MEMBACA PRA SYARAT NEGARA MAJU
Lautan pengunjung dan ulat buku yang hadir di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang dijangka bakal mencecah sasaran 2.5 juta pelawat tahun ini iaitu hampir 10 peratus populasi penduduk Malaysia membuktikan rakyat negara ini sememang masyarakat yang cintakan buku dan perkembangan ini mampu memberi impak positif kepada industri dan pasaran buku dalam memupuk minat membaca yang tinggi di samping menjadi momentum penting kepada tahap literasi negara pada masa hadapan.
Ini dikuatkan lagi dengan perangkaan terkini Jabatan Statistik Negara 2008 bahawa kadar literasi atau celik huruf rakyat Malaysia adalah tinggi berbanding negara Asia Tenggara lain dan usaha berterusan perlu ditingkatkan lagi bagi meningkatkan lagi kadar literasi rakyat agar setanding dengan negara maju lain di dunia. Berdasarkan kepada statistik tersebut menunjukkan kadar literasi rakyat negara ini yang berumur 15 tahun ke atas ialah 93.2 peratus, satu kejayaan kepada negara setakat ini.
Statistik ini berkemungkinan besar berkait rapat dengan transformasi sistem pendidikan negara yang sedang dilaksanakan di samping kewujudan Dasar Buku Negara (DBN) serta amalan dan tabiat membaca rakyat Malaysia yang dilihat semakin meningkat berbanding laporan dan kajian akademik sebelum ini di mana kajian profil pembaca pada tahun 2005 mendapati rakyat Malaysia berumur di bawah 40 tahun kurang membaca iaitu sekadar membaca hanya dua buah buku sahaja setahun.
Sementara itu, bagi kumpulan berumur 10 tahun dan ke atas pula, daripada 85 peratus rakyat yang membaca, 77 peratus hanya membaca akhbar, manakala tiga peratus membaca majalah, tiga peratus lagi membaca buku dan 1.6 peratus membaca komik jelas menunjukkan rakyat negara ini masih lagi cenderung membaca bahan bacaan ringan berbanding rakyat negara maju lain yang lebih gemarkan membaca bahan bacaan lebih berat dalam bentuk buku termasuklah generasi muda mereka seawal sekolah rendah lagi.
Oleh itu, tabiat ini perlu diperbaiki lagi dari masa ke semasa melalui dasar sedia ada yang lebih menyeluruh dan dipertingkatkan seiring dengan tahap literasi rakyat negara ini kerana menurut Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, objektif pengembangan budaya membaca di kalangan rakyat wajar dilihat dari aspek memperkasa agenda nasional yang harus dilaksanakan secara bersepadu dengan proses pembinaan tamadun negara, bangsa dan pembangunan modal insan tanpa kompromi.
Kadar literasi yang tinggi di kalangan penduduk di negara ini juga menunjukkan lebih banyak bahan bacaaan tradisional seperti buku dan lain-lain termasuklah kerancakkan aktiviti penterjemahan serta penerbitan diperlukan bagi menampung peningkatan indeks celik huruf di negara kita walaupun lambakan bahan bacaan digital secara percuma yang begitu meluas serta mudah diakses di internet. Kehadiran aplikasi e-book, blog dan sebagainya tidak menggugat industri penerbitan bahan bacaan bercetak bahkan merancakkan lagi budaya membaca serta tradisi ilmu di negara kita.
Manakala Laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) 2007/2008 pula menunjukkan kadar literasi rakyat Malaysia berada di belakang negara maju seperti Jepun, Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Jerman yang mempunyai kadar literasi tinggi pada tahap 99 peratus. Lazimnya semakin negara menempah kemajuan menjadikan rakyatnya lebih banyak dan kuat membaca. Ini adalah kerana budaya membaca menjadi trend dan tradisi masyarakat negara maju sejak dahulu lagi.
Tambahan pula kedudukan Malaysia dalam Indeks Pembangunan Pendidikan Untuk Semua meningkat ke tangga 45 daripada 129 negara yang terlibat dalam kaji selidik Laporan Pemantauan Global 2009 berbanding kedudukan 56 yang dicapai pada tahun 2008 menjadi bukti bahawa kerajaan komited menuju negara maju tidak lama lagi dan pencapaian itu bermakna Malaysia sebagai antara penyokong kuat Agenda Pendidikan Untuk Semua (EFA) menjelang 2015 bagi merealisasikan misi buta huruf sifar.
Rujukan
'Dasar buku perlu dinilai semula', Berita Minggu, 19 April 2009
Kadar celik huruf rakyat tinggi, Mingguan Malaysia, 19 April 2009
Ubah amalan beri hadiah mahal kepada bahan bacaan, Berita Minggu, 19 April 2009
Membina industri terjemahan, Utusan Malaysia, 22 November 2007
Comments