Inovasi Pembiayaan Islam Untuk Teknologi Hijau


Malaysia sekali lagi akan mencipta sejarah baru apabila bakal menjadi peneraju kepada sektor pembiayaan Islam global dengan mewujudkan kemudahan pembiayaan Islam untuk sektor teknologi hijau yang semakin penting kepada masyarakat dunia dan dalam masa yang sama komited membangunkan model yang bersesuaian dalam usaha mewujudkan dana khas bernilai AS$200 juta (RM620 juta) yang mematuhi Syariah. Sebagai dana Islam yang pertama seumpamanya di Asia dan dunia, kemudahan pembiayaan itu akan memberi tumpuan kepada sektor mesra alam dalam industri teknologi hijau.

Apa yang dimaksudkan dengan teknologi hijau di sini merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semulajadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Teknologi Hijau juga merujuk produk, peralatan, atau sistem yang memenuhi kriteria-kriteria yang dapat meminimumkan degrasi kualiti persekitaran dan mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar. Ia juga selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan disamping amat menjimatkan tenaga dan sumber asli serta menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.

Teknologi hijau terbukti lebih cekap kerana ia boleh menjana tenaga dalam pelbagai keadaan dengan kos yang murah, selamat dan mesra pengguna. Ini dapat dibuktikan melalui pengalaman dan amalan di negara-negara maju yang telah berjaya membangunkan industri ini sejak sekian lama dan menjadi alternatif sumber tenaga baru kepada masyarakat dunia. Namun, berdasarkan kajian yang dibuat mendapati penggunaan tenaga yang dijanakan daripada sumber asli seperti hidro, angin dan solar adalah kurang daripada dua peratus sementara yang lain adalah dari sumber minyak fosil.

Pengenalan dana khas ini adalah seiring dengan Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negara yang telah dirangka dan akan dibentangkan tidak lama lagi bagi membangunkan ekonomi negara khususnya dalam sektor berkaitan teknologi hijau secara holistik. Inovasi ini diharapkan mampu menarik lebih ramai pelabur luar negara yang sudah lama berkecimpung di dalam industri ini dan juga melalui kemasukan pelaburan syarikat swasta dalam sektor pembangunan teknologi tenaga hijau dengan menggunakan sepenuhnya sumber alam semulajadi dan sumber angin di negara kita.

Sehubungan itu, aplikasi teknologi hijau ini kelak diharapkan mampu merealisasikan komitmen Malaysia ke arah memperbaiki kualiti alam sekitar seperti yang dinyatakannya pada Persidangan Perubahan Iklim di Copenhagen tahun lepas bahawa Malaysia akan berusaha mengurangkan 40 peratus pencemaran asap karbon menjelang tahun 2020 di mana ketika itu Malaysia adalah sebuah negara maju. Hasrat ini boleh dicapai sekiranya kita benar-benar serius dan bersungguh-sungguh membangunkan industri teknologi hijau di negara kita.

Antara sektor yang perlu diberikan perhatian khusus bagi menjayakan agenda teknologi hijau ini ialah seperti sektor pembinaan bangunan berasaskan teknologi hijau, janakuasa hidro elektrik, penghasilan penal solar dan juga turbin angin kerana teknologi ini berpotensi menjadi sektor penting dalam pembangunan ekonomi negara. Misi ini boleh direalisasikan ke arah peralihan negara kepada teknologi hijau yang dilihat berpotensi besar menjadi sumber perniagaan global menjelang abad ke-21.

Untuk itu, pelbagai inisiatif perlu diwujudkan dan pada masa yang sama turut menawarkan insentif menarik kepada mereka yang membangunkan teknologi hijau di negara kita sama ada sektor kerajaan atau swasta seperti pengurangan cukai berganda kepada institusi yang menggunakan teknologi ini di samping memberi penekanan kepada dasar tenaga boleh diperbaharui di mana negara mensasarkan menjelang 2015, enam peratus daripada tenaga domestik di negara kita dihasilkan oleh tenaga boleh diperbaharui.

Bidang teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui dijangka akan memberi kesan besar kepada penjanaan tambahan ekonomi negara membabitkan pekerjaan berasaskan pengetahuan, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dan gas rumah hijau. Malahan dana berjumlah RM1.5 bilion telah diperuntukkan bagi memajukan pembekalan dan penggunaan teknologi hijau yang membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah untuk membiayai aktiviti mereka. Dengan kewujudan dana pembiayaan tambahan bernilai RM620 juta yang mematuhi Syariah kelak dijangka mampu menjadi momentum positif kepada kemajuan teknologi hijau di negara kita.

Kesimpulannya, Malaysia sebenarnya berpotensi dan memiliki infrastruktur serta kemudahan sokongan yang diperlukan untuk menarik pelaburan dalam projek-projek teknologi hijau dari dalam dan luar negara. Bahkan iklim Malaysia juga amat sesuai untuk pembangunan dan penjanaan tenaga solar misalnya bagi memenuhi peningkatan permintaan peringkat dunia terhadap tenaga boleh diperbaharui. Oleh yang demikian, dalam hal ini negara juga perlu mengenal pasti rakan strategik global teknologi hijau yang berpengalaman serta telah berjaya dalam menggunakan kepakarannya untuk berkongsi dengan Malaysia di samping mempunyai dana dan pembiayaan yang kukuh serta kesungguhan politik yang tinggi.

Rujukan

Kemudahan pinjaman Islam teknologi hijau dibincang, Berita Harian, 28 April 2010
Dana Islam teknologi hijau, Utusan Malaysia, 28 April 2010
Pernec terokai teknologi hijau, Utusan Malaysia, 22 April 2010
Teknologi hijau, tenaga solar tumpuan Malaysia, Utusan Malaysia, 16 April 2010
Pelan Tindakan Teknologi Hijau akan dibentang – TPM, Utusan Malaysia, 6 April 2010
Bidang teknologi hijau industri masa depan: PM, Berita Harian, 27 Januari 2010

laman web: http://pmr.penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=4185:teknologi-hijau&catid=16:isu-nasional

Comments

Popular Posts