Aktiviti pasaran sukuk semakin baik

Berita Harian Online | Aktiviti pasaran sukuk semakin baik AKTIVITI dalam pasaran sukuk semakin baik selepas berakhirnya krisis kewangan global, didorong oleh pengukuhan kecairan dan pasaran mudah tunai, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Tan Sri Zarinah Anwar. Beliau berkata, langkah menambah baik struktur secara konsisten serta usaha mengembangkan konsep syariah juga memberi sedikit kesan kepada pasaran sukuk. “Kita sudah melihat pembangunan pasaran sukuk yang positif pada akhir krisis kewangan yang mana terbitan pasaran global tahun lalu meningkat kepada AS$23 bilion (RM74.52 bilion) daripada AS$19 bilion (RM61.56 bilion) pada 2008. “Daripada jumlah terbitan 2009, sebanyak AS$9.7 bilion (RM31.42 bilion) datangnya dari Malaysia dan ini menunjukkan permintaan bagi sukuk secara amnya amat memberangsangkan,” katanya pada Forum Pasaran Modal Islam Antarabangsa yang keempat di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Pengarah Urusan SC, Datuk Dr Nik Ramlah Mahmood. Forum berkenaan meliputi pelbagai isu berkaitan pertumbuhan dan pembangunan sukuk secara global, dari rangka kerja kawal selia sukuk termasuk isu rentas sempadan, cukai dan perakaunan, rangka kerja tadbir urus syariah dan pelbagai komponen yang menjadikan sukuk sebagai pelaburan berkesan. Zarinah berkata, pertambahan minat mengumpul dana menerusi terbitan sukuk di pasaran industri pengurusan dana Islam global juga menunjukkan pertumbuhan kukuh. “Terbitan terkini sukuk kedaulatan Malaysia mendapat sambutan tinggi dengan lebihan langganan sebanyak hampir lima kali ganda daripada pelabur Asia Barat, Asia, Amerika Syarikat dan rantau lain,” katanya. Situasi itu, katanya, mengukuhkan lagi penerimaan pelabur antarabangsa terhadap terbitan bon Islam sebagai instrumen pelaburan alternatif yang berdaya maju, walaupun masih terdapat cabarannya. Katanya, antara cabaran dalam penerbitan sukuk membabitkan hak pelabur dan tuntutan ke atas aset mereka, serta tanggungjawab penerbitnya untuk bertindak secara telus dan adil. “Pasaran sukuk turut berdepan dengan cabaran lain termasuk menetapkan piawaian dan kaedah menganalisis umum. Ia bagi membolehkan sukuk dinilai secara standard daripada hanya dinilai menerusi kajian ketekunan,” katanya. Sementara itu, pada sidang medianya, Zarinah berkata, SC setakat ini sudah menerima dan menyiasat 40 kes salah laku dan salah urus syarikat senaraian awam. Katanya, sejak SC mempertingkatkan langkah kawal selia dan pemantauan, terdapat peningkatan tinggi dari segi kesedaran mengenai isu salah laku korporat. “Sejak beberapa tahun ini, kami sudah menerima banyak maklumat berhubung salah laku dan salah urus syarikat membabitkan syarikat senaraian awam. “Kami juga mendapati pemegang saham lebih berhati-hati dan lebih bertanggungjawab dalam menyalurkan maklumat yang lebih tepat. Perkara ini menunjukkan pembangunan yang baik dalam mewujudkan pasaran yang berdisiplin,” katanya. Zarinah turut menjelaskan siasat yang dijalankan terhadap 19 saksi termasuk wartawan berhubung isu salah laku korporat, Kenmark Industrial Company (Malaysia) Bhd adalah prosedur biasa bagi memperoleh bukti. Katanya, soal siasat berkenaan telah dijalankan dengan baik oleh pegawai SC yang terlatih dan profesional. “SC telah ditetapkan untuk melindungi pelabur dengan memastikan pasaran kita telus dan adil dalam usaha memastikan tahap keyakinan pelabur dalam pasaran tempatan adalah tinggi,” katanya SC telah menerima kerjasama yang sangat baik daripada saksi termasuk pihak media.

Comments

Popular Posts