FENOMENA YIN, RAKYAT BERSATU MENCARI

Misteri kehilangan kanak-kanak berusia 5 tahun sudahpun berakhir. Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali atau Yin, yang dilaporkan hilang sejak 31 Mac yang lalu, ditemui selamat di Sentul pada petang Sabtu lepas.

Kehilangan beliau telah mendapat liputan meluas di dalam media massa arus perdana dan saban hari usaha serta operasi pencarian dijalankan di seluruh negara hatta sampai di sempadan negara jiran. Tragedi kehilangan ini telah mengembarkan rakyat di seluruh tanah air dan berita kehilangannya dilaporkan secara langsung hampir setiap hari di negara kita.

Kini usaha dan operasi pencarian tersebut berakhir, dan apa yang menariknya ialah fenomena kehilangan Yin berjaya mewujudkan suasana kerjasama, persefahaman dan usaha gigih rakyat di negara kita menjejaki Yin. Semua bangsa sama ada Melayu, Cina, India dan lain-lain berusaha mencari dan cuba mendapatkan Yin.

Segala jentera dan kaedah pencarian digunakan semata-mata untuk menjayakan operasi dan tanggungjawab sosial ini. Fenomena Yin benar-benar menguji serta mengukur tahap keikhlasan dan kerjasama semua pihak yang terlibat.

Badan-badan bukan kerajaan (NGO) utama dengan kerjasama pihak Polis dan badan lain telah menjalankan operasi besar-besaran mencari Yin melalui pelbagai cara dan mekanisme. Usaha dan tindakan yang konsisten dan komprehensif ini akhirnya berhasil dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Parti-parti politik sama ada daripada pihak kerajaan dan pembangkang turut mengambil peluang serta ruang menjayakan usaha pencarian Yin, di mana poster, kain rentang, iklan dan risalah tentang kehilangan Yin diedarkan kepada rakyat di sekitar Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama di seluruh negara.

Usaha murni ini melihatkan betapa prihatin dan harmoninya masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara kita. Walaupun ganjaran berupa wang telah disediakan oleh keluarga Yin atas bantuan dan usaha beberapa dermawan bagi sesiapa yang berjaya menjejaki Yin, namun itu bukanlah menjadi agenda utama kepada usaha pencarian Yin.

Tidak kurang juga ada pihak yang prihatin mengadakan doa dan solat hajat di surau-surau dan masjid-masjid agar Yin segera ditemui. Semua ini dilakukan tanpa dipaksa dan disuruh, tetapi inisiatif ini hadir sendiri sebagai tanda sensitiviti rakyat yang bertanggungjawab.

Dalam keadaan kegelisahan dan kesedihan kehilangan Yin, masih ada pihak-pihak tertentu yang cuma mengambil kesempatan menyebarkan maklumat dan berita palsu berkenaan kehilangan Yin. Ramai bomoh dan pawang membuat ramalan serta kenyataan yang bukan-bukan dan amat tidak bertanggungjawab. Ada juga pihak yang cuba menipu untuk mendapatkan habuan wang yang dijanjikan keluarga Yin.

Kini misteri dan tragedi kehilangan Yin sudah di penghujungnya dan diharapkan Yin bahagia di samping keluarganya. Ucapan terima kasih dan penghargaan yang setingginya perlu dihadiahkan kepada semua pihak yang bersungguh-sungguh menjejaki Yin. Negara amat bertuah dan berbangga memiliki rakyat yang begitu prihatin dan peka dengan apa jua isu dan masalah yang berlaku.

Apa yang diharapkan ialah semoga peristiwa ini tidak berlaku pada masa hadapan dan ianya bolehlah dijadikan sebagai panduan dan pengajaran kepada semua ibu bapa dan penjaga. Mereka perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab ke atas anak-anak di bawah jagaan mereka. Ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak berada di dalam keadaan selamat dan sentiasa di dalam perhatian mereka agar peristiwa Yin tidak berulang lagi.

Comments

Popular Posts