MEMPERKASA INDUSTRI HARTA INTELEK NEGARA

Industri dan inovasi harta intelek di Malaysia walaupun masih baru, namun telah berkembang dengan begitu pesat dan pertumbuhannya dijangka mampu menjadi pemangkin kepada sektor pelaburan, ekonomi dan teknologi negara pada masa hadapan setanding dengan negara maju lain di peringkat antarabangsa.

Perbincangan berkaitan harta intelektual rancak pada akhir abad ke-20 di Barat setelah munculnya isu hak cipta, globalisasi, k-ekonomi, perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan sebagainya yang menjadikan permasalahan serta aktiviti harta intelek menjadi semakin penting dalam industri dan perdagangan di seluruh dunia terutamanya negara maju dan membangun.

Harta intelek secara umumnya meliputi hasil kreativiti seperti sastera dan seni, karya muzik, rekacipta, simbol, nama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perniagaan termasuk hak cipta, cap dagangan, paten, rekabentuk perindustrian, petunjuk geografi dan reka bentuk susun atur litar bersepadu yang merupakan asas utama pembentukan dan perlindungan harta intelek serta diiktiraf dunia.

Pada dasarnya pemilik atau pemegang harta intelek mempunyai hak-hak eksklusif tertentu untuk harta intelek kepunyaannya yang mereka cipta dan didaftarkan menurut undang-undang di mana negara telah mencatatkan penambahan lebih 70 peratus jumlah paten misalnya yang difailkan pada peringkat antarabangsa iaitu dari 60 ke 103 pada tahun 2007 dan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Industri harta intelek negara kita dilindungi undang-undang termasuklah Akta Cap Dagangan 1976, Akta Paten 1983, Akta Hakcipta 1987 dan Akta Rekabentuk Ciptaan Industri 1996 jika berlaku sebarang pertikaian dan perlanggaran hak serta bagi memastikan pembangunan harta intelek negara seiring dengan inovasi, dinamik ekonomi dan transformasi yang berasaskan ekonomi pengetahuan.

Islam turut mengiktiraf harta intelek dan menurut perspektif Islam, jumhur ulama berpendapat harta intelek dianggap sebagai harta yang boleh dijual beli, dipindah milik dan sebagainya kerana harta dicipta Allah bagi faedah manusia. Atas dasar ini, harta intelek mempunyai asas yang kukuh untuk dilindungi atas sifatnya sebagai harta, sama ada kepunyaan individu, syarikat atau lain-lain. (Dr. Abdul Karim Zaidan, Nazarat fi al-Shariah al-Islamiyyah).

Atas dasar yang sama juga, sebahagian ulama dalam karya dan perbincangan mereka mengharuskan jual beli harta intelek dan hasil kepakaran, seperti hasil ciptaan buku, cop perniagaan, program komputer, cakera padat video (VCD) dan lain-lain. Hak pengkarya buku dan lain-lain tidak boleh dicerobohi, setelah dilindungi undang-undang dan akta-akta tertentu.

Pemikir Islam terkenal Dr. Yusuf al-Qaradawi pula menambah beberapa alasan lagi yang mewajarkan pengkarya dan empunya harta intelek mengambil faedah daripada hasil kepakarannya di mana sesebuah buku adalah milik pengarangnya dan dipertanggungjawab sepenuh kepadanya serta hak miliknya diiktiraf undang-undang di seluruh dunia.

Malahan pengarangnya mempunyai hak sepenuhnya untuk mengubah, menokok tambah dari semasa ke semasa. Di samping itu, tidak mudah untuk menghasilkan sesebuah karya di mana pengarang terpaksa berusaha lebih gigih mengkaji dan menyelidik sehingga masa yang diambil untuk menyiapkan sesebuah buku, ada yang bertahun-tahun lamanya sebelum ia berjaya dilahirkan di alam nyata.

Tambahan pula, bukan suatu yang mudah untuk hidup sebagai seorang ilmuwan yang produktif, bersusah payah ketika orang lain berehat dan memerlukan perbelanjaan yang besar membeli buku-buku dan alat-alat tulis. Bahkan pengarang buku misalnya perlu menyemak dan mengubah kandungan bukunya dari semasa ke semasa, kadang-kadang cadangan yang pernah dimajukannya dahulu perlu ditarik balik dan diganti dengan yang lain, pendapat yang dahulunya relevan, mungkin kini tidak relevan lagi dan perlu ditukar dengan idea-idea baru dalam cetakan-cetakan yang berikutnya.

Sepertimana industri lain, harta intelek di negara kita juga berdepan dengan cabaran jenayah di dalam bidang ini di mana sebanyak 274 kes berkaitan kesalahan harta intelek telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi sehingga Ogos tahun 2008 berbanding 142 kes sepanjang tahun sebelumnya. Namun dengan kemantapan sistem perundangan dan komitmen kerajaan, industri harta intelek mampu bersaing di peringkat global.

