Undang-undang baharu benarkan perbicaraan kes mahkamah dalam talian Skype, Zoom


Perbicaraan kes di mahkamah kini boleh dijalankan secara dalam talian tanpa memerlukan kehadiran pihak yang terbabit.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan sesi mediasi secara dalam talian adalah alternatif kepada mediasi yang dijalankan di Pusat Mediasi Mahkamah.

"Mediasi secara dalam talian ini satu inisiatif Badan Kehakiman Malaysia dalam memastikan akses kepada keadilan dapat diberikan kepada semua peringkat masyarakat seiring dengan normal baharu yang diamalkan pada masa kini.

"Tiada perubahan bagi prosedur mediasi secara dalam talian berbanding mediasi di Pusat Mediasi Mahkamah melainkan perbezaan mod perhubungan," kata pejabat berkenaan.

Kenyataan itu juga memaklumkan, sesi mediasi secara dalam talian boleh dijalankan dengan menggunakan medium komunikasi melalui aplikasi yang dipersetujui oleh pihak-pihak seperti Skype atau Zoom.

Mediasi adalah alternatif penyelesaian kes tanpa melalui proses perbicaraan penuh yang menawarkan faedah-faedah seperti perkhidmatan percuma dengan mediator terdiri daripada hakim dan pegawai kehakiman berpengalaman serta berpengetahuan.

Dalam sesi berkenaan, tiada pihak yang kalah kerana persetujuan untuk penyelesaian dicapai secara sukarela, sekali gus mewujudkan situasi menang-menang dan perjanjian penyelesaian juga mengikat pihak-pihak mengikut undang-undang kontrak.

Mediasi juga antara lain dapat menjimatkan masa, tidak formal dan fleksibel yang membolehkan pihak-pihak terbabit lebih selesa untuk berbincang.

"Bagi memudahkan orang ramai memahami tatacara pengendalian mediasi terbabit, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia telah mengeluarkan Prosedur Pengendalian Mediasi Secara Dalam Talian dan Prosedur Pengendalian Mediasi di Pusat Mediasi Mahkamah.

"Kedua-dua Prosedur ini merangkumi tatacara pengendalian mediasi yang terbahagi kepada pramediasi, semasa mediasi dan pasca mediasi. Prosedur ini berkuatkuasa 2 Jun 2020," kata pejabat itu lagi.

Infografik mengenai prosedur berkenaan boleh diakses melalui portal rasmi Badan Kehakiman Malaysia di pautan www.kehakiman.gov.my.

Dewan Rakyat telah meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan kehakiman, mahkamah kehakiman dan rendah.

Tiga RUU itu adalah RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020, RUU Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan RUU Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020.

Semua RUU yang dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan itu diluluskan tanpa pindaan menerusi undian suara.

Takiyuddin ketika menggulung perbahasan RUU Mahkamah Kehakiman (Pindaan) 2020, berkata ia akan membolehkan perbicaraan dilakukan secara dalam talian, tertakluk kepada pertimbangan hakim.

Pindaan itu akan membenarkan mahkamah menggunakan beberapa perisian berbayar iaitu Skype dan Zoom yang menawarkan jaringan keselamatan bagi mengelak cubaan penggodaman.

"Pindaan Ini bukan usaha tergesa-gesa. Ia digunakan di mahkamah di Sabah dan Sarawak, jadi saya menaruh kepercayaan ia boleh dilaksanakan di Semenanjung.

"Ia adalah satu pilihan dalam mahkamah dan kita akan teliti kes demi kes, bukan semua pendengaran secara dalam talian.

"Ada agensi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang memantau dari semasa ke semasa, bagi mengesan sebarang kegiatan menggodam. Setakat ini tiada berlaku (penggodaman).

"Kita juga ada Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang membuat dasar mengenai keselamatan siber, selain Kementerian Komunikasi dan Multimedia, CyberSecurity melaksanakan operasi daripada dasar dibuat NACSA dan MAMPU," katanya.

