Perkembangan Pesat Industri Buku Tempatan
Mungkin ada asasnya mengapa Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mempersoalkan mengapa 5,150 penulis buku di negara ini tidak dapat hidup mewah dan selesa sepertimana penulis di luar negara daripada hasil penulisan kreatif mereka sedangkan nilai jualan buku temapatan telah mencecah angka RM2.1 bilion tahun 2009. Jumlah yang dicatatkan ini sangat mengagumkan, bukti kejayaan dan menjadi petanda yang baik kepada industri buku di negara kita untuk melangkah lebih jauh di dalam industri ini. Namun sebaliknya nasib dan masa hadapan penulis-penulis buku di negara ini masih tidak menentu, terumbang ambing ibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ dan memerlukan kepada pembelaan sewajarnya daripada semua pihak.
Tidak sepertimana peluang penulis luar negara, di negara kita tidak ramai penulis yang berjaya dan menjadi jutawan dengan menulis sepanjang hidupnya walaupun tidak dinafikan terdapat beberapa kerat sahaja penulis yang berjaya dan hidup mewah dengan menulis. Isu royalti menjadi perkara asas dan pokok kepada polemic ini berbanding royalti yang tinggi diperolehi oleh penulis luar negara yang mampu menjadikan mereka kaya raya dan boleh diwarisi oleh anak cucu mereka pada masa ketiadaan mereka. Dalam pada itu, terdapat hampir 8,184 syarikat penerbitan tempatan dan luar negara yang bertapak di Malaysia boleh mencatatkan keuntungan luar biasa mencecah berjuta-juta ringgit setiap tahun melalui penjualan buku dan mereka juga berjaya membina empayar perniagaan masing-masing di dalam industri dan pasaran buku dalam negara.
Fenomena ini yang menjadi persoalan sekarang ialah mengapa penulis buku tidak boleh mencapai taraf jutawan dan hidup senang melalui hasil penulisan seperti di negara barat adalah sangat rumit untuk difikirkan sedangkan syarikat-syarikat penerbitan buku yang berjaya dalam industri buku mampu berbuat demikian dan melebarkan sayap perniagaan mereka sehingga ke luar negara. Tentu ada sesuatu yang tidak betul di sini yang memerlukan kepada peranan dan tanggungjawab pihak kementerian, penerbit buku, syarikat penerbitan, penulis-penulis buku dan semua pihak untuk mencari jalan serta alternatif bagaimana masalah ini dapat diselesaikan sebaik mungkin dalam situasi menang-menang.
Berdasarkan kepada rekod nilai hasil jualan buku tahun 2009 iaitu sebanyak RM2.1 bilion dan merupakan pencapaian yang membanggakan dalam satu industri yang besar di mana hasil jualan buku meningkat setiap tahun. Berdasarkan kepda perbandingan pada 2008 yang bernilai RM1.65 bilion iaitu telah meningkat sebanyak 27 peratus berbanding RM1.3 bilion pada 2007. Jumlah penerbitan buku juga meningkat pada tahun lepas sebanyak 16,767 judul buku diterbitkan meningkat sebanyak empat peratus berbanding 16,044 pada 2008 dan 11,023 pada 2007. Statistik ini sangat menarik dan membuktikan bahawa industri buku tempatan mempunyai potensi serta masa hadapan yang cerah. Ini adalah kerana buku adalah harta intelek dan harta nasional yang merupakan modal ekonomi yang boleh mencipta kekayaan.
Ini juga membuktikan bahawa industri buku di negara kita telah berkembang dengan pesat dan sihat tetapi yang menjadi masalahnya ialah tidak ada satupun penulis-penulis buku tempatan yang dapat mencapai status penulis jutawan ataupun mampu hidup mewah dengan hasil penulisan buku mereka. Ini adalah kerana masalah relatif iaitu tuntutan royalti yang terlalu rendah sekitar 7 ke 10 peratus sahaja bagi setiap buku yang terjual, malahan pembayarannya juga seringkali lewat dan tidak setanding dengan kualiti penulisan serta pengorbanan penulis merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku di sini dan jalan penyelesaian perlu dicari segera bagi merungkai permasalahan ini. Situasi ini jika tidak ditangani sebaik mungkin boleh menyebabkan penulis generasi muda dan penulis separuh masa tidak berminat untuk berkecimpung secara serius di dalam industri ini kerana tidak menguntungkan, tidak ekonomik dan kerjaya yang tidak stabil.
Baru-baru ini Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 juga telah mencatatkan peningkatan dalam jualan buku dan pengunjung di mana pada pesta yang baru berakhir itu jumlah jualan buku adalah sebanyak RM22 juta dengan jumlah pengunjung 1.5 juta orang. Jumlah jualan buku di pesta itu sentiasa meningkat setiap tahun di mana tahun lepas serta 2008 adalah sebanyak RM20 juta manakala pada 2007 sebanyak RM16 juta. Jumlah pengunjung juga meningkat pada 2009 sebanyak 1.7 juta orang, 2008 sebanyak 2.2 juta orang dan pada 2007, 1.2 juta orang mengunjungi pesta tersebut. Ini menjadikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur setanding dengan pesta-pesta buku antarabangsa lain yang berjaya merancakkan lagi industri buku di negara masing-masing serta berjaya mengangkat nama penulis dan edaran buku.
Oleh yang demikian, secara umumnya industri buku di negara kita berjalan lancar, positif, kalis gawat biarpun dalam keadaaan ekonomi tidak menentu dan persaingan yang hebat, namun sentiasa meningkat dari masa ke semasa. Cuma masalahnya masih terdapat ketidakseimbangan yang ketara dalam pembahagian keuntungan di antara penulis dan penerbit buku sejak sekian lama memandangkan terdapat pihak yang mengaut keuntungan yang lebih berbanding penulis buku itu sendiri. Ketidakadilan yang berlaku serta kewujudan birokrasi dalam industri buku tempatan memerlukan kepada satu langkah penyelesaian yang menyeluruh agar kedua-dua pihak mendapat faedah yang sama dalam usaha membangun dan memacu industri buku negara di landasan yang betul setanding dengan luar negara.
Rujukan
Jualan buku cecah RM2.1 bilion, Utusan Malaysia, 1 April 2010
Kajian budaya membaca mulai April, Harian Metro, 27 Februari 2010
Comments