MEMBASMI LOGO DAN SIJIL HALAL PALSU
Sikap segelintir masyarakat peniaga yang masih tidak prihatin dengan isu haram dan halal sesuatu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna sangatlah mengecewakan semua pihak. Ini termasuklah sektor keperluan pengguna seperti makanan, perkhidmatan, kesihatan, kecantikan dan sebagainya. Buktinya masih ada hotel, restoran pilihan, kopitiam, barangan kosmetik dan sebagainya yang menjadi tumpuan masyarakat Islam masih tidak mematuhi piawaian serta standard halal yang ditetapkan.
Bagi masyarakat Islam status halal dan haram sesuatu produk yang digunakan sangat penting kerana ia adalah tuntutan agama yang perlu dipatuhi serta amat berkait rapat dengan kualiti hidup serta ibadah seharian seseorang. Oleh yang demikian, semua pihak yang terlibat dalam sektor tertentu perlu memahami hakikat kepentingan halal dan haram ini dan menghormatinya agar umat Islam tidak dibelenggu kebimbangan, kekeliruan serta dilema terhadap sesuatu produk yang ingin digunakan terutamanya industri makanan di negara ini.
Sehubungan itu, golongan pengeluar dan peniaga yang masih ingkar, tidak serius serta sensitif dengan segala kehendak dan tuntutan masyarakat Islam apabila gagal memastikan produk mereka berstatus halal sepenuhnya perlu dipantau dan dikenakan tindakan tegas berlandas segala peruntukan undang-undang sedia ada. Ini adalah ekoran penggunaan elemen yang tidak patuh Syariah di dalam produk masing-masing seperti wujudnya unsur-unsur zat haiwan terlarang seperti babi, penggunaan bahan beracun dan memabukkan, kaedah yang tidak suci serta lain-lain bahan yang dilarang.
Ini adalah kerana ada juga pihak yang sanggup menipu pelanggan setia mereka dengan menggunakan logo serta sijil halal palsu bagi mengaburi mata pelanggan dan memperdaya pihak berkuasa. Penyalahgunaan logo dan sijil palsu berkenaan serta sikap yang tidak bertanggungjawab ini tidak boleh dibiarkan berleluasa di negara kita dan tindakan segera perlu diambil bagi membasminya serta memastikan jenayah perniagaan moden ini tidak berlarutan dan merugikan masyarakat Islam yang merupakan kelompok terbesar kuasa pengguna di negara ini.
Dalam keadaan negara yang aman dan makmur yang membolehkan semua pihak berniaga serta menawarkan segala produk kepada pengguna dan selanjutnya melebarkan empayar perniagaan masing-masing, namun sikap acuh tak acuh segelintir yang biadap dan kurang ajar ini dalam mempermainkan aspek halal dan haram sesuatu barangan keperluan pengguna sangatlah menyedihkan kerana mereka hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata tanpa peka dengan piawaian ketat yang ditetapkan oleh Islam dan undang-undang sedia ada.
Atas dasar itu, premis perniagaan yang menggunakan sijil halal selain dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bakal berdepan hukuman lebih berat berbanding hukuman sedia ada apabila pindaan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 dibawa ke Parlimen, Oktober tahun ini. Peruntukan sedia ada akta berkenaan bagi kesalahan penipuan sijil dan logo halal menetapkan denda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi individu, manakala bagi syarikat denda maksimum RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.
Mengikut cadangan pindaan Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 (Pindaan 2010) yang akan dibentangkan nanti di mana peniaga yang menyalahguna sijil dan logo halal boleh didenda sehingga RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya dan meningkat kepada RM1 juta serta 10 tahun penjara jika mengulangi kesalahan sama. Syarikat yang melakukan kesalahan sama juga dikenakan denda RM1 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala denda RM5 juta atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan seterusnya.
Pindaan itu juga memperuntukkan hanya JAKIM dan JAIN yang diberi kuasa mengeluarkan sijil dan logo halal bagi mengelak sebarang kekeliruan di kalangan pengguna Islam, sekali gus syarikat swasta tidak lagi boleh berbuat demikian dan hanya produk import yang memiliki sijil halal daripada badan dunia perlu diiktiraf JAKIM sebelum dibenar memasuki pasaran negara ini. Oleh itu, agensi yang berkaitan perlu memiliki kepakaran, peralatan dan teknologi canggih, termasuk makmal pemprosesan yang boleh memuktamadkan ujian kandungan bahan dalam produk makanan dan kosmetik misalnya.
Ketika ini logo halal juga turut dikeluarkan oleh enam syarikat terpilih dengan syarat dan piawaian yang ketat iaitu Bahtera Lagenda Sdn. Bhd., Majlis Penyelidikan Makanan Islam (IFRC), SAS-H Consultancy, Persatuan Pegawai-Pegawai Agama Perak, Majlis Makanan Halal Asia Tenggara dan IFANCA International. Namun begitu, sijil dan logo halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta berkenaan bagaimanapun menimbulkan kekeliruan, kesangsian dan ketidakyakinan pelanggan terhadap kesahihannya.
Malahan ketiadaan akta khusus berkaitan pentadbiran dan pengurusan aspek halal dan haram di negara ini juga menjadi antara penyebab utama berlakunya isu yang seringkali dibangkitkan sehingga menyebabkan masalah penyalahgunaan dan ketiadaan sijil halal terus berlarutan sehingga ke hari ini kerana akta sedia ada termasuk Akta Perihal Dagangan 1972, Akta Kawalan Mutu Makanan 1985 dan lain-lain akta atau enakmen berkaitan tidak memadai serta relevan untuk mengatasi masalah kronik yang semakin hari semakin parah ini.
Oleh yang demikian, penggubalan Akta Halal seperti yang dicadangkan dilihat mampu menjadi mekanisme yang dapat menghalang menyalahguna sijil dan logo halal, sekali gus menjamin kesucian makanan dan produk kegunaan umat Islam di negara ini. Biarpun begitu, sementara menunggu rang undang-undang Akta Halal dibentangkan di Parlimen, pengguna tidak boleh berdiam diri sahaja dan perlu mengguna hak dan kuasa mereka untuk memberi tekanan kepada pengusaha yang masih berdegil dan belum memiliki sijil halal supaya berbuat demikian secepat mungkin. Ini adalah kerana, isu halal dan haram bukanlah kes terpencil atau boleh dipermainkan sewenang-wenangnya oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan ini.
RUJUKAN
Hanya JAKIM, JAIN keluar sijil halal, Berita Harian, 26 Julai 2010
Hanya Jakim berhak keluar sijil, Utusan Malaysia, 27 Julai 2010
Pengeluaran ketat sijil halal ikut prosedur, Berita Harian, 28 Julai 2010
Denda RM1 juta ulangi salah guna sijil, logo halal, Berita Harian, 28 Julai 2010
Jakim gubal akta, Harian Metro, 31 Julai 2010
Comments