DEMONSTRASI TAKUTKAN PELABUR DAN PELANCONG

Demontrasi jalanan, mogok atau apa sahaja bentuk perhimpunan haram yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu adalah sesuatu tindakan primitif, mundur ke belakang, tidak bijak; merupakan sesuatu yang tidak ingin dilihat berlaku di negara kita. Ini adalah kerana tindakan ini adalah aktiviti yang sangat tidak sihat dan memberi impak negatif kepada negara dan seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun perkara sedemikian kerap berlaku di negara maju lain dan mendapat sambutan hebat bukanlah bermakna ianya wajar dipraktikkan di negara kita, tambahan pula ianya turut membelakangkan etika dan budaya timur serta menyalahi aspirasi agama. Lagipun demonstrasi di sana berlaku dalam keadaan aman, teratur dan mendapat permit dari kerajaan serta jarang berlaku rusuhan dan keganasan.

Banyak lagi kaedah dan cara untuk menarik perhatian kerajaan serta menyampaikan sesuatu hasrat di mana demonstrasi, mogok dan perhimpunan haram bukanlah jalan atau langkah terakhir penyelesaian. Di samping itu, tindakan ini dilihat tidak beretika dan primitif, di mana ianya juga turut memberi kesan kepada struktur ekonomi, politik dan sosial negara. Imej dan integriti kerajaan akan menjadi topik hangat masyarakat dunia jika perhimpunan seperti ini dibiarkan terus berleluasa.

Masyarakat tempatan juga menjadi bimbang, takut dan rasa tidak selamat melihat kepada perkembangan terbaru yang berlaku sejak kebelakangan ini. Pelbagai spekulasi, kontroversi, tribulasi dan andaian dibuat yang boleh memburukkan lagi perpaduan dan ketenteraman awam di dalam negara. Bibit-bibit perpecahan, perkauman dan prejudis dikhuatiri mula berputik jika golongan pelampau ini terus berdegil dengan agenda misteri mereka.

Impak ini juga turut dirasai oleh para pelajar antarabangsa yang ingin menyambung belajar di universiti awam dan swasta tempatan, di samping pelajar luar negara sedia ada juga turut menerima kesan negatif ini yang sedikit sebanyak boleh merubah persepsi mereka kepada Malaysia dan sistem pendidikannya. Negara juga bakal kehilangan tenaga pakar dan mahir dari dalam dan luar negara jika aktiviti ini tidak dipantau sewajrnya. Walaupun apa yang berlaku tidaklah seteruk di negara luar, namun kita tidak boleh membiarkannya merosakkan kestabilan, keharmonian dan toleransi kaum di negara kita.
Pesakit luar negara yang ingin mendapatkan rawatan di dalam negara juga boleh menjadi takut dan bimbang hal keadaan mereka di sini. Ini sudah tentu menyebabkan hospital dan pusat rawatan ternama kelas pertama negara akan kehilangan pelanggan bernilai mereka jika perkara ini tidak dibendung segera. Pihak berkuasa tidak boleh berkompromi dalam hal ini dan individu yang terbabit dan masih terlepas perlu dibawa ke muka pengadilan.
Lebih-lebih lagi pelancong dalam dan luar negara yang sejak awal-awal lagi membuat tempahan dan merancang bertandang ke negara kita turut terpengaruh dengan situasi yang berlaku. Situasi yang berlaku dan kontroversi yang direka oleh pihak-pihak yang berniat jahat boleh menghilangkan mood mereka untuk datang ke negara kita. Seperti mana yang kita sedia maklum, pelancongan adalah industri ketiga terpenting selepas petroleum dan perkilangan dengan anggaran pendapatan pada tahun 2007 sebanyak RM44.5 bilion.

Dengan promosi dan kempen agresif Kementerian Pelancong menjual nama negara di luar negara dengan tema Malaysia Truly Asia, yang menggambarkan masyarakat majmuknya hidup aman damai dan bersatu padu. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya dan akibatnya ramai pelancong yang sudah membatalkan tempahan dan mula tawar hati melancong ke Malaysia.
Tambahan pula media massa barat yang sentiasa bersikap prejudis kepada Malaysia telah membayang negara ini berada dalam keadaan tidak terkawal, wujudnya huru hara, konflik kaum dan sebagainya, lebih memburukkan lagi imej dan nama baik negara di mata dunia. Keadaan menjadi lebih serius apabila ada rakyat Malaysia sendiri yang terhegeh-hegeh ke luar negara dan memburuk-buruk negara mereka sendiri serta memohon bantuan luar untuk campurtangan di sini.

