Buku sebagai penanda aras kemajuan dan asas tamadun manusia
Kehadiran medium internet telah memudahkan medan pembacaan masyarakat di seluruh dunia dan merangsang tabiat membaca itu sendiri. Inovasi internet telah memungkinkan kewujudan buku elektronik (e-book), laman blog, portal ilmu dan sebagainya sebagai alternatif bahan bacaan. Di samping kaedah dan bahan bacaan tradisional sedia ada yang melibatkan penulisan dan penerbitan, bahan bacaan secara maya kini memainkan peranan yang semakin penting merencanakan pemikiran, minat dan budaya membaca.
Sebagai perbandingan bahan penerbitan maya boleh didapati secara percuma, mudah dilayari pada bila-bila masa dan di mana sahaja kita berada. Namun bahan bercetak seperti buku misalnya melibatkan kos yang agak tinggi kerana terpaksa membeli atau sekurang-kurang meminjam di perpustakaan awam. Kekangan ini menjadikan bahan bacaan maya lebih popular dan interaktif berbanding buku biarpun kualiti serta tahap kesarjanaan adalah berbeza.
Sungguhpun begitu, bahan bacaan bercetak seperti buku misalnya masih kekal relevan dan memainkan peranan yang tersendiri sejak ribuan tahun dalam memperkasakan minda dan tahap intelektual masyarakat dulu, kini dan selamanya. Ini adalah kerana bagi masyarakat yang tegar cintakan ilmu dan informasi akan meletakkan buku sebagai teman dan aset utama mereka melihat kepada khazanah pengetahuan yang terkandung di dalamnya.
Namun apa yang menyedihkan ialah realiti bilangan buku yang diterbitkan di negara kita masih belum seimbang dengan jumlah penduduk dan tidak mampu menampung keperluan pembacaan di kalangan rakyat. Statistik Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati, hanya 16,044 judul buku diterbitkan pada 2008 sedangkan jumlah penduduk di negara ini mencecah 27 juta orang.
Jumlah penerbitan buku yang masih kecil ini perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa tanpa kompromi kerana ia melambangkan minat, imej, kesungguhan dan kecenderungan masyarakat negara ini menjadikan buku sebagai penanda aras kemajuan dan asas tamadun manusia. Kebanjiran buku di pasaran komersial dan intelektual membuktikan bahawa ilmu pengetahuan dan maklumat terkini dapat direkod serta dokumentasikan secara bertulis.
Sehubungan itu, penerbit-penerbit buku di Malaysia termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta agensi penerbitan swasta lain seharusnya menerbitkan 27,000 judul buku setahun bagi menampung keperluan rakyat yang semakin meningkat dan masalah kekurangan buku sekarang wajar ditangani segera berikutan komitmen kerajaan yang serius untuk menjadi negara maju dinamik dan progresif pada tahun 2020. Indeks penerbitan buku tempatan sedikit sebanyak menjadi penentu kejayaan wawasan berkenaan.
Kerajaan menganggarkan 30 juta rakyat Malaysia menjelang 2020 dan bagi menampung keperluan itu, 30,000 judul buku dalam pelbagai bahasa, disiplin dan genre perlu diterbitkan setahun selaras dengan status Malaysia sebagai negara maju ketika itu. Semua syarikat penerbit tempatan dalam hal ini hendaklah meningkatkan jumlah penerbitan buku agar buku dapat dijadikan sebagai agen memupuk amalan membaca di kalangan rakyat.
Ini dalah kerana Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia tahun 2005 oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati lebih daripada separuh, iaitu 54.3 peratus rakyat negara ini membaca purata kurang tujuh halaman sehari. Selanjutnya daripada jumlah 54.3 peratus itu pula, 12 peratus membaca purata kurang dua halaman sehari atau 50 halaman sebulan. Statistik ini perlu dilonjak ke tahap optima agar paradigma pembaca dapat dianjak selari dengan kempen membaca yang rancak dilaksanakan di seluruh negara.
Pun begitu, isu penerbitan bahan bacaan yang tidak seimbang, masalah kos penerbitan yang semakin meningkat dan tabiat membaca yang rendah di kalangan rakyat di negara ini sendiri menjadi punca kepada krisis buku ini. Sehubungan ini, cadangan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi supaya industri perbankan di negara ini dapat menyediakan platform memberi kemudahan pinjaman kepada penggiat industri buku dalam usaha merancakkan lagi industri penerbitan buku di negara ini dipertimbangkan sewajarnya.
Rujukan:
Penerbitan buku tidak seimbang jumlah penduduk, Utusan Malaysia, 21 November 2009
DBP tak bantu rakyat membaca, Berita Minggu, 29 November 2009
Comments