MENJADIKAN AL-QURAN MODEL PERLEMBAGAAN HIDUP
MENJADIKAN AL-QURAN MODEL PERLEMBAGAAN HIDUP
oleh Madzlina Haji Nordin
Kejayaan Malaysia menganjurkan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa kali yang ke-52 dengan tema ‘Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah' yang berlangsung 27 Julai hingga 3 Ogos ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur saban tahun adalah bukti kejayaan dan komitmen besar negara dalam mendaulatkan Al-Quran sebagai sumber perlembagaan hidup umat Islam serta menjadikan bacaan Al-Quran secara global diiktiraf di persada dunia.
Dengan seramai 76 peserta dari 47 negara mengambil bahagian pada Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-52 ini menunjukkan kesungguhan negara merapatkan jurang serta membina jaringan ukhwah sesama umat Islam dalam memperkasakan lagi ummah di seluruh dunia melalui panduan kitab agung Al-Quran. Jumlah itu meningkat berbanding 66 peserta dari 43 negara tahun lalu termasuk empat negara yang pertama kali menghantar peserta, Kazakhstan, Surinam, Zambia dan Djibouti. Semoga pada tahun-tahun mendatang kita akan melihat lebih ramai peserta dan negara yang akan mengambil bahagian di dalam acara penuh gilang gemilang ini.
Ini juga membuktikan Al-Quran mampu menjadi mekanisme yang positif dan berkesan dalam menyatukan umat Islam di seluruh dunia. Tidak dinafikan Al-Quran adalah syafaat dan mukjizat agung yang dianugerahkan kepada umat manusia. Ianya kekal sehingga ke hari ini dan juga sehinggalah hari akhirat. Kita sedia maklum bahawa para nabi serta rasul dikurniakan mukjizat dan keistimewaan tertentu sebagai hujah dan bukti kenabian dan kerasulan mereka. Maka Al-Quran yang ada hari ini adalah mukjizat kekal Nabi Muhammad yang boleh ditatap, dibaca dan dilaksanakan segala suruhan di dalamnya.
Al-Quran adalah satu-satunya kitab yang dijanjikan Allah bahawa tidak akan berlaku sebarang pindaan, pengubahsuaian atau kerosakan padanya. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya hanya Kami yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang akan memeliharannya." (Surah al-Hijr, ayat 9). Keistimewaan ini tidak terdapat pada kitab lain sebelumnya seperti Zabur, Taurat dan Injil yang kini telah diselewengkan, diubah dan ditokok tambah oleh pengikutnya. Ini adalah bagi memastikan bahawa Al-Quran kekal relevan dan komprehensif sebagai panduan hidup yang lengkap kepada seluruh manusia di muka bumi ini.
Al-Quran juga adalah kitab agung yang sangat sempurna kerana di dalamnya mengandungi segala pengajaran berguna sebagai bekalan di sepanjang perjalanan hidup sama ada ianya merangkumi aspek pendidikan, politik, ekonomi, kesihatan, teknologi, seni, sains, falsafah dan sebagainya. Ini membuktikan bahawa Al-Quran bukanlah buku sejarah atau salinan daripada kitab-kitab purba seperti yang telah diperjuangkan oleh golongan orientalis dan musuh Islam di Barat.
Oleh itu, umat Islam perlu bersatu memperbetulkan persepsi salah tersebut dan menjawab semua dakwaan palsu terhadap kitab suci ini bagi memastikan ketinggian serta kemuliaan Al-Quran terjamin dan terpelihara. Tuduhan yang tidak adil dan bersifat jahat sedemikian hendaklah dihentikan segera sama ada dilakukan secara akedemik seperti dialog, wacana, perdebatan atau sebagainya dan melalui apa jua saluran seperti undang-undang yang dibenarkan serta tindakan yang lebih tegas diambil sebagai amaran kepada mereka yang terlibat.
Ketika ini juga sudah ada gerakan yang secara terbuka mengaitkan Al-Quran dengan isu keganasan global, penyebab utama aktiviti terorisme, tentangan terhadap homoseksual, penindasan serta diskriminasi terhadap wanita, anti kemodenan, kolot dan sebagainya. Musuh Islam dan puak orientalis ini juga dengan terancang telah memanupulasi serta eksploitasi pengertian ayat-ayat tertentu di dalam Al-Quran dalam mempengaruhi pemikiran serta budaya hidup umat Islam di seluruh dunia.
Melalui media cetak dan elektronik serta kecanggihan Internet memudahkan lagi usaha jahat mereka dalam mengajak umat Islam yang lemah imannya serta kurang ilmu tentang Islam meragui serta meninggal ajaran Al-Quran atau sekadar menjadikannya sebagai bahan perhiasan sahaja di rumah atau di premis masing-masing. Ini adalah cabaran yang sangat besar kepada umat Islam hari ini dalam usaha mendaulat Al-Quran sebagai model perlembagaan dan kompas kehidupan.
Namun agak malang sekali kerana umat Islam hari ini seolah-olah melupakan Al-Quran di dalam hidup mereka kerana dilalaikan dengan kehidupan dunia sehinggakan tidak mempunyai masa untuk membaca atau menatapnya walaupun sekadar beberapa minit. Kadang-kadang kita boleh berada di hadapan televisyen dan komputer berjam-jam lamanya tetapi tidak mampu untuk membaca, meniliti, menelaah dan mengkaji Al-Quran walaupun sekadar beberapa minit sahaja sehari.
Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana Al-Quran adalah mukjizat yang sangat istimewa kerana ketika membacanya seolah-olah kita sedang berdialog dan berinteraksi secara langsung dengan Allah. Suatu yang sangat merugikan juga sekiranya kita mempunyai masa untuk membaca bahan-bahan tidak berfaedah seperti kisah hiburan yang melalaikan tetapi tidak berusaha mencari masa untuk membaca Al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan seharian.
Sehubungan itu, dalam fasa menuju bulan Ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi yang mana sangat banyak ganjaran di dalamnya, maka kita perlu berusaha bersungguh-sungguh membaca Al-Quran sebanyak mungkin dan kita tidak perlu menunggu sehingga sehingga tibanya Ramadhan tetapi memulakannya mulai hari ini dan seterusnya berazam agar bacaan berkenaan akan berkekalan sampai bila-bila dan bukannya bermusim atau ketika berlakunya musibah dan kematian sahaja.
Semoga roh Ramadhan dan motivasi Al-Quran mampu menjadi agen transformasi paling berkesan kepada umat Islam dalam membuat perubahan diri dari sifat negatif (mazmumah) kepada positif (mahmudah) serta mampu melonjak aktivisme amal ibadah ketahap paling maksima dan anjakan paradigma serta momentum dakwah dalam kehidupan yang penuh dengan pancaroba dan segala macam fitnah mehnah yang boleh melemahkan jika kita masih lalai dan alpa dalam apa jua yang dilakukan.
Ini adalah kerana tanpa panduan Al-Quran umat Islam tidak akan ke mana dan tidak berguna kerana akan terus berada di dalam kegelapan, kesesatan serta jauh daripada rahmat Allah. Oleh yang demikian, kita hendaklah berusaha mendekati Al-Quran, membacanya serta bertadabbur agar segala intipati, aspirasi dan pengajaran yang terkandung di dalamnya menjadi indikator dalam menentukan halatuju kehidupan kita sepanjang berada di muka bumi Allah ini sama ada dari segi ekonomi, undang-undang, prinsip kenegaraan dan sebagainya.
Comments