BERSAMA MENJAYAKAN BULAN ZAKAT 2009

Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan (BZK) yang telah diadakan bermula tahun 2008, diteruskan lagi sepanjang bulan Syaaban 1430H tahun ini bersempena mengambil keberkatan di bulan yang mulia ini. Sambutan BZK kali ini adalah bercorak pendidikan dan pendedahan dengan motonya ‘Zakat 1 Kewajipan, 1 Juta Harapan’, menunjukkan kewajipan dan kepentingan berzakat mampu memberi harapan baru kepada jutaan orang yang layak menerimanya.

Biarpun begitu, ia tidak sepatutnya berhenti setakat bulan Syaaban sahaja kerana tidak lama lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak yang menjanjikan ganjaran yang lebih besar kepada pengeluar dan pembayar zakat. Mengenai perkara ini, daripada riwayat at-Tirmizi bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: “Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada Ramadan.” Manakala menurut riwayat Al-Baihaqi daripada Aisyah, katanya: “Rasulullah jika masuk Ramadan membebaskan setiap tawanan dan memberi setiap orang yang meminta.”

Melalui sistem penyampaian zakat yang baik mampu menjadi alternatif kepada ketidakstabilan ekonomi yang sedang melanda dunia dan negara ketika ini di samping agen pembasmi kemiskinan yang sangat efisien. Sebagai pemangkin utama kepada struktur pembangunan ekonomi negara serta kestabilan jaringan sosial, maka sistem dan mekanisme zakat hendaklah diperbaiki dan dipertingkatkan lagi dari masa ke semasa. Oleh itu, objektif utama sambutan BZK 2009 adalah menyebarluaskan maklumat dan meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan berzakat dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap institusi serta pengurusan zakat di negara ini.

Organisasi zakat sejak dahulu lagi telah diakui dan terbukti keberkesanannya dalam memperkasa pembangunan fiskal umat Islam. Inisiatif dan langkah bijak ini seharusnya disokong semua pihak memandangkan pembayaran zakat kini begitu menggalakkan sehingga mencecah RM1 bilion di seluruh negara tahun lalu melalui pengurusan dan pentadbiran bijak agensi yang bertanggungjawab dalam urusan zakat. Ini adalah satu kejayaan dan pencapaian yang besar kepada institusi zakat di seluruh negara dan juga petunjuk kesedaran tinggi di kalangan masyarakat terhadap kepentingan zakat dalam pembangunan negara. Peningkatan jumlah kutipan zakat itu juga menunjukkan umat Islam mempunyai kekuatan luar biasa untuk menunaikan kewajipan masing-masing walaupun ketika ekonomi negara dilanda kegawatan.

Kekukuhan institusi zakat sememangnya mampu memberi momentum positif kepada kekuatan ekonomi dan pembangunan negara dapat dilakukan dengan lebih sempurna dan sistematik. Ini adalah kerana zakat adalah mekanisme terbaik kepada aliran perkembangan ekonomi negara. Elemen zakat sebenarnya adalah kekuatan dan teras utama kepada keutuhan ekonomi umat Islam dan merapatkan jurang kemiskinan yang sedia wujud. Melalui dana dan pelaburan zakat, kita mampu membina kembali tamadun serta zaman kegemilangan umat Islam suatu ketika dahulu yang pernah memerintah dua per tiga dunia melalui sistem Khalifah yang begitu gagah lagi dikagumi dunia. Melalui kekuatan zakat juga kebajikan dan jaminan sosial umat Islam menjadi lebih kukuh serta terpelihara jika diurus dengan sempurna.

