FENOMENA PENINGKATAN WARGA TUA DI MALAYSIA


Malaysia seperti negara maju lain bakal memiliki sejumlah warga tua atau juga dikenali sebagai warga emas iaitu individu berusia 60 tahun ke atas yang dijangka mencecah 3.2 juta atau 9.5 peratus daripada penduduk negara ini menjelang 2020, berbanding 2.1 juta (7.3 peratus) sekarang, berikutan penurunan kesuburan dan peningkatan jangka hayat di negara ini. Secara umumnya warga tua ditakrifkan sebagai golongan yang berumur 60 tahun ke atas berpandukan kepada takrifan yang dibuat di “World Assembly On Aging in 1982” Vienna.

Berdasarkan kepada fenomena tersebut dan pertambahan warga tua itu juga memungkinkan Malaysia mencapai status negara tua seperti mana negara maju lain terutama negara Barat, di mana dengan purata 15 peratus jumlah penduduk Malaysia berusia 60 tahun ke atas menjelang 2030. Malahan jangka hayat penduduk Malaysia dilihat semakin meningkat berdasarkan kajian pada 2009 iaitu 72.6 bagi lelaki; wanita 77.5 berbanding 63.5 (lelaki) dan 67.1 (wanita) pada 1980. Ini adalah perkembangan yang menarik untuk diperhatikan oleh golongan muda dan remaja hari ini.

Sebagai perbandingan statistik tahun 2005 menunjukkan bahawa terdapat kira-kira 1.66 juta penduduk di Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas yang boleh dikategorikan sebagai golongan tua atau warga emas. Bilangan warga emas ini dijangka meningkat berdasarkan unjuran pada tahun 1991 dan tahun 2000 yang masing-masing sejuta atau 5.9 peratus dan 1.42 juta orang atau 6.1 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia ketika itu. Suatu yang agak mengejutkan di mana kajian menunjukkan bahawa Malaysia termasuk dalam kelompok negara yang mengalami kadar penuaan penduduk yang agak drastik.

Bancian pada tahun 2004 pula menunjukkan bahawa tujuh peratus atau kira-kira 1.75 juta daripada penduduk negara ketika itu terdiri daripada warga emas. Ini berkait rapat dengan kajian jangka hayat penduduk Malaysia yang menunjukkan bahawa jangka hayat lelaki telah meningkat daripada 66.5 tahun kepada 70.8 tahun dan bagi wanita pula, jangka hayat mereka terus meningkat daripada 71 tahun kepada 75.5 tahun. Menjelang tahun 2020, jangka hayat penduduk lelaki diunjurkan kepada 75.4 tahun manakala wanita pula 80.4 tahun berdasarkan kepada kualiti hidup, status pendidikan, tahap kesihatan dan jaminan keselamatan serta kebajikan yang terancang.

Menurut buku Pemakanan dan Penilaian Kesihatan Warga Tua (2007), semenjak tahun 1960-an terdapat peningkatan jumlah warga tua di Malaysia kerana penurunan kadar kelahiran dan mortaliti, peningkatan kawalan penyakit berjangkit serta kemudahan kesihatan yang bertambah baik. Peningkatan jangka hayat penduduk ini menyebabkan kumpulan umur yang lebih tua meningkat secara signifikan. Pada umumnya warga tua adalah rentetan terhadap masalah malnutrisi, sama ada kekurangan zat makanan atau berlebihan pemakanan. Mereka yang mengambil diet yang kurang zat akan menyebabkan keabnormalan metabolisme, perubahan fisiologi, kemerosotan fungsi tisu dan organ serta kehilangan jisim tubuh.

Sehubungan itu sebuah Dasar Warga Tua Kebangsaan (DWTK) diperkenalkan yang bertujuan mewujudkan masyarakat warga tua yang sejahtera, bermaruah, mempunyai martabat diri yang tinggi, dengan mengoptimumkan potensi diri mereka dan menentukan mereka menikmati semua peluang disamping mendapat penjagaan dan perlindungan sebagai ahli keluarga, masyarakat dan negara. Perlu diingatkan bahawa warga tua juga merupakan penyumbang kepada produktiviti negara dan mempunyai hak, kehendak dan kepentingan yang sama seperti warga lain di negara kita.

