Harta pusaka tertunggak RM52b

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Sebanyak RM52 bilion nilai harta pusaka tertunggak dengan majoritinya milik orang Islam gagal diwariskan kepada individu yang berhak di seluruh negara. Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Seminar Hibah Peringkat Kebangsaan 2013, Ariffin Sabirin berkata, hasil anggaran industri perancangan harta pusaka di negara ini, jumlah tersebut meningkat daripada RM40 bilion pada 2007 dan semakin bertambah ekoran peningkatan nilai hartanah serta kes tuntutan harta pusaka yang semakin banyak. Jelasnya, jumlah tinggi itu juga ekoran sebahagian besar umat Islam ketika ini tidak memahami isu perwarisan harta dengan baik hingga membawa kepada perbalahan antara waris. Katanya, umat Islam sering terkeliru kerana menyangkakan wasiat adalah instrumen terbaik membahagikan harta. Sedangkan tambah beliau, wasiat mempunyai kekangan tertentu bagi umat Islam dan tidak efektif bagi melaksanakan hasrat pembahagian harta kecuali kepada bukan waris pada takat maksimum satu pertiga. "Namun menerusi hibah iaitu salah satu daripada instrumen perancangan harta di dalam Islam, masalah perbalahan antara waris ini dapat diatasi kerana tuan punya harta dapat menentukan dengan tepat siapakah yang akan mewarisi hartanya serta formula agihannya. "Sehubungan itu, orang Islam yang jatuh di bawah struktur faraid kritikal seperti pasangan Islam yang tidak mempunyai anak atau yang mempunyai anak perempuan sahaja ataupun pasangan yang mempunyai anak angkat, mereka perlu memahami dan menggunakan instrumen hibah ini bagi mengelakkan masalah harta pusaka dalam kalangan waris," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Hibah Peringkat Kebangsaan 2013 di Dewan Auditorium Institut Sosial Malaysia di sini hari ini. Majlis tersebut disempurnakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan dihadiri lebih 200 peserta terdiri daripada pegawai-pegawai pesaka kecil seluruh negara, perunding kewangan, imam dan nazir masjid serta wakil majlis agama Islam negeri. Dalam pada itu, beliau yang juga Penasihat Kumpulan Syarikat Wassiyyah Shoppe memberitahu, Wasiyyah Shoppe Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat yang berkecimpung dalam industri perancangan harta pusaka secara syariah kini merupakan penyedia dokumen hibah terbanyak di negara ini. "Sejak 2004, sebanyak 5,000 dokumen hibah disediakan manakala lebih 120 perintah pengesahan hibah berjaya diperoleh daripada mahkamah syariah seluruh negara. "Malah sehingga 31 Disember tahun lalu, nilai harta hibah milik pelanggan yang bakal diuruskan Wasiyyah Shoppe Sdn. Bhd. adalah sebanyak RM1.2 bilion," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130217/dn_17/Harta-pusaka-tertunggak-RM52b#ixzz2LMes6iwz © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts