Misi Akta Halal masih jauh

Oleh DR. AHMAD HIDAYAT BUANG - AKTA atau Undang-undang Halal yang diuar-uarkan dalam media cetak dan elektronik sebagai mendapat kelulusan Kabinet dan sebagainya tidaklah semudah sebagaimana yang digambarkan. Perbincangan yang dianjurkan oleh Bahagian Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyerlahkan beberapa masalah dasar yang masih belum dapat diselesaikan. Cadangan akta ini adalah untuk menyelaraskan semua peruntukan undang-undang berkaitan urusan halal dan memberi Jakim kuasa perundangan berkaitan halal terutama dari segi pengeluaran sijil halal, pemantauan dan penguatkuasaan. Perkara pokok yang dijelaskan menghalang pelaksanaan cadangan Akta Halal ini nampaknya masih berkait rapat dengan persoalan kuasa negeri khususnya dalam perkara agama Islam sebagaimana yang ditetapkan Perlembagaan. Memandangkan cadangan Akta Halal ditafsirkan sebagai perkara yang berkaitan agama Islam maka ia terletak di bawah bidang kuasa negeri dan oleh itu Parlimen tidak berhak untuk membuat undang-undang yang berkaitan dengannya. Hujah untuk menyamakan perkara halal ini dengan kewangan dan perbankan Islam pun tidak dapat diterima, memandangkan perkara mengenai perniagaan dan perbankan memang jelas diperuntukkan dalam Perlembagaan terletak di bawah senarai Persekutuan. Begitu juga alasan untuk menyamakan dengan urusan tanah tidak dapat diterima kerana terdapat peruntukan dalam Perlembagaan yang berkaitan penyelarasan pentadbiran tanah. Oleh yang demikian mengapa tidak dibiarkan sahaja urusan halal ini ditangani oleh pihak negeri, tanpa campur tangan Kerajaan Persekutuan. Mengapa pihak Jakim perlu bersusah payah mahu mencadangkan satu undang-undang atau akta yang jelas sukar untuk dilaksanakan? Jikalau dalam perkara-perkara lain seperti Mahkamah Syariah, perkahwinan, perceraian, wakaf, zakat, baitulmal, fatwa dan lain-lain boleh diuruskan oleh pihak negeri sebagaimana biasa mengapa tidak pula urusan halal? Bahkan mengikut pengamatan penulis, sudah ada pun peruntukan mengenai makanan halal di dalam undang-undang negeri terutamanya Enakmen Jenayah Syariah. Daripada segi fatwa pula sudah banyak pandangan dan nasihat agama dikeluarkan mengenai perkara halal. Tambahan pula pihak negeri sendiripun mahu menguruskan perkara halal sebagaimana dengan kewujudan sijil-sijil halal negeri. Jawapan kepada persoalan ini harus dilihat dari segi keberkesanan undang-undang. Sudah banyak rungutan mengenai urusan pentadbiran agama Islam di Malaysia akibat kepelbagaian dari segi undang-undang, pentadbiran, proses dan amalan. Sungguhpun perkara ini telah di atasi namun masih terdapat beberapa perkara yang kerap kali dibangkitkan di media massa. Jika dilihat secara kos-efektif dan keberkesanan pentadbiran sudah tentulah perkara ini adalah lebih baik jika ditadbir secara bersepadu dan terselaras. Namun begitu realiti undang-undang dan institusi yang diwarisi sejak dari dahulu menjadikan urusan agama itu diuruskan secara tersendiri oleh negeri-negeri. Mungkin ada kebaikan atau keunikan tertentu di dalam sistem yang diamalkan kini. Itu tidak dapat dinafikan. Sungguhpun demikian, akibat perubahan masa terdapat perbezaan dalam urusan halal ini dengan urusan keagamaan lain. Jika pada masa dahulu urusan halal dan haram adalah perkara keperluan persendirian umat Islam, namun kini ia sudah menjadi satu industri, satu bentuk perniagaan multinasional dan internasional. Urusannya lebih hampir kepada industri kewangan Islam. Oleh yang demikian meletakkan urusan halal dalam situasi masa dahulu mungkin akan menjejas keberkesanan urusannya dari segi proses, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang. Berbeza dengan urusan