KERJASAMA ERAT SEKTOR AWAM DAN SWASTA PERLU

Saranan Perdana Menteri baru-baru ini, agar sektor awam dan swasta menjalinkan persahabatan dan kerjasama erat dalam semua bidang, idea dan falsafah bakal memberikan impak positif serta manfaat yang berguna kepada negara dan rakyat. Inisiatif ini perlu bagi memenuhi tuntutan dan gagasan Dasar Persyarikatan Malaysia (DPM) yang diasaskan sejak tahun 1983 lagi.

Konsep DPM mampu meningkatkan pembangunan dan imej negara pada tahap yang tertinggi. DPM memberikan peluang kepada entiti terpenting negara ini bersatu tenaga dan bekerjasama secara erat, bermakna dan berkesan ke arah pembangunan agama, bangsa dan negara.

Falsafah DPM ialah menghapuskan sikap permusuhan dan persaingan di antara kedua-dua pihak, mengurangkan kerenah birokrasi dan sebaliknya mereka bersama-sama berkongsi maklumat, tanggungjawab, cabaran serta memahami polisi, objektif dan prosedur masing-masing dalam usaha mempertingkatkan pembangunan sosial, pentadbiran, pengurusan dan ekonomi negara.

Ketika ini kita melihat seolah-olah wujud jurang yang luas di antara kedua-dua sektor ini. Sektor awam dilihat sebagai peneraju dasar-dasar awam yang berkaitan dengan rakyat jelata dan sektor swasta pula dilihat sebagai organisasi yang ditubuhkan berteraskan keuntungan dan prestij semata-mata.

Persepsi salah ini perlu dianjakkan kerana kedua-dua sektor ini saling memerlukan dan mempunyai tanggungjawab besar membina serta memacu pembangunan negara. Ini adalah kerana badan awam mampu menyediakan dasar-dasar utama dan menentukan arah serta menyediakan perkhidmatan sokongan yang diperlukan oleh swasta. Manakala badan swasta pula, menjadi pendokong kepada perkembangan dan kemajuan aktiviti perdagangan serta ekonomi negara. Gandingan bijak kedua-dua entiti penting ini akan memberi keuntungan kepada negara dan rakyat dalam bentuk pemerolehan cukai dan penglibatan sosial.

Oleh yang demikian, dalam mengejar keuntungan dan indeks prestasi syarikat, tanggungjawab sosial korporat (CSR) tidak boleh diabaikan oleh pihak swasta di negara ini. Mereka perlu melaksanakan tanggungjawab sosial ini dengan penuh dedikasi, penuh komitmen dan bersungguh-sungguh. Di samping itu, sektor awam pula hendaklah memberikan kerjasama dan bantuan sepenuhnya ke arah menjayakan hasrat ini.

Dalam keadaan kita dihebohkan dengan perang harga di antara syarikat rokok multinasional ketika ini, mereka sepatutnya tidak mementingkan kepentingan dan keuntungan syarikat sahaja, tetapi perlu bersama-sama kerajaan berganding bahu memperhebatkan aktiviti dan program bersepadu berkenaan bahaya, kemudaratan dan kempen anti merokok di seluruh negara sebagai salah satu inisiatif sosial mereka kepada rakyat dan negara ini. Indeks dan statistik penagihan dan penjualan rokok hendaklah dikurangkan. Syarikat multinasional seperti JT International (JTI), British American Tobacco (BAT) dan Philip Morris perlu memainkan peranan mereka sewajarnya dalam hal ini.

Manakala dalam bidang automotif pula, dengan pengalaman lebih 20 puluh tahun, Proton sepatutnya sudah lama mempunyai universiti sendiri sebagai institusi teras membangunkan teknologi terkini serta sebagai badan penyelidikan dan pembangunan (R&D) permotoran di negara kita. Kewujudan universiti Proton mampu meningkatkan imej, standard dan kualiti industri automotif negara di mata dunia.

Industri automotif negara akan menjadi lebih fokus dan modal insan dalam sektor automotif dapat dilahirkan. Ini adalah tanggungjawab sosial yang perlu diterjemahkan oleh Proton. Pengalaman konglomerat seperti Petronas dan Tenaga Nasional yang memiliki dan membangunkan universiti mereka sendiri, bolehlah dijadikan panduan. Hasilnya kini industri tenaga, minyak dan gas negara diiktiraf dan dikagumi dunia.

Bagi membangunkan institusi pendidikan dan ICT negara, sektor korporat perlu turun padang memberi sumbangan material dalam bentuk dana dan pembiayaan. Setakat ini kita memiliki beberapa yayasan seperti Yayasan Albukhary, Yayasan Emkay dan lain-lain yang begitu komited menjayakan aspirasi pembangunan pendidikan dan ICT negara.

Kerjasama di antara universiti awam dan swasta adalah amat perlu bagi memastikan kualiti dan standard pendidikan tinggi di negara kita seiring dan bertaraf dunia. Kerjasama dalam bentuk perpindahan teknologi, tenaga mahir, R&D, kepakaran, fasiliti, modal insan dan sebagainya perlu ditingkat dan diintegrasikan semaksima mungkin.

Sektor swasta lain juga perlu turut serta menjayakan projek kerjasama dan tanggungjawab besar ini, dengan memperhebatkan lagi pusat-pusat pendidikan dan latihan di negara kita; penyediaan tuisyen percuma di seluruh negara dengan memberi fokus kepada subjek matematik dan sains serta subjek teras lain; kemudahan makmal komputer yang lengkap dan kafe siber di kawasan pedalaman dan desa-desa; serta pelbagai lagi inisiatif yang boleh dikembangkan oleh pihak swasta dengan kerjasama badan awam lain.

Infra struktur dan prasarana ini penting bagi menjayakan hasrat kerajaan membina, memaju dan membangunkan Malaysia, melalui kerjasama dan persahabatan pihak swasta dan kerajaan.

Comments

Popular Posts