IKRAM: Hormati keputusan kerajaan Kedah


oleh Ustaz Rosli Yusuf

Tindakan kerajaan Negeri Kedah untuk membenarkan premis hiburan terus beroperasi di bulan Ramadan dengan syarat pemilik-pemilik premis hiburan memastikan premis mereka tidak dikunjungi oleh orang Islam wajar disokong oleh semua pihak.

Ia menggambarkan sifat Islam yang menghormati hak orang-orang bukan Islam sewaktu umat Islam berusaha untuk mempraktikkan ajaran agama Islam dalam kehidupan seharian khususnya dalam bulan Ramadan yang diberkati ini.

Oleh itu, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) negeri Kedah menyeru semua pihak supaya menghormati keputusan kerajaan negeri Kedah yang telah mengambil kira kedudukan agama Islam, hak rakyat Kedah yang berbilang bangsa dan agama selagi ianya tidak bertentangan dengan landasan syara'.

IKRAM negeri Kedah menyeru semua pihak supaya tidak mempolitikkan keputusan kerajaan negeri Kedah ini yang hanya akan menjejaskan imej Islam dan penganutnya.

IKRAM juga mencadangkan supaya pengharaman ke atas orang Islam daripada mengunjungi tempat-tempat hiburan tidak dihadkan dalam bulan Ramadan sahaja tetapi meliputi juga bulan-bulan yang lain.

Sepatutnya peraturan ini dilaksanakan bukan sahaja di negeri Kedah tetapi juga di negeri-negeri yang lain jika sekiranya aktiviti hiburan yang dijalankan adalah bertentangan dengan batasan syariah.

Perlu ditegaskan bahawa Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada semua. Ia bukan satu agama yang menafikan hak orang lain apatah lagi bersifat diskriminatif.

Islam tidak akan mengambil satu jalan yang menindas mana-mana kelompok dalam masyarakat. Ia bersikap adil dan menjamin semua pihak akan mendapat keadilan dan kesaksamaan.

Dalam pada itu Islam juga menimbangkan sesuatu perkara berdasarkan kepada keutamaan dan kemaslahatan umum.

Apabila bertembung di antara kemaslahatan ramai (majoriti) dan hak sebahagian masyarakat untuk memenuhi kehendak mereka, maka kemaslahatan ramai akan diutamakan mengatasi kehendak kelompok yang lebih kecil.

Pertubuhan IKRAM negeri Kedah menyeru semua pihak supaya menghormati kedudukan agama Islam di negara ini dan kedudukan Sultan dan Raja sebagai ketua agama Islam serta tidak mempolitikkan isu ini bagi kepentingan mana-mana pihak.

Penulis adalah Yang Dipertua Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Cawangan Negeri Kedah

Comments

Popular Posts