UKHUWAH ISLAMIYAH TERAS MASYARAKAT PROGRESIF


Ukhuwah Islamiyah atau persaudaraan Islam adalah teras terpenting ke arah melahirkan sebuah masyarakat yang progresif dan bertamadun atau lebih dikenali sebagai masyarakat madani iaitu masyarakat sivil yang berdaya saing, dinamik serta mempunyai semangat juang yang tinggi.

Masyarakat yang progresif adalah masyarakat yang bersedia menerima segala perubahan sama ada dari aspek sosial, ekonomi serta politik ke arah mewujudkan satu sistem kehidupan bermasyarakat yang lebih adil, berwawasan dan terbaik.

Masyarakat yang progresif memerlukan struktur persaudaraan yang utuh dan tanpa prasarana ukhuwah Islamiyah yang kental dan stabil hanya akan meletakkan Islam dan umatnya berada dalam situasi genting dan berhadapan dengan kancah perpecahan, kekacauan, tribulasi serta perselisihan yang kritikal.

Sehubungan itu, kekuatan persaudaraan yang mantap dan kukuh akan menjadi umat Islam berada dalam suasana yang cukup bersatu padu, saling faham memahami, semangat tolong menolong antara satu sama lain, sikap tolak ansur yang tinggi serta sedia berkorban demi kepentingan orang lain walaupun seseorang itu berada jauh di luar negara dan tidak pernah berjumpa sekali pun.

Inilah keunikan dan kehebatan roh ukhuwah Islamiyah itu sendiri.

Sehubungan itu, atas dasar persaudaraan Islam yang kukuh menjadikan kita begitu sensitif dengan nasib dan masa hadapan umat Islam di negara lain sepertimana yang berlaku di Palestin, Sudan, Thailand dan lain-lain negara lagi sedangkan mereka bukanlah dari keturunan atau sebangsa dengan kita, malahan jauh sekali mempunyai hubungan kekeluarga atau tali persaudaraan dan sebagainya tetapi ianya diikat dengan ikatan ukhuwah Islamiyah yang sejati.

Oleh itu, perspektif persaudaraan Islam bukanlah terbatas kepada hubungan kekeluarga, darah daging, persahabatan, perkahwinan atau apa jua ikatan, namun ianya adalah atas dasar iman dan aqidah yang sama.

Menurut Imam Hasan Al-Banna, ukhuwah Islamiyah adalah keterikatan hati dan jiwa satu sama lain dengan ikatan aqidah yang luhur di mana hakikat sejatinya adalah suatu nikmat dari Allah SWT yang tidak terhingga dan merupakan arahan Rabbani yang mencermin kekuatan iman kita.

Terdapat empat tahap penting ke arah penjanaan ukhuwah Islamiyah yang komprehensif iaitu Taaruf (Kenal-Mengenal), Tafahum (Faham-Memahami), Taawun (Tolong-Menolong) dan Takaful (Saling Memikul Bebanan) atau lebih dikenali sebagai ‘formula 4T’. Resepi formula 4T ini adalah ramuan terbaik dalam usaha penjanaan ukhuwah Islamiyah yang benar-benar kukuh dan berkesan di dalam masyarakat.

Sirah telah menukilkan bagaimana Nabi Muhammad SAW telah mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar serta Aus dan Khazraj di Madinah. Antara rentetan kemuncaknya ialah ketika Rasulullah mempersaudarakan antara Saad bin Rabi’ dan Abdul Rahman bin Auf di mana ketika itu Saad telah sedia menawarkan setengah daripada harta kekayaannya kepada Abdul Rahman dan memberikan salah satu dari dua rumahnya.

Bahkan beliau juga sanggup menceraikan salah seorang isterinya untuk dikahwinkan dengan Abdul Rahman.

Namun ditolak oleh Abdul Rahman dan berkata, “Biarkanlah harta, rumah, dan isterimu bersamamu tetapi tunjukkanlah kepadaku di mana pasar di kota Madinah ini”, yang akhirnya menjadikan Abdul Rahman bin Auf muncul sebagai seorang jutawan terkaya di kota Madinah di kalangan sahabat Rasulullah SAW.

Sejarah telah merekodkan rentetan contoh unggul bagaimana para sahabat telah berjaya merealisasi dan mempraktikkan model ukhuwah Islamiyah yang telah diterap dan ditanam oleh Rasulullah SAW kepada mereka sejak era awal Islam di Mekah lagi.

Walaupun tindakan semulia Saad bin Rabi’ terhadap Abdul Rahman bin Auf kelihatan agak sukar dan mustahil untuk dilakukan oleh umat Islam hari ini yang mana kebanyakannya lebih mementingkan diri sendiri berbanding orang lain biarpun berada dalam kekayaan yang melimpah ruah serta disediakan dengan segala kemewahan hidup.

Atas dasar ukhuwah Islamiyah yang tinggi juga menyebabkan para sahabat ketika era emas umat Islam juga saling bantu membantu dan ringan meringankan bebanan sahabat yang lain di mana dalam sirah juga dinukilkan bahawa salah seorang sahabat Rasulullah bernama Masruq yang memiliki hutang yang banyak, namun atas ikatan ukhuwah yang cukup tebal menyebabkan beliau apabila mendapat tahu bahawa saudaranya bernama Khaitsamah juga berhadapan dengan masalah berhutang, maka Masruq tanpa pengetahuan Khaitsamah telah melangsaikan hutangnya. Sedangkan Khaitsamah pula mengetahui bahawa sahabatnya Masruq juga memiliki hutang yang banyak, lantas beliau pun bertindak membayar hutang yang membelenggu Masruq tanpa pengetahuannya.

Beginilah contoh tauladan hebat dan mulianya para sahabat yang telah mendapat tarbiyah agung dari Rasulullah SAW sehingga mereka sanggup berkorban apa sahaja dan memikul bebanan demi kebaikan dan kebajikan saudaranya yang lain biarpun pada hakikatnya diri sendiri berhadapan dengan masalah yang sama.

Kisah-kisah mulia ini wajar menjadi inspirasi dan aspirasi umat Islam hari ini dalam usaha menyemarakkan semangat ukhuwah Islamiyah sesama kita ke arah mewujudkan sebuah masyarakat madani yang lebih progresif dan dinamik tanpa membelakang atau menggadaikan ikatan ukhuwah dengan masyarakat bukan Islam yang lain yang telah sekian lama terbina selama ini.

Comments

Popular Posts