JOM MASUK SYURGA



Setiap orang yang beriman pasti mengharapkan agar di akhirat kelak ditempatkan di dalam syurga. Tiada seorang pun di dunia ini yang tidak mempunyai cita-cita atau impian untuk memasuki syurga yang kekal abadi itu. Ini adalah kerana Allah SWT telah menjanjikan syurga kepada mereka yang beriman dan syurga adalah kemuncak kehidupan setiap insan di dunia ini. Oleh itu, setiap masa dan ketika umat Islam tidak pernah putus asa berdoa kepada Allah SWT agar dijadikan ahli syurga dan dapat bersama-sama dengan para nabi, rasul, sahabat nabi, syuhada dan seluruh penghuni syurga lain.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang mencerita dan mengambar keindahan syurga seperti dalam surah Muhammad, ayat 15 yang bermaksud: "Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa (ialah seperti berikut): Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredhaan yang tinggal kekal di dalam syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dan air yang menggeledak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur?(sudah tentu tidak sama!)."

Dalam buku Syurga Firdaus Idaman Istimewa tulisan Abdullah Al-Qari Salleh menerangkan syurga ialah sebuah `negara' yang penuh nikmat berkekalan dan semulia-mulia syurga ialah syurga Firdaus. Begitulah nikmat pemberian, kesukaan, kesejukan mata dan kegembiraan hati, perkara yang memecahkan selera keinginan berupa makan minum, pakaian, kahwin dan apa-apa penglihatan yang indah, cantik, pohon-pohon dan binaan yang terhias merupakan persediaan Allah kepada bakal penghuni syurga.

Syurga Firdaus menanti mereka yang bergelar pejuang, para syahid, orang yang awal dan segera dalam kebaikan, elok akhlaknya, penghafal dan pengamal al-Quran, ilmuwan Islam dan pembenar para Rasul. Oleh demikian, sebagai pra-syarat ahli syurga maka umat Islam perlulah menjauhi kemungkaran, sikap sambil lewa dan tidak khusyuk dalam sembahyang, bercakap dan berbuat perkara sia-sia, tidak mengeluarkan zakat, tidak memelihara keaiban, tidak amanah, tiada memelihara sembahyang fardu dalam waktunya dan lain-lain sifat mazmumah yang dilarang agama.

Manakala dalam buku Keindahan Syurga karya Kasmuri Selamat pula menerangkan bahawa keindahan abadi syurga yang digambarkan di dalam al-Quran sememangnya belum pernah dilihat oleh sesiapa mahupun didengar telinga atau terlintas di hati sepertimana maksud sebuah hadis Rasulullah. Ini menjadikan syurga adalah destinasi agung yang ditunggu-tunggu dan setiap umat Islam tidak sabar memasukinya. Menariknya kedatangan penghuni syurga kelak akan disambut oleh para malaikat, Hurul-Aini dan kanak-kanak yang meninggal semasa kecil.

Biarpun begitu, bukan mudah untuk memasuki syurga kerana terdapat beberapa syarat dan kriteria lain yang perlu dipenuhi oleh setiap orang beriman di mana antara ciri-ciri calon penghuni syurga ialah gemar bersedekah, berwakaf, yakin kepada kebenaran kitab al-Quran, percaya kepada kitab-kitab yang diturunkan Allah, yakin akan kehidupan akhirat, penyabar, sentiasa menyerah diri kepada Allah SWT dan banyak lagi amal kebaikan serta kebajikan yang perlu dilaksanakan di dunia ini sebelum dihitung di akhirat sebagai lesen atau anak kunci memasuki syurga.

Malahan seperti juga keadaan di muka bumi, digambarkan syurga juga mempunyai bangunan dan segala kelengkapan yang diperlukan untuk kehidupan seharian di sana. Ini termasuklah peralatan rumah, pakaian dan pasar. Dalam surah Al-Furqan ayat 10, Allah SWT berfirman: "Maha suci (Allah) yang jika Dia menghendaki, nescaya dijadikanNya bagimu yang lebih baik dari yang demikian, (iaitu) syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, dan dijadikanNya (pula) untukmu istana-istana."

Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w. pula bersabda: "Sesiapa yang membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak 10 kali, maka Allah akan membangunkan baginya rumah di syurga". (Riwayat Muslim).

Melihat kepada rahsia, strategi dan panduan eksklusif menjadi calon ahli syurga di atas maka isunya adalah sejauhmanakah kita telah membuat persediaan serta persiapan bagi memastikan diri kita, keluarga dan masyarakat Islam seluruhnya diterima masuk sebagai penghuni syurga yang kekal abadi itu. Adakah kita masih selesa dengan prestasi iman dan KPI ibadah kita selama ini atau adakah kita sudah merasakan kita sememangnya layak didaftarkan sebagai ahli syurga. Pertanyaan tersebut perlu dan boleh dijawab dengan berpandukan kayu ukur iman dan amalan kebajikan yang telah dilakukan selama ini.

Mungkin benar pepatah ada mengatakan "tepuk dada, tanya iman dan amal soleh kita".

Rujukan

Abdullah Al-Qari Salleh, 2002. Syurga Firdaus Idaman Istimewa. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publisher

Kehidupan yang menakjubkan, Utusan Malaysia, 3 Ogos 2001

Comments

Popular Posts