Urus kewangan peribadi

Oleh SALMAN SULAIMAN BUKU Ke Mana Wang Anda? hasil karya Rohani Haji Mohd Shahir merupakan sebuah buku yang berbicara khusus berkenaan dengan pengurusan kewangan peribadi termasuklah tentang perancangan kewangan, mengurus perbelanjaan, pelaburan, hutang, bagaimana untuk meningkatkan pendapatan dan juga tentang persediaan kewangan untuk masa depan. Agak sukar sebenarnya sekarang ini untuk mencari sebuah buku yang berbicara khusus tentang perancangan kewangan di pasaran. Pastinya buku ini mampu memberikan manfaat yang besar kepada sesiapa yang ingin menguruskan pendapatan dan sumber kewangannya dengan baik serta teratur. Dalam mukadimahnya lagi Rohani menyebutkan tentang banyaknya rakyat Malaysia yang mendapatkan khidmat nasihat tentang kewangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) kerana kelemahan dalam pengurusan kewangan. Antara sebabnya ialah kerana kemahiran pengurusan kewangan ini tidak ada diajar di sekolah atau di institusi pengajian tinggi dalam negara kita. Malah menurut beliau lagi seseorang yang mempunyai kelulusan dalam bidang ekonomi atau perakaunan pun tidak semestinya mempunyai kemahiran dalam pengurusan kewangan peribadi. Buku ini mengandungi enam bab yang mana setiap tajuknya mampu berdiri sendiri tanpa mengikut urutan. Pembaca boleh menelaah buku ini dengan memulakannya pada mana-mana tajuk yang mereka suka tanpa perlu mengikut urutan babnya. Rohani menulis dengan bahasa yang mudah difahami oleh semua golongan pembaca tidak kira masyarakat awam atau golongan terpelajar. Antara satu perkara yang sangat penting yang beliau sebutkan berkenaan pengurusan kewangan ialah tentang ada yang mengatakan bahawa berapa gaji seseorang itu dapat tidak penting tapi yang penting berapa banyak yang dia dapat simpan atau dia berbelanja dalam sebulan. Di bawah tulisan yang bertajuk Survival Dalam Keadaan Serba-serbi Mahal beliau mencatatkan tentang kenyataan tersebut, "Sekarang gaji RM2,000 sebulan boleh dianggap miskin jika tinggal di bandar raya Kuala Lumpur - betul atau tidak? Kenyataan ini ada kebenarannya jika kita merupakan keluarga yang punyai sebuah kereta, sewa rumah, ada Astro, ada kad kredit dan pembiayaan peribadi serta pinjaman pendidikan." Buku ini dibahagikan kepada 6 bab utama dan setiap satu bab tersebut memberikan fokus kepada bahagian-bahagian tertentu yang sangat penting dalam pengurusan kewangan. Bab pertama, Merancang Kewangan yang memuatkan tulisan yang memberikan bimbingan khusus bagaimana untuk merancang kewangan. Namun yang tetap diberikan keutamaan oleh pengarang ialah berkenaan dengan hasil pendapatan yang berkat. Hal ini jelas apabila beliau memulakan bukunya dengan tulisan yang bertajuk Pendapatan Yang Berkat. Sebagai seorang perancang kewangan Islam, tentang keberkatan sumber rezeki ini menjadi satu perkara yang sangat penting yang ditegaskan berkali-kali oleh pengarang. Perkara penting lain yang turut dibincangkan dalam bab ini ialah tentang perlunya latihan menguruskan wang sendiri kerana menurut beliau ramai yang hanya mendapat latihan mencari wang tetapi tidak ramai yang dilatih bagaimana untuk menguruskan wang. Dalam bab Menguruskan Perbelanjaan, pengarang berbicara tentang ringgit yang berada di poket yang juga memerlukan perancangan. Ringgit akan lebih lama dalam poket jika pemiliknya lebih pandai merancang dan berjimat. Pelaburan Untuk Anak-anak pula menjadi judul kepada bab yang ketiga dalam buku ini. Antara perkara yang begitu penting yang dibicarakan ialah perlunya ibu bapa mengajarkan anak-anak tentang kewangan sejak mereka kecil lagi dengan menerapkan congak orang niaga kepada mereka. Satu hal lagi yang begitu penting ialah perlunya pelaburan untuk masa depan anak-anak dibuat oleh ibu bapa sejak awal lagi. Tentang perkara ini nampaknya kalangan bukan Melayu lebih mendahului orang Melayu. Kaum bukan Melayu lebih ramai yang menyediakan tabungan untuk pengajian anak-anak mereka berbanding orang Melayu. Mereka juga mesti diajar berjimat-cermat oleh ibu bapa sejak kecil lagi umpamanya dengan melatih mereka menabung. Dalam bab 4 penulis khusus berbicara berkenaan hutang dengan judul Hidup Selesa Tanpa Hutang. Apa yang perlu diketahui berkenaan hutang ialah perlu disemak, diperhalusi dan dicatat semua hutang-hutang yang masih belum dilangsaikan. Kurang ilmu dalam pengurusan kewangan jugalah yang menjadi penyebab seseorang itu menghadapi kemelut hutang. Bab 5 dengan judul Peluang Tingkatkan Pendapatan pula lebih menjurus kepada kaedah dan petua untuk menambah pendapatan keluarga yang turut dikongsi oleh pengarang buku ini. Pengarang buku ini memberikan beberapa cadangan dan contoh kerja sampingan yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan keluarga. Misalnya dengan menjadi ejen jualan langsung, ejen hartanah, wakil takaful atau berniaga secara kecil-kecilan di rumah juga mampu menjana pendapatan yang begitu lumayan. Malah pengarang mengemukakan satu tajuk khusus mengenai pekerjaan sebagai ejen takaful atau saham amanah Islamik yang mampu memberikan pendapatan lumayan. Tidak lupa pengarang menyebutkan tentang beberapa risiko apabila kita melabur. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121125/ke_04/Urus-kewangan-peribadi#ixzz2DylCg5Z7 © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts