TULISAN JAWI INSPIRASI INTELEKTUAL DAN PERADABAN MELAYU


Tulisan Jawi adalah lambang jati diri, citra dan keunggulan umat Melayu. Peranan dan jasa agung yang telah dimainkan oleh tulisan jawi sebenarnya telah bermula sejak awal kelahirannya. Ianya telah menjadi medium maklumat dan pendapat paling utama sejak puluhan tahun sehinggalah sejak kebelakangan ini tulisan ini agak diketepikan peranan dan kehebatannya oleh orang Melayu sendiri. Namun begitu orang Melayu sudah lupa jasa dan amanah yang telah dilaksanakan oleh tulisan Jawi di rantau ini dengan jayanya tanpa pernah kenal erti penat dan kalah. Kehadiran kitab-kitab muktabar seperti Sayr as-Salikin, Sabil al-Muhtadin, Tajul Muluk, Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain dan lain-lain serta kemunculan ulama lagenda seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Samad al-Palembangi dan ramai lagi telah berjaya mendaulatkan tulisan jawi semaksimanya sepanjang perjuangan intelektual mereka.

Pensyarah Jabatan Pengajian Umum, Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Muhammad Zainiy Uthman berpendapat Bahasa Melayu berteraskan tulisan jawi akan pupus dan dilupakan oleh orang Melayu sendiri jika ia tidak digunakan dalam menyampaikan pelbagai disiplin ilmu termasuk Sains dan Sejarah. Penggunaan tulisan itu dalam penyampaian ilmu bukan sahaja akan terus menghidupkannya di kalangan orang Melayu malah mengukuhkan tulisan itu sendiri. Sesuatu tulisan itu akan segar di ingatan dan berkembang serta mantap jika ia terus digunakan serta dikuasai oleh masyarakat. Sejarah menunjukkan cabang-cabang ilmu termasuk Sains, Sejarah dan Geografi memainkan peranan penting dalam menyokong, mengukuh dan mengembangkan sesuatu bahasa.

Masyarakat masa kini boleh mengambil iktibar daripada kejayaan para ulama dan ahli-ahli fikir Islam terdahulu yang menguasai pelbagai bidang ilmu dan bahasa. Usaha menghidupkan bahasa Melayu berteraskan jawi perlu dilaksanakan kerana ia juga mempunyai kaitan dengan bahasa ibunda umat Islam iatu bahasa Al-Quran (Arab). Jika ia tidak dilaksanakan, ia akan menjadi seperti bahasa Sumeria berteraskan tulisan cuneiform, tulisan heiroglyph (Mesir Kuno), Syriac, Akkadian dan Latin yang suatu masa dahulu menjadi bahasa ilmu sains dan ilmu tetapi kini telah hilang gahnya. Bahasa Melayu Kuno ditulis menggunakan huruf Pali juga telah dilupakan oleh orang Melayu apabila kedatangan Islam ke Tanah Melayu yang telah mewujudkan bahasa Melayu berteraskan bahasa Arab tetapi bercirikan masyarakat setempat. Penggunaan bahasa Melayu kini memerlukan daya usaha daripada semua pihak untuk menghidupkannya kerana ketika ini ia lumpuh, lesu, tiada penyokong dan pengukuhan dalam membincang dan berbicara perihal ilmiah. Ini berlaku kerana masyarakat ketika ini lebih memberikan tumpuan terhadap bahasa-bahasa Barat.

Bahasa Melayu yang berteraskan tulisan Jawi kesan daripada penyebaran Islam yang berlaku di Nusantara satu ketika dulu akan lenyap dan hilang jika tiada usaha dilakukan dalam memartabatkan semula penggunaannya. Menurut Azizi Haji Abdullah (2006), dari perspektif sejarah tulisan jawi berasal daripada tulisan Arab dan orang Melayu meminjamnya untuk ganti tulisan Hindu yang sekian lama digunakan di awal kemasukan Islam. Bukti kemasukan ini ialah pada batu nisan maqam Shaikh Abdul Qadir ibnu Husin Syah Alam, di Langgar, Alor Setar, Kedah Darul Aman pada 290 Hijrah bersamaan 910 Masihi. Tiga ratus tahun kemudian, timbul pula tanda awal bahasa Melayu yang menggunakan tulisan jawi pada baru bersurat di Terengganu, dengan tarikh ‘Pada hari Jumaat 4 Rejab 702 Hijrah, bersamaan 22 Februari 1303’ dan diikuti dengan penemuan-penemuan lain selepas itu. Kemudian ia tersebar luas, digunakan di daerah-daerah bahasa Melayu dan daerah bukan bahasa Melayu, termasuk ke Pulau Jawa.

Tulisan jawi telah diguna untuk berbagai-bagai penulisan. Yang tertua terbukti terpahat pada batu bersurat di Terengganu pada tahun 702 Hijrah, sehingggalah tercipta undang-undang Islam dalam tulisan jawi, manakala alat tulisan tradisional ini terdiri dari berbagai bahan seperti kulit kambing, kertas, buluh, kepingan pinggan, telut, logam dan lain-lain. Orang yang bertanggung jawab memberi nyawa terhadap tulisan jawi ialah ikon ulung umat Melayu iaitu Pendita Za`ba. Beliau berusaha mengumpulkan perkataan Melayu sejak tahun 1918 bagi tujuan menyusun sebuah kamus besar. Hasilnya pada tahun 1931 Pendita Za`ba telah menulis buku ‘Rahsia Tulisan Jawi’ untuk warisan umat Melayu dan ternyata almarhum Za`ba merupakan pendita yang telah meniup nafas tulisan jawi dari masa ke semasa. Akhirnya sebuah buku Daftar Ejaan Jawi-Rumi dapat disusun hasil dari perbincangan dengan beberapa rakan-rakannya.

Manakala menurut Muhammad Bukhari Lubis (2006) pula, tulisan jawi bermula sejak abad ketujuh Masihi lagi. Pada zaman dahulu, tulisan jawi digunakan pada prasasti atau batu bersurat misalnya Batu Bersurat Terengganu bertarikh 702H/1303M; batu hidup seperti yang ditemui di Pangkalan Kempas, Negeri Sembilan; batu nisan misalnya di pemakaman raja-raja Aceh di Banda Aceh; mata wang khasnya wang emas dan perak, terukir di situ misalnya nama Sultan Muzaffar Syah dan Sultan Mansur Syah; surat kiriman diraja antara Raja Melayu dengan raja bukan Melayu, seperti raja Portugal dan raja Inggeris, juga dengan wakil raja atau pembesar asing yang ada atau datang ke negeri Melayu; kitab dan buku seperti `Aqa'id oleh al-Nasafi yang bertarikh 998 H/1590M; surat perjanjian antara raja dengan negara di Alam Melayu; dan catatan pemilikan dan perdagangan, terutamanya di pelabuhan dan kapal perdagangan.

Kitab lama dahulu pastilah ditulis dalam bentuk manuskrip. Tentang penggunaan tulisan jawi dalam pelbagai manuskrip abad ke-17, pengkaji Barat, seperti van Rongkel, van Elbinck, Robinson, Gerth v. Wijk, Werndly, van der Wall, Cohen Stuart, de Hollander, van der Tuuk, Pijnappel, Klinkert, dan Wilkinson pernah menyatakan rasa kagumnya terhadap keseragaman ejaan jawi dalam manuskrip yang berkenaan. Penggunaan tulisan ini diluaskan lagi buat dua abad terakhir ini. Bahan bacaan, seperti surat khabar misalnya al-Imam yang terbit di Singapura pada 1906 dan majalah seperti Bustanul Arifin yang terbit di Melaka pada 1236H/1821M terus menggunakan tulisan jawi. Begitu juga piagam dan teks pemasyhuran, antaranya pemasyhuran kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Berkenaan perkara ini menurut Dr. Rais Yatim (2006), tulisan atau skrip jawi telah sekian lama berperanan sebagai skrip pentadbiran, keagamaan dan budaya semenjak zaman berzaman, khususnya semenjak Kerajaan Melaka wujud pada awal abad ke lima belas. Peranan tulisan jawi telah berkembang maju melalui sejarah tanah air dan Kepulauan Melayu (Nusantara) dan berperanan penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. Perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris kesemuanya tertulis dalam skrip jawi. Perjanjian-perjanjian seperti antara Sir Stamford Raffles dengan pihak di-Raja Johor, Perjanjian Pangkor 1874, Pemasyuran Merdeka 1957 antara lain juga tertulis dalam skrip jawi. Akhbar dan majalah seperti Utusan Melayu, Utusan Zaman, Mastika dan lain-lain amat popular dan beroleh tempat yang istimewa di kalangan orang Melayu. Tulisan jawi pernah melalui zaman gemilang dalam pelbagai kemajuan bersifat sastera, pentadbiran dan perjuangan silam.

Perjuangan awal politik tempatan di Semenanjung Tanah Melayu dan Pergerakan persuratkhabaran juga menggunakan jawi seluruhnya. Dalam perkembangan ini, akhbar Melayu Peranakan (1907) dan Utusan Melayu yang diterbitkan pada 1939 menyalur gerakan nasionalisme Melayu sehingga menyumbang kepada tenaga sekutu dan perjuangan memerdekakan tanah air pada 31 Ogos 1957 setelah melalui pelbagai tahap dan proses kesukaran. Tulisan Melayu malah menjadi penyalur intelek dan politik utama kepada masyarakat Islam dan orang Melayu. Khususnya sebelum 1960 boleh dikatakan semuanya menghayati penulisan atau perutusan dalam tulisan jawi. Apatah lagi, pengajaran mata pelajaran Islam termasuk pendidikan membaca al-Quran rata-rata diajar melalui tulisan jawi. Bahawa jalinan tulisan jawi dengan peradaban silam tidak dapat disangkal lagi.

Manakala skrip rumi beroleh pilihan dan penggunaan yang lebih menyeluruh dalam sistem pembelajaran jawi lama kelamaan terpinggir dan lantas menjadi mata pelajaran sampingan. Pada 1980 khususnya jawi mulai menurun pemakaiannya baik di sekolah mahupun di sekitar kehidupan lain. Perutusan-perutusan rasmi di-Raja juga terhenti dalam skrip jawi pada tahun 1979. Dalam pada itu, harian Utusan Melayu dan Utusan Zaman secara mingguan mula menurun penerimaan dan edarannya. Pada 1 Januari 2003 harian Utusan Melayu diberhentikan lantaran kemunduran edaran dan pembelian. Harian tersebut dijadikan penerbitan mingguan. Utusan Zaman pula diberhentikan atas alasan yang sama pada 31 Disember 2002. Selepas itu Utusan Melayu diterbitkan sekali seminggu. Majalah-majalah seperti Mastika, Qiblat dan lain lain dalam tulisan jawi turut dirundung nasib negatif yang sama. Mastika hidup cerah kembali apabila edarannya melebihi 200,000 naskhah setiap keluaran setelah menyiarkan kisah-kisah hantu, polong, orang bunian dan lain-lain.

Tulisan Jawi adalah antara tulisan terawal yang pernah ditemui di Nusantara. Tulisan ini juga telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian ke zaman Kerajaan Melaka, zaman Kerajaan Johor dan juga Acheh pada abad ke-17. Ini menunjukkan tulisan Jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi. Tulisan Jawi turut menjadi tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British. Kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakkannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu. Pada zaman dahulu, tulisan jawi memainkan peranan yang sangat penting dalam masyarakat di mana ia digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. Contohnya digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Kemunculannya berkait secara langsung dengan kedatangan agama Islam ke Nusantara. Tulisan jawi juga merupakan tulisan rasmi bagi negara Brunei dan digunakan meluas di Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Semenjak sebelum merdeka lagi tulisan jawi telah berperanan menyatukan umat Melayu. Umat Melayu menjadi kuat dan bersatu dengan idea-idea yang telah dilonjakkan di dada akhbar keramat yang mengaplikasikan tulisan ini. Setiap lembarannya telah berjaya meniupkan api semangat untuk berjaya dan terus berjuang demi bangsa, agama dan negara. Biarpun begitu besar jasa dan peranan tulisan jawi kepada pembangunan umat Melayu tetapi malangnya tulisan jawi telah diabaikan tanpa pembelaan sewajarnya. Tragedi yang berlaku kepada Utusan Melayu dan akhbar jawi lain menjadi sejarah hitam kepada dunia penulisan jawi negara. Keringat dan perjuangan wira penulisan negara terdahulu seolah-olah diketepikan begitu sahaja tanpa belas kasihan.

Dengan menghidupkan kembali kehebatan dan kelangsungan tulisan jawi dalam media massa dan pendidikan negara, apa yang diharapkan ialah agar pisang tidak akan berbuah dua kali. Kelahirannya mestilah dibela, disanjung, dijunjung dan ditatang dengan penuh tanggungjawab. Kegemilangannya perlu dikembalikan semula selari dengan teori tanggungjawab sosial dan media pembangunan. Tulisan jawi adalah satu-satunya tulisan dunia yang masih bertahan dan kekal hingga ke hari ini. Kehebatan, keberanian dan kelantangannya mesti diserlahkan pada massa. Tulisan jawi harus mampu bergerak seiringan dengan tulisan perdana yang lain dan boleh bergerak sendirian dan segagah dahulu. Kita dampakan kewibawaan tulisan jawi yang asal, yang begitu berjasa kepada perkembangan agama, bangsa dan negara. Tulisan jawi begitu gagah mempertahan dan membela umat Melayu dan melalui medium akhbar, telah berjaya mengkritik dasar-dasar penjajah yang merugikan umat Melayu suatu ketika dahulu. Kita ingin melihat tulisan jawi kembali menjadi tulisan utama yang bakal menjadi nadi dan jantung maklumat di negara kita.

Apa yang amat penting sekali adalah berkenaan tulisan jawi dan penerimaannya oleh orang ramai yang suatu ketika dahulu kita dapat melihat orang Cina dan India pun bangga membaca akhbar bertulisan jawi. Kita juga mengharapkan agar tulisan jawi akan terus berkembang dan menjadi tulisan kebanggaan semua. Ini juga adalah selaras dengan projek mega kerajaan di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperkenalkan Program J-QAF (Jawi, Quran, Arab dan Fardhu Ain) di sekolah-sekolah rendah di seluruh negara semenjak 2005. Berita gembira kepada generasi muda untuk mempertahankan warisan agung ini dan tamparan keinsafan kepada generasi lama yang meminggirkan tulisan ini sejak sekian lama. Semoga inisiatif bijak kerajaan ini menjadi pemangkin kepada perkembangan dan survival tulisan jawi di Malaysia dan rantau ini.

Adalah satu kebanggaan, kemuliaan dan amat berprestij sekira kita boleh mengenal dan membaca tulisan jawi. Jawi adalah tulisan warisan negara kita sejak zaman kegemilangan kerajaan kesultanan Melaka lagi. Hatta pernah menjadi tulisan utama dan standard di alam Melayu sejak ratusan tahun. Tulisan jawi telah mewarnai sejarah perkembangan Islam dan menjadi tunjang kepada kekuatan korpus intelektual Nusantara. Ini diakui sendiri oleh sarjana tempatan dan orientalis Barat seperti yang dinyatakan sebelum ini. Hakikat ini seolah-olah membuktikan tanpa kewibawaan tulisan jawi, umat Melayu mungkin masih belum bangun dari lena kejahilan yang panjang.

Namun begitu, tanpa komitmen, kesedaran dan sokongan padu orang Melayu sendiri, nasib dan hala tuju tulisan jawi tidak akan ke mana. Syarikat konglomerat korporat, Badan NGO, perpustakaan, parti-parti politik Melayu, sekolah, universiti, kolej, individu dan banyak lagi perlu memainkan peranan di dalam usaha untuk menjayakan inisiatif murni ini. Usaha dan tindakan ini bukanlah komitmen yang berbentuk sementara, bermusim atau ad hoc tetapi menjadi satu usaha yang berterusan. Jutawan-jutawan Melayu juga harus mengembleng tenaga dan dana dalam bentuk bantuan wang untuk menyumbang kepada kelancaran pemeliharaan, penerbitan dan kesinambungan tulisan jawi di negara kita.