Pindaan sama turut terpakai bagi RUU Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020 dan RUU Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah (Pindaan) 2020.

Badan kehakiman komited memberikan akses keadilan kepada orang awam ketika musim pandemik Covid-19 dengan melaksanakan perbicaraan dalam talian dalam usaha mengelakkan penangguhan terutama kes sivil.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, perbicaraan dalam talian bagi kes sivil adalah terhad kepada persetujuan pihak-pihak berbalah yang mana tanpa persetujuan itu, kes akan ditangguhkan sehingga didengar di mahkamah terbuka.

Bagaimanapun, menurut beliau, dalam kes-kes jenayah, terdapat kesukaran untuk mendengar kes melalui teknologi komunikasi jarak jauh kerana hak untuk satu perbicaraan yang adil memerlukan kehadiran tertuduh dalam prosiding tersebut.

Pada awalnya para peguam terutama peguam kanan kurang memberi sokongan terhadap perbicaraan dalam talian atas alasan kononnya wujud ketidakupayaan untuk mendapatkan suatu perbicaraan yang adil dan kehilangan kemahiran kepeguaman,” ujar beliau dalam satu kenyataan ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu.

Jelas Tengku Maimun, hal ini menjadi lebih sukar dengan ketiadaan kerangka perundangan yang secara jelas membenarkan perbicaraan dalam talian.

Ujarnya, bagi mengatasi kesulitan ini, badan kehakiman telah mengusulkan pindaan tertentu terhadap Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Akta Kaedah-kaedah Mahkamah Rendah 1955 bagi membolehkan perbicaraan secara jalan talian dijalankan dengan meluas.

Menurut Tengku Maimun, Parlimen telah meluluskan pindaan yang memperuntukkan kuasa secara nyata bagi menjalankan perbicaraan secara dalam talian yang mana undang-undang ini mula berkuat kuasa 22 Oktober lalu.

Ujar Ketua Hakim Negara, Kaedah-kaedah Mahkamah 2012, Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 telah dipinda berkuat kuasa 15 Disember lalu untuk mengawal selia dan menetapkan tatacara berhubung dengan pengendalian perbicaraan secara dalam talian.  

Beliau turut mengumumkan pencapaian Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di seluruh Malaysia bahawa daripada 12,733 kes untuk pendengaran dalam talian, 5,659 kes telah dilupuskan. 

Sementara di Mahkamah Tinggi di Malaya dan di Sabah dan Sarawak pula daripada  7,544 kes yang ditetapkan untuk perbicaraan dalam talian sejumlah 5,663 kes dilupuskan.

Tengku Maimun turut mengumumkan rancangan badan kehakiman untuk tahun hadapan iaitu mendigitalkan proses pengakuan bersalah dalam kes kesalahan lalu lintas dan membenarkan pembayaran denda secara elektronik.

Jelas beliau, pada masa ini terdapat mekanisme dalam seksyen 137 Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan seseorang yang dituduh untuk mengaku bersalah melalui surat yang mana majistret dibenarkan mengecualikan kehadiran tertuduh ketika mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman denda sahaja. 

Ujarnya, badan kehakiman mencadangkan agar penerimaan pengakuan bersalah dan menjatuhkan hukuman denda sahaja dibenarkan melalui sistem elektronik yang ditetapkan bagi mengurangkan kesesakan Mahkamah Majistret. 

Dalam kenyataan itu, Tengku Maimun turut memaklumkan bahawa acara tradisi badan kehakiman iaitu penganjuran Pembukaan Tahun Perundangan 2021 tidak akan dilaksanakan tahun depan kerana pandemik Covid 19.

Rujukan:

https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2020/06/695686/sesi-mediasi-di-mahkamah-boleh-guna-skype-zoom

https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2020/08/725038/undang-undang-baharu-benarkan-perbicaraan-dalam-talian

https://www.utusan.com.my/berita/2020/12/bicara-dalam-talian-elak-penangguhan-kes/

Comments

Popular Posts