Menurut Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), walaupun berlaku peningkatan jumlah kes jenayah harta intelek yang dilaporkan namun tahap kesedaran rakyat mengenai kepentingan mempatenkan sesuatu produk yang dicipta masih lagi rendah jika dibandingkan dengan negara lain dan keadaan ini sudah tentu akan merugikan banyak pihak.

Pada tahun 2008, MyIPO menerima sejumlah 26,034 permohonan di mana 13,472 pemohon adalah orang luar dan setakat ini telah mendaftar 27,847 permohonan di mana hanya 9,049 ialah dari warga Malaysia. Ini menunjukkan bahawa usaha dan inisiatif memperkasakan lagi industri ini perlu ditingkatkan agar rakyat negara ini tidak tertinggal di belakang.

Sehubungan itu, agensi kerajaan, media massa, pusat industri, orang perseorangan, NGO dan universiti terutamanya perlu memainkan peranan membantu industri dalam hal ini untuk memastikan produk keluaran negara tidak ditiru atau dicetak rompak di dalam dan di luar negara secara berleluasa yang kesudahannya akan merugikan negara serta merosakkan imej sektor harta intelek.

Terdapat juga cadangan sebelum ini untuk memasukkan tanda nama bukan tradisional (NTM) bagi meluaskan skop Akta Cap Dagangan 1976 di mana individu atau perniagaan boleh mendaftarkan cap dagangan seperti bunyi, warna, bau, rasa dan tekstur atau gabungan satu atau lebih daripada elemen-elemen ini dalam usaha untuk membantu sektor perniagaan terus mengukuhkan jenama mereka.

Mengikut laporan agensi antarabangsa Pertubuhan Harta Intelek Sedunia (WIPO) mengenai perkembangan paten umpamanya di Asia, China, Korea Selatan dan Jepun merupakan negara yang berada di tempat 10 teratas sebagai negara yang paling banyak menfailkan paten memandangkan wujudnya kesedaran yang tinggi terhadap industri ini negara berkenaan di samping kemantapan sistem perundangan, penyampaian dan perlaksanaannya.

Di negara kita, MyIPO merupakan badan terpenting yang bertanggungjawab untuk memantau hal ehwal yang melibatkan pembangunan dan pengurusan sistem harta intelek merangkumi paten, tanda niaga, rekaan industri, hak cipta dan perlindungan rekaan di Malaysia. Ironinya,banyak produk yang dihasilkan daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) di negara ini tidak dikomersialkan sewajarnya. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana melalui pemilikan paten, penyelidik dapat memastikan pulangan maksimum daripada R&D menerusi royalti apabila hasil ciptaan mereka berjaya dikomersialkan.

Biarpun begitu, Pertubuhan Harta Intelek Dunia telah menyatakan bahawa kadar permohonan untuk mengkomersilkan hasil penyelidikan di seluruh dunia telah meningkat pada kadar purata 4.75 peratus setahun. Kadar ini setanding dengan kadar purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia iaitu 5.6 peratus membuktikan bahawa industri harta intelek mampu berkembang pada masa hadapan.

Walaubagaimanpun, sejak Rancangan Malaysia Ke-lapan (RMK8) hingga kini, pembiayaan penyelidikan dikeluarkan melalui dana Peningkatan Penyelidikan di dalam Bidang Keutamaan yang kini dikenali sebagai ScienceFund dan TechnoFund dan sebanyak 148 projek telah di kenal pasti berpotensi untuk dikomersilkan manakala 53 projek telah dikomersilkan.

Manakala untuk Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-sembilan (RMK9) pula, kerajaan memperuntukkan dana bagi R&D sebanyak RM1.988 bilion untuk tujuan berkenaan yang merupakan peluang terbaik kepada pemain utama industri ini merealisasikannya melalui konsep penyelidikan dan pembangunan dan pengkomersilan (R&D&C) untuk memastikan kadar pengkomersilan harta intelek meningkat dari setahun ke setahun di negara kita.

RUJUKAN

Arief Salleh Rahman, 2002. Harta Intelektual Menurut Fiqh Islam. Johor Bahru: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia

MyIPO luaskan skop Akta Cap Dagangan 1976, Utusan Malaysia, 5 Mac 2009
Banyak hasil penyelidikan negara ini tidak lengkap, Utusan Malaysia, 14 Januari 2009
Produk baru perlu dipaten, Utusan Malaysia, 3 Desember 2008
Islam dan harta intelek, Mingguan Malaysia, 3 Jun 2001

Laman web:

Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) - http://www.mipc.gov.my/
Wikipedia - http://ms.wikipedia.org/wiki/Harta_intelek

Comments

Popular Posts