Oleh itu, dasar ini akan memastikan objektif untuk meningkatkan kehormatan, harga diri dan martabat diri warga tua dalam keluarga, masyarakat dan negara terlaksana dengan perancangan serta plan jangka panjang yang sistematik. Dalam masa yang sama berusaha memajukan potensi warga tua dalam segala aspek agar mereka terus aktif dan produktif dalam pembangunan negara, serta mewujudkan pelbagai peluang bagi membantu mereka terus hidup berdikari dan berdaya saing dalam apa jua bidang yang diceburi. Ini adalah bagi memastikan golongan ini tidak perlu bergantung kepada anak-anak mereka atau waris lain untuk meneruskan kehidupan mereka atau hidup merempat sehingga terpaksa meminta-minta kepada orang lain.

Di samping itu, dasar berkenaan juga bertujuan menggalakkan pewujudan dan menyediakan kemudahan-kemudahan yang tertentu demi untuk menjamin penjagaan dan perlindungan warga tua di negara ini ke arah memastikan kebajikan dan kesejahteraan hidup mereka terpelihara melalui kewujudan Pusat Penjagaan Harian Warga Emas (PJHWE) misalnya. Sehingga kini terdapat 22 pusat seumpama itu di seluruh negara bagi memberi kemudahan jagaan harian kepada warga emas terutama individu yang tinggal berseorangan ketika keluarga atau penjaga keluar bekerja. Di samping itu, suatu perkembangan yang sangat menggalakkan di mana terdapat penglibatan pihak swasta, NGO, syarikat korporat dan orang persendirian yang turut serta menyediakan tempat perlindungan kepada warga tua di negara kita.

Ironinya menurut Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2005, warga emas di Malaysia berhadapan dan menghadapi masalah kritikal memperolehi bantuan kewangan seperti pinjaman bank dalam meneruskan survival kehidupan mereka seharian kerana terdapat di kalangan mereka yang terpaksa menanggung keluarga, pengajian anak-anak dan sebagainya. Sementara syarikat insuran pula seakan-akan tidak berminat menjual polisi insuran kepada mereka yang telah lanjut umur kerana di anggap berisiko tinggi. Ini adalah di antara beberapa cabaran yang perlu dilalui oleh warga tua di negara ni dan sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan golongan ini tidak dipinggirkan begitu sahaja serta dinafikan hak mereka.

Ini adalah kerana bagi warga emas yang dahulunya bekerja dengan berpendapatan rendah, duit pencen atau simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diterima tidak mencukupi untuk menampung kehidupan yang mana jika masalah ini tidak ditangani dengan baik akan mewujudkan ketidakseimbangan jaminan sosial sehingga golongan ini terpaksa pula berhadapan dengan perangkap pinjaman Ah Long, ceti haram dan sebagainya. Justeru, keadaan ini memerlukan keprihatinan, komitmen dan tindakan sewajarnya kerana ia boleh memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada pembinaan keluarga, masyarakat serta negara jika nasib golongan ini tidak terbela dan diabaikan begitu sahaja.

RUJUKAN

Suzana Shahar dll, 2007. Pemakanan dan Penilaian Kesihatan Warga Tua. Penerbit UKM: Bangi

3.2 juta warga tua menjelang 2020, Berita Minggu, 13 Mac 2011

Laman web Pejabat Menteri Besar Johor:
http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index.php?option=com_alphacontent§ion=5&cat=17&task=view&id=232&Itemid=74

Laman web Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat:
http://www.kpwkm.gov.my/new_index.php?page=kpwkm/menu_dasar_wargatua&menu=kpwkm/dasar_wargatua&lang=malay

Comments

Popular Posts