Dalam keadaan akhbar dan media massa berteraskan tulisan jawi lain dilihat gagal menarik perhatian khalayak akibat mutu berita yang rendah; isu dan rencana yang tidak menarik; pengolahan dan kupasan yang bersifat tangkap muat serta tidak teratur; imej dan penampilan yang lemah; serta pelbagai lagi kelemahan begitu terserlah jika dihayati hampir setiap keluarannya. Namun begitu setiap kelemahan dan kecacatan pasti ada cara dan teknik terbaik untuk mengatasinya. Pihak yang bertanggungjawab hendaklah melakukan sesuatu untuk memperbaiki hal keadaan ini agar media berteraskan tulisan jawi mampu menjadi bahan berita yang ditunggu-tunggu setiap keluarannya oleh peminat dan khalayak.

Adalah diharapkan agar tulisan jawi akan terus menjadi medan serta wadah perbincangan intelektual dan penggabungan idea serta minda umat Melayu dan bukan Melayu di negara kita. Tulisan jawi juga harus bersedia bersaing dengan tulisan perdana lain dan tidaklah hanya sekadar menjadi tulisan satu bangsa sahaja. Untuk itu, imej, personaliti dan persembahan tulisan jawi yang komprehensif dan dinamik diperlukan. Tarikan massa juga penting agar imej tulisan jawi tidaklah bersifat simpati dan tulisan kelas kedua bagi rakyat di negara kita. Tulisan jawi perlu bangkit dan gemilang seperti dahulu. Ini adalah kerana tulisan jawi adalah satu-satu warisan umat Melayu yang mengangkat wibawa umat di ufuk persada intelektual dan umpama nyawa serta aset warisan terunggul milikan umat Melayu di rantau ini.

Rujukan:

Abdul Latif Abu Bakar, 1998. Peranan Media Dalam Pilihan Raya Persekutuan. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti
H.S. Paterson (& C.O. Blagden), 1924. 'An early Malay Inscription from 14th-century Trengganu', Journ. Mal. Br.R.A.S., II, 1924

Orang Melayu Matikan Utusan Melayu, Utusan Malaysia, 12 Januari 2003
Guna tulisan jawi sampaikan ilmu, Utusan Malaysia, 22 Oktober 2007
Martabat bahasa Melayu berteras tulisan Jawi, Berita Harian, 22 Oktober 2007

Azizi Haji Abudullah, 2006a. Roh Pendita Za'ba Yang Menangis. Laman sesawang Doktor Jawi. http://www.doktorjawi.com/polemikjawi.htm. [27 Oktober 2007]

Dr. Rais Yatim, 2006b. Pembudayaan Tulisan Jawi Melalui Pelbagai Pendekatan. Laman sesawang Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. http://www.heritage.gov.my/kekkwa/viewbudaya.php?id=1890. [27 Oktober 2007]

Muhammad Bukhari Lubis, 2006c. Tulisan Jawi Pancaran Identiti Bangsa. Laman sesawang Doktor Jawi. http://www.doktorjawi.com/polemikjawi.htm. [27 Oktober 2007]

Wikipedia contributors, 'Tulisan Jawi'. Wikipedia, Ensiklopedia Bebas. 4 September 2007, 05:50 UTC. http://ms.wikipedia.org/w/index.php?title=Tulisan_Jawi&oldid=343156. [27 Oktober 2007]

Comments

AzizMostafa said…
Hidup Jawi
Selamat Mencuba
http://typophile.com/node/48495
Semoga Berjaya
http://typophile.com/user/12550
CIK Eeqa's :) said…
mohon share ye ilmu.
Anonymous said…
Tajuk yg conveying gist. Gd one

Popular Posts