PERTIKAIAN STATUS HALAL PELABURAN KWSP

Saranan dan cadangan agar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyediakan garis panduan dan instrumen pelaburan halal perlu diberikan perhatian serius oleh pihak berwajib. Sehingga 31 Disember 2006, KWSP mempunyai 11.38 juta ahli termasuk 5.4 juta pencarum aktif berbanding 11.09 juta pencarum pada 2005, termasuk 5.26 juta ahli aktif.

KWSP adalah model contoh badan awam yang diberikan keistimewaan dan kebenaran menyimpan, mengurus, mentadbir dan melabur wang pencarum sehingga mereka mencecah umur 55 tahun selaras dengan Akta KWSP 1991. Melalui Akta tersebut majikan dan pekerja adalah diwajibkan mencarum sebahagian daripada gaji bulanan ke dalam KWSP. Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas majikan yang ingkar dan gagal mencarum.

Menurut laporan akhbar baru-baru ini, KWSP komited bagi memastikan simpanan ahlinya tidak terjejas akibat inflasi dan mengekalkan pembayaran dividen sekurang-kurangnya 2.5 peratus setahun seperti yang diperuntukkan dalam Akta. Seksyen 26 Akta tersebut, menuntut badan berkanun tersebut memastikan semua pelaburan hendaklah dilakukan secara berhemat dan berdisiplin serta dikawal selia oleh Panel Pelaburan KWSP.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata strategi pelaburan KWSP berteraskan elemen keselamatan, kecairan dan pulangan iaitu melindungi nilai simpanan, memastikan kecairan dana mencukupi dan kadar pulangan paling optimum. Sehubungan itu, KWSP melaburkan hampir 80 peratus asetnya dalam instrumen berpendapatan tetap yang berisiko rendah manakala selebihnya dalam ekuiti.

KWSP juga dibenarkan membuat pelaburan di negara lain dan setakat ini, RM1.2 bilion sudah dilaburkan terutama di negara rantau Asean dan Asia Pasifik oleh pengurus dana yang diiktiraf oleh kerajaan dan setakat ini memberi keuntungan sekitar 12 peratus. Pelaburan KWSP juga pelbagai seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia sebanyak 37.32 peratus, pinjaman dan bon (36 peratus), ekuiti (19 peratus), instrumen pasaran wang (6.3 peratus) dan 0.6 peratus dalam sektor hartanah.

Dengan moto 'simpanan hari tua anda' menunjukkan betapa pentingnya peranan, fungsi dan tanggungjawab KWSP ke atas semua pencarumnya.

Menurut kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang dikeluarkan baru-baru ini mendakwa terdapat sebahagaian kecil pelaburan KWSP yang berasaskan faedah riba dan tidak mematuhi prinsip syariah seperti yang digaris serta dikawal selia oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.

Jika benar dakwaan bahawa status pelaburan dana KWSP adalah tidak halal, was-was atau meragukan maka adalah dibimbangi situasi ini boleh menyumbang impak negatif dari sudut spiritual. Ini adalah kerana kebanyakan pencarum Islam menggunakan wang simpanan KWSP untuk tujuan rawatan perubatan, kesihatan, kebajikan keluarga, pendidikan dan sebagainya.

Lebih-lebih lagi, bagi yang menanti alam pencen maka sudah tentu wang simpanan hasil titik peluh selama puluhan tahun tersebut bakal digunakan untuk tujuan menunaikan fardhu haji di Mekah. Oleh yang demikian, status halal pelaburan KWSP perlu dipandang serius oleh pihak pentadbiran dan pengurusan KWSP.

Kesediaan dan kesungguhan institusi perbankan dan insuran konvensional mewujudkan liberalisasi pasaran halal di negara kita dengan kewujudan begitu banyak produk kewangan Islam dan takaful, menjadi petunjuk dan cabaran kepada KWSP membuat satu anjakan paradigma merealisasikan skim pelaburan halal mereka.

Bagi menyahut seruan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat dan hab halal pelaburan dan kewangan dunia, maka KWSP perlu melakukan sesuatu ke arah itu. Jika institusi kewangan dan insuran mampu melakukan perubahan drastik ini, mengapa tidak KWSP?

Jika alasan bahawa pencarum KWSP bukanlah tertumpu kepada orang Islam sahaja kerana institusi ini turut mengurus caruman bukan Islam, maka sebagai inisiatif dan tanggungjawab sosial KWSP hendaklah mewujudkan satu mekanisme khas bagi melaburkan simpanan ahli beragama Islam dalam instrumen pelaburan yang 100 peratus mematuhi syariah melalui skim dan kaunter khas untuk pencarum Islam dan mengekalkan kaedah sedia ada kepada pencarum bukan Islam.

KWSP perlu memisahkan dana pencarum Islam dan bukan Islam serta berusaha mengelakkan pelaburan yang berteraskan kewangan riba, perjudian dan pertaruhan, pengeluaran atau penjualan produk yang tidak halal seperti syarikat arak dan rokok, aktiviti dan pusat hiburan, pengoperasian hotel dan pusat peranginan yang tidak selaras dengan syariah, insuran konvensional, pelaburan saham, pembrokeran dan banyak lagi.

Walaupun status pelaburan tidak halal KWSP sedia ada hanyalah melibatkan peratusan yang sangat kecil dan tidak memberi kesan besar kepada keseluruhan proses pelaburannya, namun sebagai pelanggan dan pencarum Islam, hak untuk mendapat pulangan yang halal melalui dividen dan kaedah serta instrumen pelaburan yang halal tidak boleh diketepikan dan seharusnya diberikan perhatian sepenuhnya.

Mungkin perubahan ini tidak dapat dilaksanakan dalam masa yang singkat dan terdekat ini kerana melibatkan kos dan proses teknikal yang rumit serta boleh menganggu jentera pelaburan KWSP, namun sebagai perancangan jangka panjang korporat, isu penting ini perlu dijadikan agenda utama mereka melalui inisiatif penubuhan unit pelaburan dan pematuhan Syariah KWSP serta pindaan ke atas akta sedia ada.

Anjakan ini adalah selaras dengan prinsip Islam Hadhari yang menekankan persekitaran ekonomi yang seimbang dan komprehensif.

Rujukan:

Pelaburan KWSP Dijamin, Berita Harian, 23 Mei 2007

Laman web rasmi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP):
(http://www.kwsp.gov.my/)

Laman web rasmi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM):
(http://www.muslimconsumer.org.my/ppim/)

Comments

Popular Posts