Firma Jepun terbit sukuk RM332 juta


Berita Harian Online | Firma Jepun terbit sukuk RM332 juta

BURSA Malaysia menerima penyenaraian asing sukuk keduanya bernilai AS$100 juta (RM332 juta) yang diterbitkan Nomura Holdings Inc.

Ia penyenaraian sukuk pertama Asia oleh sebuah entiti antarabangsa Jepun.

Bursa Malaysia dan Nomura dalam kenyataan bersama di Kuala Lumpur berkata, sukuk itu distrukturkan berasaskan prinsip syariah Ijarah (pajakan) yang diterima di seluruh dunia.

Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd adalah Pengatur Utama bagi melaksanakan penyenaraian itu.

Ketua Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff dalam kenyataan itu berkata, Malaysia kekal sebagai pasaran tunggal sukuk korporat paling aktif pada masa ini.

“Kita sememangnya telah mencapai satu lonjakan besar dalam pasaran sukuk dan penyenaraian sukuk Nomura ini menggambarkan lagi keyakinan peserta asing terhadap sekuriti dan instrumen Islam yang diterbitkan dari Malaysia,” katanya.

Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Nomura, Takumi Shibata pula berkata, melalui transaksi mercu tanda ini, Nomura mempelbagaikan sumber pembiayaannya dan meraih pasaran pembiayaan Islam yang semakin berkembang bagi pertama kalinya.
Katanya, terbitan itu sebahagian daripada usaha berterusan Nomura bagi memacu pertumbuhan ekonomi.

"Pelabur Islam dan kewangan Islam adalah sangat penting dan satu sektor yang berkembang dengan pesat di seluruh dunia dan transaksi ini sangat penting bagi Nomura dan bagi korporat Jepun," katanya.

Nomura adalah satu kumpulan perkhidmatan kewangan utama dan bank pelaburan berpangkalan di Asia yang unggul dengan jangkauan di seluruh dunia.

Dengan penyenaraian itu, Bursa Malaysia mencatatkan sejumlah program sukuk AS$20.9 bilion dengan 15 sukuk disenaraikan oleh 13 penerbit yang mana dua daripadanya adalah penerbit antarabangsa.

Comments

Popular Posts