Wednesday, April 21, 2010

Perlindungan kepada Whistleblower


Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 atau whistleblower yang diluluskan oleh Dewan Rakyat baru-baru ini (Selasa lepas) adalah bertujuan melindungi pemberi maklumat yang mendedahkan kepada pihak berkuasa mengenai kelakuan tidak wajar dalam sektor awam dan swasta misalnya gejala rasuah, salahguna kuasa atau jawatan, penyelewengan, rasuah dan sebagainya. Undang-undang ini sangat ditunggu-tunggu kerana ia akan memberi manfaat yang sangat besar kepada masyarakat keseluruhannya dan juga negara.

Undang-undang ini amat wajar dilaksanakan di negara kita kerana ia dapat mempengaruhi keinginan orang ramai untuk tampil ke hadapan menyalurkan maklumat sekiranya berlaku sebarang kepincangan dalam sesuatu organisasi, agensi dan sebagainya yang mana orang ramai yang akan menjadi mangsanya jika perkara ini dibiarkan begitu sahaja. Oleh itu, kerjasama orang ramai memberi maklumat amat penting bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan dan kebocoran kepada hasil negara akibat kes salahguna kuasa, rasuah, perlakuan tidak bermoral, berbahaya, membazir dan sebagainya.

Undang-undang whistleblower di beberapa negara asing terutamanya negara maju misalnya memberikan perlindungan dan kekebalan eksklusif kepada individu yang menyalurkan maklumat mengenai rasuah, penyalahgunaan kuasa dan lain-lain sebagai contoh dalam sektor awam, syarikat swasta, organisasi politik dan pertubuhan sukarela di sana. Tindakan itu bertujuan memberikan kuasa kepada individu dan masyarakat membanteras gelaja penyelewengan dan jenayah salahguna kuasa yang masih bermaharajalela di semua peringkat.

Untuk itu undang-undang berkenaan digubal bagi memberikan perlindungan khas kepada Whistleblower atau orang yang memberikan maklumat mengenai sebarang kesalahan yang menyalahi undang-undang negara agar dapat disiasat serta dikenakan tindakan sewajarnya. Pendedahan perilaku yang tidak wajar juga boleh dilakukan terhadap mana-mana ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri (ADUN), tokoh korporat, orang kenamaan dan sebagainya di negara kita jika melakukan kesalahan. Ini adalah kerana undang-undang tidak mengenal bulu atau double standard.

Secara dasarnya, setelah dibuat laporan dan siasatan menyeluruh dilakukan, di mana jika tuduhan itu benar terjadi maka tindakan yang sewajarnya boleh diambil terhadap sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan tersebut. Namun, perlu diingatkan bahawa hukuman yang berat juga disediakan kepada mereka yang sengaja memberikan maklumat palsu kerana berniat jahat serta tidak dapat membuktikan apa yang telah dilaporkan berkenaan penyelewengan yang dikatakan berlaku. Oleh yang demikian, semua pihak perlu berhati-hati, ikhlas dan telus dalam pendedahkan sesuatu perkara dan tidak hanya mendengar dari sebelah pihak sahaja atau khabar angin agar tidak menerima padahnya.

Undang-undang ini penting kerana ia di samping berrtujuan melindungi keselamatan pemberi maklumat malah menjadi salah satu mekanisme menggalakkan orang ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan kes penyelewengan, rasuah dan sebagainya. Penggubalan undang-undang tersebut juga adalah sebagai satu daripada langkah proaktif membanteras gejala rasuah dan penyelewengan yang masih berlaku di mana dalam amsa yang sama memberi kekebalan kepada pemberi maklumat daripada diambil tindakan sivil atau jenayah akibat pendedahan mereka.

Selanjutnya, menerusi undang-undang itu juga di mana sesiapa yang memberi maklumat mengenai kelakuan tidak wajar kepada pihak berkuasa tidak boleh mendedahkannya kepada pihak lain terutama di media. Pemberi maklumat akan dilindungi pada masa dia membuat pendedahan itu kepada pihak berkuasa tetapi akan hilang hak tersebut apabila membuat pendedahan sama ada kepada media termasuk di blog serta medium digital lain. Ia bertujuan melindungi pengadu dan juga pihak yang diadu sebelum siasatan dijalankan kerana kemungkinan maklumat itu tidak benar.

Seseorang boleh membuat pendedahan mengenai kelakuan tidak wajar kepada mana-mana agensi penguatkuasaan berdasarkan kepercayaannya yang munasabah bahawa ada pihak bersedia, sedang dan telah melibatkan diri dalam kelakuan itu. Ia termasuk pendedahan berkaitan perbuatan yang telah berlaku sebelum undang-undang berhubung perlindungan pemberi maklumat itu dikuatkuasakan. Oleh itu, amalan whistleblowing ini diharapkan akan memberi keyakinan kepada masyarakat dalam menyediakan saluran khusus untuk menyalurkan segala bentuk penyelewengan, salahguana kuasa dan lain-lain di negara kita.

Oleh yang demikian, dengan kewujudan akta ini maka mana-mana pihak tidak boleh mengambil tindakan yang memudaratkan terhadap seorang pemberi maklumat atau sesiapa yang mempunyai hubungan dengannya sebagai membalas pendedahan yang dibuat itu. Adalah diharapkan juga agar dengan adanya peruntukan undang-undang ini di mana apabila sesuatu pendedahan dibuat oleh pemberi maklumat maka agensi penguatkuasaan bertanggungjawab yang menerima pendedahan itu perlu menjalankan siasatan dan menyediakan laporan serta mengemukakan cadangan bagi tindakan selanjutnya diambil bagi memastikan kesalahan tersebut tidak berulang dan merugikan semua pihak.

Rujukan

Ruhanie Ahmad, 2009. Whistleblowers, kuasa rakyat banteras rasuah. Utusan Malaysia, 23 November
Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dilulus, Utusan Malaysia, 21 April 2010,
Whistleblower law will protect anyone, New Straits Times, April 21, 2010
Whistleblower Protection Bill passed, The Star, April 21, 2010

1 comment:

yuze said...

assalamualaikum en sofee..
saya nak buat research sikit pasal whistleblower ni..
say student accounting bukan student law..
tapi dekat mane saya nak dapatkan kes berkaitan whistleblower yg terjadi kat malaysia ni..
emel:mryuze90@yahoo.com