PENINGKATAN JUMLAH KELAHIRAN ANAK LUAR NIKAH MEMBIMBANGKAN


Peningkatan jumlah kelahiran anak luar nikah di negara ini begitu membimbang dan menakutkan semua pihak. Angka yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bahawa terdapat 81,000 anak luar nikah berdaftar ketika ini merupakan perkembangan yang memerlukan satu tindakan segera dilakukan untuk menanganinya iaitu melalui pelan tindakan yang berkesan. Ini adalah kerana sekiranya jumlah yang berdaftar sudah mencecah angka tersebut, bagaimana pula dengan yang tidak berdaftar dan sudah tentu angkanya lebih tinggi lagi.

Sementara itu, dalam jangka waktu lapan tahun iaitu dari 2000 hingga 2008 merekodkan sejumlah 257,000 kanak-kanak di negara ini yang lahir dan didaftarkan sijil kelahirannya tanpa nama ayah bayi berkenaan. Setiap tahun, kelahiran sedemikian semakin meningkat misalnya pada tahun 2007 terdapat sejumlah 16,100 telah meningkat kepada 16,541 setahun kemudian dan pada tahun lalu mencapai ke tahap 17,303. Jika mengambil kiraan purata, bermakna 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau 84 kes setiap hari atau 7 orang anak luar nikah dilahirkan bagi setiap dua jam.

Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009 di mana bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) manakala pada 2007 seramai 16,100 orang. Dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam dan ini sungguh memalukan serta perlu dibendung segera agar tidak menjadi virus dalam masyarakat.

Sepanjang tempoh ini juga iaitu tahun 2004 sehingga 2009, krisis moral yang berlaku menjadi lebih parah lagi dalam masyarakat kita apabila rekod menunjukkan sejumlah 214,033 bayi dari pelbagai bangsa di negara ini iaitu angka yang sangat besar telah didaftarkan secara rasmi dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa seramai 104,834 orang dan juga 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299).

Mengikut Seksyen 13 Akta 299, seseorang bayi itu boleh dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara dan ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara. Malahan bayi yang dilahirkan kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama menurut peruntukan undang-undang berkenaan.

Selanjutnya, bagi anak atau bayi pasangan bukan Islam pula, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa. Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009 juga, pendaftaran anak luar nikah membabitkan orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes).

Sementara itu, kebiasaannya bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam akan diletakkan nama mereka diikuti ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan daripada Asma Al-Husna iaitu nama-nama Allah seperti Abdul Rahman, Abdul Rahim, Abdul Malik dan sebagainya. Keputusan itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum ini dan ia juga selaras format baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti dipaparkan pada sijil kelahiran.

Berdasarkan kajian Institut Integriti Malaysia (IIM), antara punca yang menyumbang kepada peningkatan gejala sosial yang membawa kepada masalah kelahiran anak luar nikah tersebut ialah penyaluran maklumat tanpa batasan dan perubahan budaya masyarakat di mana sebanyak 55 peratus rakyat Malaysia dilaporkan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai 'gila Internet' dan mereka mempunyai akses terhadap penyaluran maklumat melalui alam maya yang begitu luas.

Perkenalan melalui Facebook dan laman sosial lain seperti Twitter, My Space, laman berbual maya di samping SMS dan MMS yang akhirnya mengundang kepada pergaulan bebas dan sebagainya sehingga membawa kepada keterlanjuran sehingga berlakunya perzinaan yang diharamkan agama. Masalah ini berlaku jika masyarakat hari ini hilang nilai agama serta tidak lagi memiliki benteng dan integriti diri yang kuat dalam era globalisasi kini. Akibatnya, perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatatkan sejak tahun 2004, sebanyak 506 kes membuang bayi dengan jumlah terbesar sebanyak 102 kes pada tahun 2008.

Penyebaran dan penyaluran maklumat secara berleluasa serta tidak terkawal juga menyebabkan masyarakat terutama golongan muda lebih mudah terdedah kepada budaya buruk yang bertentangan dengan ajaran agama serta amalan masyarakat di negara ini. Keadaan ini tanpa disedari secara perlahan meresap dan berakar ke dalam diri mereka serta mempengaruhi cara hidup dalam pergaulan mereka seharian. Fenomena negatif ini sangat mengerikan kerana ianya turut melibatkan generasi muda di negara ini yang bakal menjadi peneraju dan pemimpin negara ini pada masa hadapan.

Dalam hal itu, semua pihak dalam masyarakat perlu memberi tumpuan kepada didikan agama yang komprehensif bagi melaksanakan usaha pengukuhan integriti golongan belia yang merangkumi 11.8 juta atau 42 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia dengan menanamkan nilai-nilai terpuji dalam kehidupan seharian mereka seperti mengamalkan budi bahasa yang baik, berakhlak mulia, amanah dan tinggi tahap akauntabiliti masing-masing bagi mengelak menjalarnya amalan zina dalam masyarakat serta pergaulan bebas tanpa batasan.

Sehubungan itu juga, dalam usaha menangani masalah serius yang sedang membelenggu masyarakat kita ketika ini maka kerjasama bersepadu melibatkan semua pihak termasuklah beberapa jabatan terlibat termasuk polis, Jabatan Agama Islam, NGO Islam serta jawatankuasa belia dan sukan negeri perlulah ditingkatkan. Di samping itu, program motivasi, penerangan dan kursus keagamaan sedia ada hendaklah ditambah nilai dalam usaha meningkatkan kesedaran di kalangan generasi muda agar tidak terdedah serta terjebak dengan gejala negatif dan keji tersebut.

RUJUKAN

81,000 anak luar nikah berdaftar membimbangkan – IIM, Utusan Malaysia, 30 Jun, 2010
Bahaya bahan lucah di Internet, Utusan Malaysia, 11 Julai 2010
Kerjasama bersepadu tangani gejala anak luar nikah, Utusan Malaysia, 7 Julai 2010
17,303 anak luar nikah didaftar 2009, Berita Harian, 21 Mac 2010

Comments

Popular Posts