Kesalahan palsu penyata akaun bank


ALOR SETAR: Tiga pemilik syarikat masing-masing didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan penyata akaun bank syarikat untuk mendapatkan tender pembersihan awam.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Asri Sapar, 48, Roslan Jaafar, 52, dan Mohamad Shamsul Aizat Mohd Salleh, 31, dan turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Harmi Thamri berkata, hukuman itu diputuskan dengan mengambil kira kepentingan awam bagi memberi pengajaran dan teladan kepada orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan sama.

Mengikut pertuduhan, Asri dan Roslan dituduh menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun bank syarikat bagi Oktober hingga Disember 2018 dalam permohonan tender penswastaan pengumpulan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam di Wilayah Utara.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Wisma Idaman Sdn Bhd di sini masing-masing pada 14 Jan 2019 dan antara 11 Feb hingga 5 Mac 2019.

Shamsul pula didakwa melakukan perbuatan sama bagi tujuan mendapatkan tender projek pengumpulan sisa pepejal bersepadu, pengurusan pembersihan awam dan operasi & penyelenggaraan Pusat Komuniti Lestari (PKL) di bawah Program Keusahawanan Belia di Kulim Hi-Tech Park, pada 17 Jan 2019 di tempat sama.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Di mahkamah sama, seorang lagi pemilik syarikat Zamri Mohamad, 53, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dengan Asri dan Roslan.

Mahkamah membenarkan Zamri diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dilarang mengganggu saksi dan menetapkan 29 Sept untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah Mohd Zulfadli Azharudin manakala Asri, Roslan dan Shamsul tidak diwakili peguam dan Zamri diwakili Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.

Kesemua tertuduh masing-masing membayar denda dan wang jaminan itu.

Sumber:

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/08/29/palsu-penyata-akaun-bank-3-pemilik-syarikat-didenda-rm50000/


Comments

Popular Posts