BERBAKTILAH KEPADA IBU BAPA

Trend menghantar ibu dan bapa yang telah tua, uzur dan tidak berkemampuan ke rumah orang tua atau pusat jagaan, dilihat semakin ketara sejak kebelakangan ini. Situasi ini dapat dilihat dan dikesan berdasarkan kepada jumlah bilangan penghuni sedia ada di Pusat Jagaan Warga Emas atau juga dikenali sebagai Rumah Seri Kenangan di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pusat perlindungan yang disediakan oleh beberapa badan NGO dan agensi swasta lain.

Budaya Barat ini semakin menular di dalam masyarakat moden di negara kita. Menurut perangkaan JKM, terdapat seramai 1,714 warga tua yang mendiami sembilan Rumah Seri Kenangan di seluruh negara pada tahun 2001, manakala 1,686 (2002), 1,829 (2003), 1,673 (2004) dan 1,827 (2005). Setakat statistik tahun 2005, daripada jumlah 1,827 warga emas, 751 adalah dari kaum Melayu, 558 (Cina), 507 (India) dan 11 (lain-lain). Dari segi jantina pula, 1,171 adalah warga lelaki dan 656 wanita.

Pada hakikatnya, sepasang suami isteri mampu dan sanggup berkorban jiwa dan raga mereka menjaga, mendidik, dan berhabis wang ringgit memelihara berbelas-belas anak, namun amat malang sekali apabila jumlah anak yang ramai bukanlah jaminan kepada ibu bapa mendapat pembelaan dan kesenangan apabila mereka telah tua dan tidak bermaya kelak.

Anak-anak yang tidak bertanggungjawab, kurang prihatin dan tidak berfikiran secara waras akan mengambil tindakan kejam serta tidak berperikemanusiaan menghantar ibu dan bapa mereka ke rumah-rumah orang tua tanpa ada rasa segan silu, malu dan bersalah. Bahkan ada anak-anak yang bangga menceritakan kepada rakan-rakan sepejabat yang mereka telah berjaya akhirnya, menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan orang tua ekoran tidak tahan dengan kerenah ibu bapa mereka.

Sebahagian daripada anak-anak yang boleh dikategorikan sebagai anak derhaka ini, berpendapat adalah lebih wajar dan bijak menghantar ibu bapa mereka yang telah tua ke pusat jagaan atau rumah orang tua agar ada orang lain yang boleh menjaga dan memastikan keselesaan pakaian, makan minum dan tidur ibu bapa mereka. Ini adalah lantaran mereka terlalu sibuk dan tidak mempunyai masa dan ruang yang cukup bersama-sama ibu bapa mereka.

Keadaan akan menjadi lebih parah apabila ibu bapa yang terlalu tua, nyanyuk, keanak-anakan dan sudah tidak boleh menjaga kebersihan serta persiapan diri. Jalan terakhir yang diambil oleh anak-anak yang tidak prihatin ini ialah menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan, ke rumah waris yang terdekat ataupun dibiarkan hidup dan tinggal sebatang kara di kampung.

Faktor tinggal di bandar, gaji yang rendah, kos hidup yang tinggi, anak yang ramai dan rumah yang kecil menjadi alasan terbaik untuk mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang anak. Kadang-kala terdapat anak-anak yang mengambil kesempatan ke atas ibu bapa mereka yang tinggal bersama-sama mereka. Mereka dengan senang hati menyuruh dan mengarah ibu bapa mereka menjadi seperti orang gaji dan pembantu rumah mengurus hal ehwal rumahtangga mereka seperti menjaga anak, memasak, mencuci, berkebun dan sebagainya. Ada yang dibayar dan ada yang secara sukarela.

Sebagai seorang anak yang bertanggungjawab dan berfikiran waras, biarpun susah, sengsara, kesempitan hidup dan sebagainya, kita perlu melaksanakan peranan dan fungsi kita sebagai anak. Seorang anak yang baik tidak akan terlintas dibenak hatinya menghantar ibu dan bapa mereka ke rumah orang tua atau pusat jagaan dalam apa jua keadaan sekali pun, biarpun terpaksa bergolok dan bergadai.

Oleh yang demikian, kerjasama di kalangan anak-anak perlu ada bagi mengelak berlaku perbuatan tidak bertamadun ini. Mereka perlu berbincang dan merancang tanggungjawab masing-masing serta memastikan kedua ibu bapa mereka tidak diabaikan dan mendapat pembelaan sewajarnya. Anak-anak juga perlu menyediakan tabungan khas dan skim perlindungan insuran untuk kebajikan serta kemudahan ibu bapa pada masa hadapan, dan memastikan segala keperluan serta kepentingan ibu bapa terpelihara.

Ada anak yang tidak pernah menghantar duit perbelanjaan kepada ibu dan bapa serta jarang sekali datang menjengok hal keadaan mereka. Apa yang peliknya, anak-anak yang sudah berjaya dalam hidup ini, bebas bergaya dengan rumah dan kereta yang mewah, mampu memiliki kad kredit yang banyak serta pelbagai keperluan eksklusif lain, namun mereka terlalu berkira dan berat untuk menghantar sedikit wang dan penghargaan kepada ibu bapa mereka.

Faktor utama yang menyumbang kepada tindakan tidak beradab ini ialah kurangnya didikan agama dan rasa hormat serta sayang terhadap ibu bapa. Mereka lebih utamakan kerjaya, keluarga dan kawan-kawan berbanding ibu bapa sendiri. Oleh yang demikian, ibu bapa perlu menekankan pendidikan agama kepada anak-anak mereka agar anak-anak faham dan melaksanakan tuntutan agama dengan sempurna.

Kesilapan dan kelalaian mendidik anak-anak juga boleh menjadi penyebab kepada masalah ini. Ibu bapa perlu bijak, kreatif dan ikhlas mendidik dan memberi pelajaran kepada anak-anak. Ini adalah pelaburan jangka panjang yang tidak boleh dipandang ringan kerana kesilapan kita pada hari ini, risikonya bakal kita hadapi pada hari tua kelak.

Bagi mengelak sesuatu yang tidak baik berlaku pada masa hadapan, maka ibu bapa perlu mempunyai tabungan mereka sendiri agar ianya membantu apabila mereka sudah tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan. Ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kebergantungan kepada anak-anak dan dapat meringankan beban mereka. Bagi yang bekerja tetap mungkin tidak menjadi masalah kerana dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), perlindungan insuran dan sebagainya dapat membantu. Bagi mereka yang bekerja sendiri pula hendaklah membuat persiapan dan mempunyai tabungan sendiri untuk kegunaan hari tua nanti. Namun ini bukanlah jaminan yang anak-anak tidak menghantar ibu bapa ke rumah orang tua.

Islam mewajibkan anak-anak mentaati dan menjaga kebajikan kedua ibu bapa seperti yang diterangkan di dalam beberapa ayat Al-Quran seperti Al-Ankabut: 8; Luqman: 14-15; Al-Ahqaf: 15; dan Al-Israk: 23-24. Terdapat banyak hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim sebagai petunjuk dan penanda aras yang mewajibkan kita mentaati, menyayangi dan mengasihi kedua-dua ibu bapa.

Walaupun trend negatif ini masih di tahap terkawal di negara kita, namun pada masa hadapan mungkin negara terpaksa menggunakan saluran undang-undang bagi mengekang masalah ini. Sebagai contoh, banyak negara telahpun menggubal undang-undang dan peraturan bagi menjamin kebajikan dan keselamatan ibu bapa terjaga, di mana anak-anak boleh dipaksa oleh Mahkamah agar bertanggungjawab terhadap maslahah ibu bapa mereka.

Sebagai contoh, Singapura telahpun lebih awal menggubal Akta Penanggungan Ibu Bapa (APIB) 1995, diikuti Filipina dengan Akta Pembiayaan Ibu Bapa 1998 dan India merangka Rang Undang-Undang Penanggungan dan Kebajikan Ibu Bapa dan Warga Emas (RUPKIBWE) 2006. Melalui peruntukan undang-undang ini, ibu bapa yang teraniaya dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada anak-anak, boleh mendapatkan keadilan di Mahkamah. (C Ramasamy, 2007. Menangani Masalah Anak Abaikan Ibu Bapa; Hukum Si Penderhaka?. Harian Metro, 17 Mac)

Oleh yang demikian, cadangan beberapa ahli Parlimen yang prihatin agar tindakan tegas dikenakan ke atas anak-anak derhaka ini perlu diberi perhatian. Saranan agar kerajaan memotong gaji anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan warga emas dan pada masa yang sama, memberi insentif tertentu seperti potongan cukai kepada mereka yang sanggup menjaga orang tua sendiri perlu dipertimbangkan.

Manakala cadangan pindaan Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) dan kesediaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melihat dan berusaha menangani masalah ini hendaklah dipandang serius oleh pihak berwajib agar masalah ini tidak menjadi barah dalam masyarakat kita. Adalah diharapkan pindaan akta berkenaan bakal memberi nafas baru kepada lanskap dan suasana persekitaran pusat jagaan rumah warga emas di negara kita.

Bagi yang telahpun menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua atau yang sedang bercita-cita untuk menghantar ibu bapa mereka ke sana, maka sudah tentu mereka juga perlulah bersedia bahawa pada suatu hari nanti, mereka juga bakal dihantar ke tempat yang sama sekiranya perkara tidak diselesaikan segera.

Sebagai anak yang berterima kasih dan sayang kepada kedua ibu bapa mereka, peluang berbakti kepada orang tua bukanlah suatu pilihan tetapi kewajipan yang perlu ditunaikan.

Comments

Popular Posts