Akta pindah banduan antarabangsa diluluskan

KUALA LUMPUR 4 Dis. - Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012 yang bertujuan membawa balik banduan warga Malaysia yang ditahan di luar negara bagi menjalani baki hukuman penjara di negara ini. Rang Undang-Undang itu juga membolehkan banduan warganegara asing di negara ini dipindahkan ke negara asal bagi menjalani baki hukuman penjara. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di Dewan Negara berkata, akta berkenaan hanya boleh dilaksanakan melalui hubungan dua hala menerusi negara yang bersetuju menandatangani perjanjian atau triti berkenaan. Beliau memberitahu, sehingga kini, seramai 2,622 warga Malaysia merangkumi 481 wanita sedang dipenjarakan di 59 negara di atas pelbagai kesalahan termasuk dadah, curi dan kad kredit. "Daripada 59 negara, 39 negara melaksanakan sistem pemindahan antarabangsa banduan dan secara keseluruhan, terdapat 99 negara di dunia melaksanakan sistem ini," katanya. Semasa membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara, Chee Leong berkata, akta itu diwujudkan kerana kes warga Malaysia ditahan di penjara luar negara semakin meningkat dan menyebabkan golongan itu terpaksa mengikuti acuan program pemulihan yang berbeza dari segi budaya, agama dan bahasa. Katanya, akta itu juga dapat mengurangkan jumlah banduan asing di Malaysia memandangkan statistik Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan lebih 40,000 warga asing telah ditangkap dan didakwa setiap tahun kerana pelbagai kesalahan. Selain rang undang-undang tersebut, sidang Dewan Negara hari ini turut meluluskan Rang Undang-Undang Hakmilik Strata (Pindaan) 2012 yang membenarkan pengeluaran hak milik strata dan pemilikan kosong atau 'vacant possession' diberikan secara serentak berbanding secara berasingan sebelum ini. Sidang Dewan Negara hari ini juga meluluskan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2012 yang bertujuan menaikkan had umur daripada 55 tahun kepada 60 tahun bagi kelayakan mendapat pencen ilat serta pencen penakat. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20121205/pa_05/Akta-pindah-banduan-antarabangsa-diluluskan#ixzz2Ew0mejPS © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts