SAUDARA MARA PENERIMA RASUAH AKAN DIDAKWA


Islam melarang dan mengutuk pemberi dan penerima serta siapa sahaja yang terlibat di dalam aktiviti tidak bermoral dan sihat berkenaan. Ini adalah kerana amalan rasuah dalam apa jua keadaan adalah jenayah dan kian menjadi barah dalam masyarakat yang perlu diubati segera. Al-Quran menegaskan: “Dan janganlah kamu memakan (mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”. (Surah al-Baqarah: 188).

Amalan rasuah juga umpama serangan anai-anai yang boleh meruntuhkan sebuah bangunan dan begitulah juga rasuah boleh menjahanamkan sebuah negara jika usaha menanganinya tidak diperkemaskan. Nabi Muhammad s.a.w. secara tegas menyatakan: "Penerima dan pemberi rasuah akan ditempatkan dalam api neraka" (Hadis Riwayat At-Tirmizi). Manakala dalam hadis yang lain pula, Rasulullah s.a.w mengisyaratkan bahawa perbuatan rasuah amat keras dikutuk Allah: "Allah s.w.t. melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya" (Hadis Riwayat Ahmad).

Oleh yang demikian, melihat kepada bahaya rasuah dan akibat perbuatan tersebut maka satu undang-undang baru telah digubal bagi membolehkan saudara mara yang terbabit atau bersubahat dengan penerima rasuah selepas ini akan menerima tindakan dan nasib yang sama dengan orang yang dituduh berdasarkan peluasan tafsiran ‘saudara’ dalam Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan hukaman ini adalah selaras dengan tuntutan al-Quran dan Hadis yang menjadi sandaran utama perundangan Islam.

Berdasarkan undang-undang yang telah diluluskan di Parlimen itu, tafsiran bagi ‘saudara’ telah diperluaskan merangkumi isteri atau suami penerima rasuah, adik, kakak atau abang; adik, abang atau kakak isteri atau suami orang itu; bapa saudara, emak saudara, sepupu atau menantu penerima rasuah, berbanding tafsiran dalam Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997. Ini adalah bagi memastikan sesiapa sahaja yang terlibat dan bersubahat dengan penerima rasuah tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

Ini adalah kerana penerima rasuah kini semakin bijak, cermat serta mahir dengan pelbagai tipu helah untuk menerima pemberian rasuah. Terdapat di kalangan pengamal rasuah yang sanggup mengunakan akaun bank saudara mara terdekat umpamanya untuk menerima dan mendepositkan wang rasuah yang diberi oleh pemberi rasuah. Mereka tidak lagi menggunakan akaun peribadi atau menerima bayaran tunai jika melibatkan pemberian wang bagi mengelak perbuatan mereka dapat dikesan oleh pihak bertanggungjawab.

Manakala bagi penerima rasuah yang menerima selain wang seperti pemberian tanah, kenderaan dan lain-lain misalnya, mereka akan segera menukar hakmilik kepada saudara mara terdekat bagi mengelabukan mata pihak berkuasa. Mereka seolah-olah lupa serta alpa dengan hukum tuhan dan sistem perundangan yang ada sehingga tergamak melakukan rasuah. Dalam al-Quran, Allah s.w.t menyatakan yang mafhumnya: “ Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)...” ( Surah al-Ma’idah: 42).

Maka saudara mara penerima rasuah perlulah lebih berhati-hati kerana mereka juga boleh didakwa dan dibawa ke mahkamah untuk diadili didapati terlibat dengan rasuah. Penalti bagi kesalahan rasuah di bawah fasal SPRM ialah penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi. Ini belum lagi hukuman yang bakal diterima di akhirat kelak. Untuk itu, umat Islam perlu membebaskan diri dan segala aktiviti harian daripada budaya rasuah merasuah.

Sehubungan itu juga , saudara mara terdekat penerima rasuah sepatutnya perlu menasihati orang tersayang agar tidak terbabit dengan amalan rasuah dan segera menjauhinya. Adalah tidak wajar terjerumus dan bersubahat dengan penerima rasuah hanya kerana untuk mendapat sedikit habuan yang tidak halal di sisi agama itu. Sebagaimana penegasan Allah dalam Al-Quran: “Tidak ada kesamaan di antara perbuatan yang baik dan yang buruk. Yang buruk mestilah ditegah dengan cara yang baik “. (Surah al-Fussilat: 34).

Mereka sepatutnya bertindak melarang, menghalang atau melaporkan aktiviti rasuah kepada pihak berkuasa jika berlaku kerana mereka boleh melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana penerima rasuah di kalangan saudara mara terdekat hidup senang lenang tanpa bekerja kuat. Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka. (Surah al-Tahrim: 6). Oleh itu, saudara mara penerima rasuah perlu mengelak daripada bersubahat dengan mereka atau menasihati mereka balik ke pangkal jalan agar tidak dihadap ke muka pengadilan kelak.

Namun begitu, perlu ditegaskan bahawa tidak semua penerima rasuah hanya terdiri daripada kalangan mereka yang bergaji kecil serta berpangkat rendah sahaja, malahan turut melibatkan mereka yang terlibat di dalam dunia politik, ahli perniagaan atau siapa sahaja dan sebagainya bahkan jumlah rasuahnya lebih lumayan serta modus operandinya lebih kompleks dan sukar dihidu. Walaupun pelbagai taktik dan modus operandi dikatakan biasa berlaku untuk mengelak daripada diambil tindakan, pihak berkuasa sebenarnya sudah maklum dan bersedia di mana pada bila-bila masa sahaja boleh bertindak bagi memastikan misi sifar rasuah berjaya direalisasikan di negara kita. .

Rujukan

Mohd. Sukki Othman, 2007. Hidup berkat tanpa rasuah. Utusan Malaysia, 19 November
Mentua, menantu boleh didakwa, Berita Harian, 16 Disember 2008
Saudara turut didakwa, Utusan Malaysia, 16 Disember 2008
Basmi rasuah dengan merasuah?, Utusan Malaysia, 25 Mei 2008

Comments

Popular Posts