agama lain, urusan halal ini sejak dari dahulu lagi diuruskan oleh Jakim kerana melibatkan agensi-agensi kerajaan lain terutama dalam perkara import dan eksport. Apatah lagi untuk melindungi kemaslahatan masyarakat Islam daripada penyelewengan dan penyalahgunaan logo halal oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh yang demikian mahu tidak mahu urusan halal ini perlu ditangani oleh satu pihak di peringkat Pusat, khususnya apabila melibatkan pihak badan perniagaan yang bersifat merentas sempadan negeri-negeri dan antarabangsa. Memang tidak dinafikan bahawa pada masa kini pihak Jakim bagi pihak Kerajaan Pusat telah diberi tanggungjawab bagi menguruskan urusan halal seperti pengeluaran sijil dan penguatkuasaan logo halal. Namun tanggungjawab ini hanya berpunca daripada arahan eksekutif dan bukan daripada kuasa undang-undang melalui akta tertentu. Ini kerana urusan produk dan makanan halal di Malaysia melibatkan beberapa agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) dan pihak kerajaan tempatan. Kementerian-kementerian dan jabatan ini mempunyai kuasa melalui akta mereka bagi menjalankan tanggungjawab dan fungsi masing-masing. Oleh demikian Akta Halal ini boleh memberikan Jakim kuasa undang-undang yang dikehendakinya menjalankan fungsi dan tanggungjawabnya dalam urusan halal. Memang tidak dapat dinafikan kerjasama yang erat diberikan oleh agensi kerajaan lain kepada Jakim untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam perkara halal. Sebagai contoh Akta Perihal Dagangan 2011 yang diluluskan baru-baru ini telah mengiktiraf penggunaan logo halal Jakim dan Majlis Agama Islam negeri sebagai logo halal yang boleh dipamerkan oleh badan perniagaan. Begitu juga kakitangan Jakim dilantik sebagai pegawai penguat kuasa di bawah Akta berkenaan. Namun begitu Akta diletakkan di bawah KPDNKK. Perlembagaan Malaysia telah digubal sejak 50 tahun lalu. Dalam tempoh masa itu kita melihat banyak pindaan dibuat kepada Perlembagaan. Tujuan pindaan ini dibuat adalah bagi menyesuaikan Perlembagaan berkenaan dengan perkembangan semasa. Sebagai contoh utama ialah pindaan kepada perkara 121 (1A) Perlembagaan Malaysia pada 1988 terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar kes-kes yang berkaitan dengan undang-undang Islam secara eksklusif. Kita melihat selepas pindaan ini Mahkamah Syariah berkembang menjadi institusi agama Islam yang mantap dan kukuh. Persoalan halal haram dalam kerangka Perlembagaan mungkin sesuai pada masa dahulu. Dengan perkembangan perniagaan dan industri halal pada masa kini kerangka ini mungkin lagi tidak sesuai. Ramai pihak kurang selesa dengan pendekatan pindaan Perlembagaan ini bagi membolehkan penggubalan Akta Halal kerana melibatkan banyak perkara yang sensitif dan seterusnya menjadikan usaha yang murni ini sesuatu yang sukar terutama dalam keadaan politik semasa yang tidak menentu. Namun begitu didapati banyak perkara berkaitan kemaslahatan umat Islam di Malaysia pada hari ini nampaknya bukan dihalang oleh kehendak masyarakat atau rakyat, dan bukan juga oleh pengaruh politik atau pemerintahan, tetapi halangannya banyak kepada aspek-aspek kuasa dan teknikal perundangan serta pentadbiran. Jika dilihat kepada pengalaman negara-negara Islam lain yang cuba untuk melaksanakan prinsip-prinsip Syariah dalam pemerintahan dan pentadbiran negara, kegagalan berlaku bukan kerana tiada kehendak atau peruntukan undang-undang, namun berpunca daripada kekurangan kepakaran dalam sistem pentadbiran yang menyokong usaha-usaha itu. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130117/re_02/Misi-Akta-Halal-masih-jauh#ixzz2LMdX9DLS © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts