Pengamal perubatan tradisional, komplementari wajib berdaftar

KUALA LUMPUR 3 Dis. - Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perubatan Tradisional dan Komplementari 2012 yang mewajibkan semua pengamal perubatan tradisional berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari yang akan ditubuhkan. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di Dewan Negara berkata, sebanyak 13,811 pengamal perubatan tradisional dan komplementari di seluruh negara telah berdaftar dengan kementerian sehingga kini. Katanya, menerusi akta tersebut, gelaran doktor hanya diberikan kepada pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang berkelayakan dengan lima tahun ijazah asas, di samping memenuhi kelayakan ditentukan majlis berkenaan. “Rang undang-undang ini tidak membenarkan individu yang hanya mengikuti kursus pendek (dalam bidang berkenaan) untuk menggunakan gelaran doktor, contohnya Dr. (H) untuk pengamal homeopati," katanya. Berhubung garis panduan perubatan Islam atau Rukyah, Rosnah memberitahunya, kementeriannya telah pun menerbitkan buku ‘Garis Panduan dalam Perubatan Islam’ yang perlu dipatuhi dan diikuti pengamalnya. “Perubatan Islam Rukyah ialah ikhtiar penyembuhan penyakit rohani dan jasmani oleh seorang Islam yang mahir dalam kaedah rawatan dengan mengggunakan ayat-ayat al-Quran atau hadis serta bahan-bahan atau kaedah dibenarkan syarak. Terdapat 600 pengamal perubatan cara ini yang berdaftar dengan kementerian," katanya. Dalam pada itu, menurut Rosnah, sehingga kini, terdapat lapan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang menawarkan program pengajian akademik dalam bidang perubatan tradisional dan komplementari. “Kursus yang ditawarkan termasuk program Ijazah Sarjana Perubatan Tradisional China, Ijazah Sarjana Muda Perubatan Tradisional China dan Ijazah Sarjana Muda Homeopati," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121204/dn_09/Pengamal-perubatan-tradisional,-komplementari-wajib-berdaftar#ixzz2Ew1FuiJn © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts