan enam bulan kadar perbelanjaan adalah sesuatu yang ideal. Bayangkan sekiranya anda hilang pekerjaan, selama manakah anda dapat menampung gaya hidup sekarang? Maka, kegagalan untuk menyimpan sedikit dari jumlah pendapatan merupakan antara petanda kepada musibah kewangan yang bakal menanti. Petanda seterusnya adalah apabila bayaran hutang rumah lebih daripada jumlah pendapatan seminggu. Misalnya, seseorang yang mempunyai pendapatan bulanan RM4,000, peruntukan hutang rumah sewajarnya tidak lebih dari RM1,000. Jika lebih, stress kewangan akan meningkat berikutan desakan untuk memenuhi keperluan-keperluan lain. Jumlah baki kad kredit kekal sama dengan tahun lepas merupakan petanda stress kewangan yang berikutnya. Jika jumlahnya terus meningkat dari bulan ke bulan, seseorang itu sudah terjerumus dalam krisis kewangan. Ini merupakan petanda stress kewangan yang penting kerana hutang kad kredit adalah mahal dan melibatkan perbelanjaan gaya hidup seperti percutian. Tidak seperti hutang rumah yang boleh meningkatkan ekuiti seseorang, hutang kad kredit biasanya melibatkan perbelanjaan untuk sesuatu yang kurang produktif. Petanda stress kewangan seterusnya ialah apabila seseorang itu membeli barangan yang mahal melalui tawaran pembiayaan tanpa faedah dengan harapan dia mampu melunaskannya nanti. Sama ada tawaran ini melibatkan beli sekarang dan bayar tanpa faedah sehingga tahun depan; atau; tiada bayaran bulanan selama enam bulan;, meskipun menarik tetapi boleh memerangkap. Masalah biasanya bermula apabila seseorang itu gagal melunaskan bayaran penuh mengikut masa ditentukan. Caj riba yang dikenakan biasanya tinggi serta menjadi lumrah di mana caj dikira bermula dari tarikh pembelian mula dibuat. Petanda yang berikutnya ialah apabila seseorang itu menggunakan satu kredit kad untuk membuat bayaran kad kredit yang lain melalui pemindahan baki. Ya, pemindahan baki dapat mengurangkan beban caj yang dikenakan tetapi jika pindahan baki dibuat untuk meningkatkan had siling hutang, itu adalah petanda yang tidak sihat. Petanda yang terakhir ialah apabila seseorang itu berfikir: ''Aku tidak sepatutnya membeli barangan ini tetapi ...; Cara fikir sebeginilah yang sering memerangkap diri sendiri. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130212/ek_04/Memahami-simptom-simptom-stress-dalam-kewangan#ixzz2LMfr8iYO © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts