Akta anti lompat parti penting hentikan masalah melompat parti

NEGARA kita perlu mewujudkan sebuah undang-undang khusus mengenai “Anti Lompat Parti” bagi menghentikan tindakan mana–mana Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen yang telah dipilih dan dilantik oleh rakyat melalui proses pilihan raya daripada melompat parti atau berhenti daripada jawatan yang dipegang oleh mereka dengan sesuka hati tanpa sebab–sebab yang munasabah.

Akta khusus mengenai perkara terbabit adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negara kita untuk jangka masa panjang.

Sekiranya mana–mana Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen mengambil tindakan dengan sesuka hati mereka dengan melompat parti atau mengosongkan kerusi yang telah dimenangi oleh mereka tanpa sebarang sebab yang munasabah ini akan menyebabkan negara kita berada dalam keadaan politik yang tidak menentu buat selama-lamanya.

Sekiranya keadaan politik negara kita tidak menentu, ia sudah pasti akan memberi impak terhadap pertumbuhan ekonomi dan pembangunan dalam negara kita.

Apa yang paling penting melalui cadangan akta berkenaan ialah untuk melindungi kepentingan dan kepercayaan rakyat yang telah memberi undi mereka terhadap ahli politik yang telah dipilih dan dilantik melalui proses pilihan raya.

Namun perlu diketahui, adalah sukar untuk cadangan akta terbabit dilaksanakan pada masa kini dalam negara kita kerana ia dilihat bertentang dengan prinsip dan jaminan kebebasan kepada semua rakyat Malaysia untuk berpersatuan selaras dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa yang sama, sudah terdapat kes mahkamah yang jelas terhadapnya.

Pada April 1992, Mahkamah Agung (Mahkamah Persekutuan kini) ketika itu dalam kes Nordin Salleh v Dewan Undangan Negeri Kelantan [1992] 1 CLJ 343: [1992] 1CLJ 463 telah memutuskan bahawa undang-undang yang mewajibkan seseorang anggota dewan yang bertukar parti untuk mengosongkan kerusi bercanggah dengan prinsip kebebasan untuk seseorang itu berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Di dalam kes Nordin Salleh ianya berlaku ekoran tindakan kerajaan Kelantan, dan diikuti kerajaan Sabah, ketika itu mengubal undang-undang anti-lompat bagi mengelakkan wakil rakyat bertukar parti.

Walaupun terdapat kes mahkamah mengenai isu terbabit, namun perlu diketahui juga pihak Mahkamah Persekutuan juga mempunyai kuasa untuk mengubah keputusannya sendiri.

Pihak Mahkamah Persekutuan boleh diberi peluang untuk mengkaji semula keputusan Nordin Salleh itu serta mendapat satu bentuk perundangan yang baru terhadap isu lompat parti dan pengosongan kerusi tanpa sebab yang munasabah ini dalam negara kita.

Proses pengkajian ini bukan lah satu perkara yang baru dilakukan. Proses pengkajian semula ini boleh dilihat di dalam kes Adorna Properties lwn Boonsom Boonyanit, di mana keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2000 telah dikaji semula oleh Mahkamah yang sama pada tahun 2010.

Sebagaimana pihak Mahkamah Persekutuan telah mengkaji semula keputusannya dalam kes Boonsom Boonyanit selepas 10 tahun, adalah diharap pihak Mahkamah Persekutuan dapat mengkaji semula keputusannya dalam kes Nordin Salleh bagi menyelesaikan isu lompat parti dan pengosongan kerusi tanpa sebab yang munasabah dalam negara kita ini.

Banyak negara sudah memperkenalkan undang-undang ini kerana implikasinya yang besar kepada ketidakstabilan politik dan keamanan dalam sesebuah negara.

Kebanyakan negara mensyaratkan bahawa mana-mana wakil rakyat terutamanya mereka yang ingin bertukar parti boleh berbuat demikian selepas mereka mengembalikan jawatan dan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk memilih sekali lagi.

Amalan ini sama sekali tidak menjadi halangan kepada hak memilih persatuan, dan boleh dipertimbangkan Mahkamah Persekutuan kelak dalam membuat interpretasi baru yang sesuai dengan keadaan semasa dan perubahan pada masa kini dalam negara kita demi kestabilan politik jangka panjang dalam negara kita serta mengelakkan negara kita menjadi kucar-kacir akibat daripada isu lompat parti atau pengosongan kerusi tanpa sebab yang munasabah yang dilihat tidak berkesudahan ini.



* Dr Muzaffar Syah merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Sumber:

http://www.astroawani.com/berita-politik/akta-anti-lompat-parti-penting-hentikan-masalah-melompat-parti-193471


(Sebarang pertanyaan atau kemusykilan berkenaan kes-kes di Mahkamah Sivil atau Mahkamah Jenayah atau Mahkamah Syariah boleh hubungi kami di Tetuan Mohamad Sofee Razak & Co. (Peguambela & Peguamcara dan Peguam Syarie serta Pesuruhjaya Sumpah) melalui talian telefon: 016-2560786 atau email - mohamadsofee@yahoo.com)


#peguambela&peguamcara
#peguamsyarie
#pesuruhjayasumpah
#peguamsivil
#peguamjenayah
#peguamhartanah

Comments

Popular Posts