Dua lagi diberi lesen perbankan Islam mega
Dua lagi diberi lesen perbankan Islam mega
2010/04/27
PEMBERIAN dua lagi lesen perbankan Islam mega dengan modal AS$1 bilion, yang dijangka diumumkan menjelang Jun ini akan menjadi satu lagi kemajuan penting dalam industri kewangan Islam Malaysia, kata Timbalan Gebenor Bank Negara Malaysia, Datuk Mohd Razif Abd Kadir.
Beliau berkata, ia juga langkah penting dalam meliberalisasikan sektor kewangan Islam negara ini.
"Ini liberalisasi utama dan sejajar dengan langkah kerajaan untuk meliberalisasikan lagi sesetengah sektor strategik," katanya selepas menyampaikan taklimat mengenai penerangan bergerak Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) di Dubai.
Beliau antara pegawai pengawal selia dalam delegasi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan lagi pelaburan dua hala dan mempromosikan MIFC.
Penerangan bergerak itu bermula semalam sehingga 2 Mei ini susulan kepada lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Abu Dhabi dan Arab Saudi pada Januari lalu.
Razif berkata, dengan adanya peserta baru itu, ia akan membawa nilai lebih baik kepada ekonomi Malaysia, pada masa sama mewujudkan lebih banyak persaingan di kalangan peserta tempatan.
Selain kedua-dua lesen perbankan Islam mega itu, Razif berkata bank pusat akan turut mengeluarkan dua lagi lesen takaful dan lima lesen perbankan konvensional global, juga menjelang Jun ini.
Bagi semua lesen itu, katanya Bank Negara menerima banyak permohonan dari institusi kewangan antarabangsa dan bank dari Eropah serta Asia Barat.
sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DualagidiberilesenperbankanIslammega/Article
Comments