Kewujudan sistem jaminan sosial dalam zakat boleh diperhatikan melalui beberapa contoh. Dalam satu peristiwa, Rasulullah SAW melantik Muaz bin Jabal sebagai Gabenor di Yaman. Baginda SAW bersabda kepada Muaz: “Berdakwahlah (serulah) kepada mereka supaya mengucap bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah. Jika mereka mentaati kamu pada perkara tersebut maka khabarkanlah bahawa Allah mewajibkan mereka solat pada setiap siang dan malam. Jika mereka mentaati kamu dalam perkara tersebut, maka khabarkanlah bahawa Allah mewajibkan kepada mereka supaya bersedekah iaitu yang diambil daripada orang kaya di kalangan mereka dan diberi kepada orang fakir di kalangan mereka.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Merujuk kepada hadis tersebut menunjukkan bahawa satu jaminan ekonomi dan sosial yang dijanjikan Islam kepada golongan fakir dan miskin melalui proses agihan zakat yang telah disyariatkan dan mampu mewujudkan keseimbangan taraf hidup, jurang kemiskinan dan bebanan ekonomi antara yang kaya dan miskin di samping mekanisme agihan zakat tersebut juga turut memberi faedah yang besar kepada masyarakat setempat. Selain itu, Islam tidak menafikan golongan lain yang turut berhak menerima wang zakat yang dikhususkan kepada lapan asnaf iaitu fakir, miskin, amil, mualaf, hamba, orang yang berhutang, fisabilillah dan orang musafir yang keputusan belanja. (Surah at-Taubah: 60)

Melalui zakat dan aspirasinya, maka ledakan serta transformasi ekonomi dapat dipercepatkan dan dikawal secara yang lebih sistematik dan efisien. Dengan peratusan umat Islam di Malaysia menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan perubahan sosial, maka zakat perlu direformasikan semaksima mungkin bagi mencapai kestabilan ekonomi negara dan keadilan sosial melalui jentera zakat dalam usaha merombak struktur masyarakat dan negara. Melalui kefahaman ini, diharapkan agar masyarakat Islam akan lebih meyakini fungsi dan peranan institusi-institusi zakat di negara kita dan seterusnya menggalakkan masyarakat untuk menjadi pembayar zakat yang setia serta aktif.

Ini akan memberi nilai tambah kepada institusi zakat sebagai penyumbang kepada kerancakan ekonomi negara dengan adanya mekanisme khusus dan usaha memperkasa serta memperlengkapkan sistem zakat di negara kita perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa. Dalam keadaan ekonomi global dan domestik yang masih lemah, maka potensi zakat perlu ketengahkan sebagai alternatif negara menjana ekonomi dan pembangunan negara, malahan menjadi pengimbangan kepada jurang sosial yang semakin meluas ekoran ketidakstabilan ekonomi negara. Sehubungan itu, semua aspek zakat wajar dihebahkan melalui pameran, promosi, kempen, wacana dan sebagainya bagi membangkitkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan dan peranan zakat dalam memantapkan sosio-ekonomi umat Islam secara keseluruhannya.

Inilah hikmah disebalik kewajipan berzakat dan ianya menjadi teras kepada rukun Islam yang mesti ditunaikan sebagai bukti bahawa Islam amat menitik beratkan soal ekonomi, kebajikan dan kemajuan umat. Oleh yang demikian, melalui peruntukan undang-undang khusus mewajibkan berzakat juga diharapkan mampu mengubah minda dan paradigma masyarakat Islam agar bersama-sama komited membangunkan negara melalui sumbangan zakat dan orang bukan Islam juga akan lebih hormat kerana mereka juga telah menyumbang dalam proses pembangunan negara melalui cukai pendapatan di LHDN. Ia perlu bagi meningkatkan kemampuan sistem zakat dalam memberi jaminan sosial kepada umat Islam. Sejarah telah merekodkan pada era emas pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, kerajaan ketika itu terlalu sukar mencari golongan asnaf yang layak menerima zakat memandangkan tahap keimanan rakyat ketika itu adalah tinggi dan semuanya tidak mahu menerima zakat, sebaliknya mahu menjadi pembayar zakat.

Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan zakat adalah instrumen terunggul di dalam sektor ekonomi Islam dan pemangkin kepada kemajuan serta kemakmuran umat Islam di seluruh dunia. Untuk itu, institusi zakat perlu ditadbir dan diurus dengan efisien dan sistematik memandangkan sejak sekian lama zakat menjadi medan dan medium terpenting kepada pentadbiran ekonomi di negara umat Islam.

Rujukan

Ab. Rahim Zakaria, 2009. Bulan Zakat Kebangsaan 2009. Utusan Malaysia, 5 Ogos
Sumber sewaan wajar dizakat, Utusan Malaysia, 25 November 2008

Comments

Popular Posts