SARINGAN UJIAN HIV DEMI KEBAHAGIAAN PASANGAN


Alam perkahwinan adalah episod kehidupan yang unik, seronok dan membahagiakan setiap pasangan suami dan isteri. Keindahan dan kebahagiaan hidup berpasangan yang diikat dengan tali perkahwinan ini bukanlah satu kebetulan tetapi memerlukan perancangan dan persediaan yang berterusan, bermula sejak awal proses perkahwinan lagi.

Dalam hal ini, agama menganjurkan setiap individu memilih pasangan yang terbaik dan ideal untuk menjadi teman sehidup dan semati agar tidak menyesal di kemudian hari. Memilih teman hidup bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan kerana impian dan wawasan hidup berumahtangga yang ingin dibina adalah untuk berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Perkahwinan sebenarnya adalah tuntutan agama dan adalah perbuatan terpuji, maka pasangan yang ingin dijadikan teman hidup mestilah yang paling unggul baik dari segi lahiriah, rohaniah dan jasmaniah. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “…sesungguhnya generasi yang paling baik yang kamu pilih untuk bekerja ialah generasi yang kuat lagi dapat dipercayai” (Surah al-Qashash : 26)

Bagi menyediakan garis panduan, persediaan, tunjuk ajar dan didikan di alam perkahwinan, pihak kerajaan agensi agama di seluruh negara kita telah menyediakan dan mewajibkan setiap pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan mengikuti kursus intensif pra perkahwinan di tempat masing-masing sebagai persiapan awal sebelum mereka dibenarkan bernikah.

Ini adalah bagi memastikan kedua-dua bakal suami dan isteri bersedia melangkah ke alam rumahtangga yang akan dibina nanti dengan bekalan ilmu perkahwinan, memahami hak dan tanggungjawab suami isteri, mengaplikasikan petua kebahagiaan rumahtangga, melaksanakan segala tuntutan dan menurut batasan agama yang perlu dipatuhi dan sebagainya.

Sehubungan itu, untuk memastikan setiap pasangan di negara ini selamat, sihat serta bebas penyakit berisiko tinggi, maka mulai tahun hadapan semua bakal pengantin yang beragama Islam akan diwajibkan menjalani ujian saringan Human Immunodeficiency Virus (HIV). Peraturan dan arahan ini akan dikuatkuasakan di seluruh negara di mana saringan itu adalah sebahagian daripada syarat utama kursus pra perkahwinan.

Langkah itu selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan jangkitan HIV terutamanya kepada wanita yang kini menunjukkan peningkatan mendadak dari masa ke semasa sehingga mencapai 16.38 peratus pada 2007 dan sepanjang enam bulan pertama 2008, peratusan ini berada pada 18.57 peratus. Keadaan ini sangat menakutkan dan memerlukan perhatian serius semua pihak termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Inisiatif ujian ini bukanlah bertujuan untuk menyekat hak, kepentingan dan kehendak setiap pasangan berkahwin. Langkah ini juga bukanlah merupakan salah satu bentuk diskriminasi atau penganiayaan kepada pasangan yang ingin berumahtangga di negara kita. Peraturan baru ini membuktikan komitmen semua pihak di negara kita berusaha mencegah virus berbahaya ini daripada teruk merebak kepada insan yang tidak berdosa.

Kajian yang dijalankan mendapati hanya 19 peratus rakyat Malaysia menjalani ujian dengan aktif, manakala 14 peratus lagi hanya berbuat demikian selepas mengetahui pasangan mereka positif HIV. Secara positifnya, melalui ujian saringan ini akan memudahkan setiap pasangan mengetahui tahap kesihatan dan status HIV pasangan masing-masing lebih awal lagi.

Biarpun begitu, selepas keputusan ujian dikeluarkan maka terpulanglah kepada pasangan tersebut sama ada ingin meneruskan hubungan perkahwinan atau sebaliknya, melihat kepada implikasi dan kesannya pada masa akan datang. Seseorang yang dijangkiti HIV hanya akan menghidap AIDS apabila sistem imuniti badan (sel darah putih) telah teruk dirosakkan virus tersebut, sehingga tidak dapat menentang jangkitan kuman biasa mahupun ketumbuhan (tumor).

Oleh itu, ujian ini amat penting kepada masa hadapan bakal pengantin dan keputusan yang diperolehi kelak tidak boleh dirahsiakan jika salah seorang menjadi pengidap virus berbahaya itu. Saringan ujian ini tidak akan memprejudiskan mana-mana pihak kerana perkara ini amat mustahak bagi memastikan tidak berlaku sebarang bentuk jangkitan HIV kepada pasangan dan anak yang bakal dilahirkan nanti.

Kita juga bimbang generasi modal insan yang akan lahir nanti adalah di kalangan mereka yang lemah dan mundur jika dijangkiti HIV positif dan langkah pencegahan tidak dilaksanakan segera. Dalam al-Quran, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka generasi yang lemah… “ (Surah an-Nisa : 9)

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Kementerian Kesihatan menganggarkan terdapat 8,000 hingga 10,000 kanak-kanak yatim AIDS di Malaysia pada 2006 dan jumlah ini mungkin meningkat sehingga hari ini. Sementara itu di peringkat global, sebanyak 0.63 juta kanak-kanak baru dikesan mendapat HIV, manakala 2.1 juta kanak-kanak hidup dengan HIV dan 15 juta pula adalah anak-anak yatim.

Pepatah Arab ada mengatakan bahawa "Alwiqayah khairum minal ilaj", atau "mencegah lebih baik dari mengubat", manakala dalam pepatah Melayu ada menasihatkan agar “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna” adalah sangat tepat dan relevan kepada isu HIV ini daripada terus merebak dan menjangkiti orang lain di negara kita melalui perkahwinan. Daripada segi kumulatif, bilangan jangkitan HIV setakat ini ialah sebanyak 83,527 orang.

Sebelum ini, hanya beberapa negeri sahaja yang mewajibkan bakal pengantin yang ingin melangsungkan perkahwinan perlu menjalani saringan ujian HIV dan antara negeri yang telah mewajibkan saringan HIV ialah Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Selangor dan Kelantan. Oleh yang demikian, selepas ini semua pasangan yang ingin berkahwin perlulah melalui ujian yang sangat penting ini sebelum boleh bergelar suami dan isteri.

Rujukan
Saringan HIV untuk semua bakal pengantin Islam–Najib, Utusan Malaysia, 19 Disember 2008
AIDS bukan lagi hukuman maut, Utusan Malaysia, 9 Disember 2008
Kanak-kanak HIV cenderung jadi golongan terbiar, Utusan Malaysia, 2 Disember 2008
Cabaran menjaga anak HIV/AIDS, Utusan Malaysia, 2 Disember 2008
Mampu kekal sihat dan cergas, Mingguan Malaysia, 30 November 2008

Comments

Popular Posts