Memahami signifikan harta intelek
Memahami signifikan harta intelek
Oleh Jamhariah Jaafar
jamhariah@bharian.com.my
2010/04/19
Sambutan lebih fokus elemen kreativiti, inovasi pada 26 April
HARI Harta Intelek Negara (HHIN) tahun ini menjanjikan inisiatif menarik, terutama kumpulan yang kreatif dan inovatif, manakala rakan artis juga dijangka mendapat limpahan keuntungan apabila isu cara pemberian royalti akan dikaji secara serius.
Sambutan pada 26 April ini juga dilakukan serentak dengan Perisytiharan Malaysia Inovatif 2010 dengan mengambil ruang lingkup Model Ekonomi Baru (MEB) yang memberi penekanan kepada elemen kreativiti dan inovasi secara komprehensif.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri, begitu bersemangat apabila menyentuh isu kreativiti dan inovasi ini, apa lagi kempen tahun ini memberi fokus kepada industri kecil dan sederhana (PKS), berikutan masih ada peratusan besar pengusaha PKS kurang arif pentingnya melindungi harta intelek mereka, sama ada dari segi paten, cap dagangan, reka bentuk industri, hak cipta dan petunjuk geografi.
“Rasional kepada kempen dan Perisytiharan Malaysia Inovatif 2010 ini, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai perlunya menghormati hak harta intelek seperti kita menghormati hak ke atas harta yang lain.
“Ia juga bertujuan mengiktiraf sumbangan pereka cipta dalam pembangunan ekonomi negara. Matlamat jangka panjang kempen ialah memupuk budaya inovatif dan kreatif (beralih daripada pengguna harta intelek kepada pengeluar harta intelek), menghormati hak harta intelek dan seterusnya meningkatkan daya saing negara,” katanya mengenai sambutan HHIN yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Ramai tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan harta intelek, komponen utamanya, serta akta yang membabitkan perkara ini.
Definisi mudah harta intelek adalah hasil ciptaan minda sama ada dalam bentuk reka cipta, simbol, nama dan reka bentuk yang digunakan dalam perdagangan serta karya sastera dan seni, manakala komponennya membabitkan paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, petunjuk geografi, hak cipta dan susun atur litar bersepadu.
Akta yang memberi perlindungan kepada harta intelek di Malaysia membabitkan Akta Cap Dagangan 1976; Akta Paten 1983; Akta Hak Cipta 1987; Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996; Akta Petunjuk Geografi 2000; Akta Susun Atur Litar Bersepadu 2000.
Menjawab soalan status pindaan undang-undang dan akta harta intelek yang ada hari ini, Ismail berkata, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sedang melakukan semakan terhadap akta harta intelek dan mensasarkan pindaan terbabit untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
Antaranya membabitkan pindaan Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996, pada sidang Jun, manakala pindaan Akta Paten 1983 dan Akta Cap Dagangan 1976 pada November.
Setiap paten harta intelek akan menerima perlindungan selama 20 tahun dari tahun ia difailkan; Cap Dagangan dilindungi selama 10 tahun dan boleh diperbaharui setiap 10 tahun; bagi Reka Bentuk Perindustrian pula lima tahun dari tarikh pemfailan dan boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun; dan Petunjuk Geografi pula 10 tahun dan boleh diperbaharui bagi setiap 10 tahun.
Bagi isu harta intelek membabitkan hak cipta, tiada pendaftaran diperlukan; perlindungan bagi karya sastera, muzik dan seni adalah semasa hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya; bagi karya lain perlindungan adalah 50 tahun dari penerbitan.
Manakala bagi susun atur litar bersepadu, tiada pendaftaran diperlukan. Perlindungan adalah 10 tahun daripada mula ia dieksploitasi atau 15 tahun daripada tarikh dicipta sekiranya tidak dikomersialkan.
Semua harta intelek yang diberi perlindungan adalah bersifat kewilayahan dan ia tidak boleh dibawa ke negara lain. Ini bermakna pendaftaran semula perlu dilakukan di setiap negara yang mana perlindungan diperlukan.
Ismail berkata, bagi mempercepatkan pendaftaran harta intelek, MyIPO sedang menaik taraf infrastruktur teknologi maklumat (IT); melatih lebih ramai pegawai pemeriksa dan menyemak akta harta intelek supaya lebih terkini dan menepati keperluan triti antarabangsa.
“MyIPO menyediakan sistem permohonan secara online bagi memudahkan pendaftaran paten dan cap dagangan. Sistem carian online juga dibangunkan untuk tujuan carian awam.
“Menyedari kesedaran masyarakat mengenai harta intelek masih rendah, pelbagai program diadakan seperti seminar, pameran dan penerbitan risalah. HHIN juga adalah aktiviti kesedaran harta intelek yang memberi impak dari segi peningkatan permohonan tempatan,” katanya.
Selain komponen harta intelek yang biasa didengar, komponen lain boleh diklasifikasi sebagai harta intelek ialah pengetahuan tradisi, sumber genetik dan penyataan kebudayaan tradisional.
Pengetahuan tradisi dan sumber genetik merujuk kepada pengetahuan tradisi hasil daripada aktiviti intelek dalam konteks tradisional seperti pengetahuan perubatan dan pengetahuan berasaskan sumber genetik. Penyataan kebudayaan tradisional lebih menjurus kepada proses kreatif yang menggambarkan identiti, sejarah dan kebudayaan suatu komuniti, seperti lagu dan tarian rakyat, pakaian tradisional.
Perkara paling menarik dalam pendekatan sambutan HHIN ini adalah langkah yang akan diambil bagi menangani isu ketidakpuasan dan ketelusan badan pemungut royalti, yang sebahagian besar membabitkan industri hiburan negara ini.
“Kementerian sudah mengadakan dialog dengan pihak terbabit (komposer, pemuzik, penyanyi, syarikat rakaman, pemilik outlet karaoke) dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak dalam pindaan Akta Hak Cipta 1976. Keputusan juga sudah dibuat untuk mengaktifkan Tribunal Akta Hak Cipta.
“Kita hampir tidak percaya bila mendengar penyanyi popular seperti Mawi hanya menerima royalti RM450 setahun. Manakala, syarikat memungut royalti ini juga tidak diketahui siapa terbabit dan bagaimana modus operandi mereka,” kata Ismail yang akan mengadakan perbincangan mereka yang terbabit dalam industri hiburan ini dalam tempoh terdekat ini.
sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Memahamisignifikanhartaintelek/Article/index_html
Comments