Keadaan yang berlaku dan semakin kronik ini sudah tentu boleh memberi kesan besar kepada industri pelancongan negara, yang secara tidak langsung turut mengancam sektor peruncitan, perhotelan, percutian, industri kecil dan sederhana (IKS), industri desa, pengusaha homestay, kraftangan dan sebagainya. Jika keadaan dibiarkan terus berlaku serta tidak dijawab segala tohmahan pengkhianat negara ini, maka orang ramai yang terlibat secara langsung di dalam industri ini akan menjadi mangsanya.
Lebih malang lagi ialah situasi yang berlaku dan gambaran negatif media barat turut menyebabkan para pelabur yang berpotensi untuk menanam modal di Malaysia menangguhkan hasrat mereka. Ini adalah kerana mereka lebih rela mencari destinasi pelaburan dan perdagangan yang lebih selamat, aman dan tanpa sebarang gangguan dari dalam dan luar negara. Buktinya negeri maju pertama negara, Selangor turut mengalami kesan buruk daripada aktiviti tidak sihat ini di mana banyak peluang pelaburan luar negara terlepas tangan dan gagal di bawa masuk ke dalam negeri.

Kepada pemimpin politik, NGO atau siapa sahaja yang begitu berminat dan beria-ria menganjurkan road show, demontrasi jalanan, mogok dan sebagainya perlu merenung kembali kesan buruk kepada penganjuran tersebut serta mereka wajar utamakan kepentingan negara dan masyarakat awam berbanding kepentingan peribadi dan kumpulan tertentu sahaja.

Kerjasama dan budibicara pemimpin ini amatlah diharapkan dan rakyat juga dinasihatkan agar menghindari sebarang perhimpunan haram dan tidak sewenang-wenangnya mengikut sahaja telunjuk songsang pemimpin mereka. Jika rakyat bijak bertindak dan memilih untuk tidak menyertai perhimpunan haram ini, maka sudah tentu gejala tidak sihat ini dapat dihentikan segera. Oleh itu, rakyat mempunyai pilihan mutlak dan kuasa penuh dalam perkara ini.
Rujukan:
Perhimpunan Haram Jejas Pelancongan, Utusan Malaysia, 15 Disember 2007
Demontrasi Takutkan Pelancong, Berita Harian, 15 Disember 2007

Comments

so to speak.... said…
Sofee,

Artikel berkaitan demonstrasi jalanan agak dangkal bunyinya. Aspek ekonomi terlampau diberi penekanan, sedangkan aspek hak asasi manusia seolah2 dilupakan.

Persoalannya, kenapa berlakunya demonstrasi jalanan? Tak kelihatan kupasan seimbang berkaitan dengan hal ni.

Demonstrasi jalanan bukan membawa maksud kita mundur ke belakang. Ia satu lambang ekspresi setelah segala ruang atau saluran yang ada disekat oleh pemerintah yang tidak demokratik. Secara jujurnya, bolehkah saudara mengatakan dengan penuh yakin bahawa negara kita benar2 negara demokrasi seperti yang dilaung2kan?

Demonstrasi jalanan luar negara dikatakan mendapat permit. Adakah saudara mempunyai fakta sahih berkaitan hal permit ini? Sebagai negara demokrasi, rakyat berhak bersuara dan berhimpun untuk bersuara. Tidak perlu permit sebenarnya...kenapa perlu ada permit untuk berhimpun dan bersuara?

Berkaitan demonstrasi dan pelaburan, Malaysia sudah jauh ketinggalan berbanding negara2 jiran dari segi pelaburan. Adakah demonstrasi penyumbangnya? Ataupun ia lebih kepada ketidakyakinan pelabur kerana isu rasuah yang semakin menjalar, isu birokrasi yang berpanjangan, isu ketidakcekapan jentera kerajaan, isu badan kehakiman yang dilihat mengikut telunjuk eksekutif?

Sebagai contoh, sekiranya anda tidak sukakan dasar Israel di Palestin, tidakkan demonstrasi cara terbaik menyuarakan rasa amarah anda tentang kekejaman Israel di sana? Ataupun anda mungkin lebih suka untuk berdiam diri (dan tidur)....

Saya mengharapkan analisis yang lebih seimbang dengan hujah yang mantap, seperti yang disuarakan prof agus. Nampaknya anda gagal di sini...
terima kasih, komen saudara sangat baik dan betul sekali berdasarkan kepada realiti semasa. mungkin artikel berkenaan bersifat emosional dan kurang kajian mendalam.

Popular Posts