Ekonomi Islam perlu perubahan

Johor Bahru: Datuk Seri Najib Razak semalam menggesa ekonomi Islam melakukan perubahan dengan memanfaatkan sumber terbesarnya iaitu generasi muda tanpa mengorbankan tradisi, keseimbangan dan pembangunan. Perdana Menteri berkata, golongan muda tidak seharusnya dilihat sebagai liabiliti, sebaliknya sebagai aset, sumber yang belum diteroka bagi membolehkan negara membangun dan moden. Perkara ini memerlukan kepada kepemimpinan dan perubahan. Pertamanya, kita perlu memberikan fokus dalam pendidikan. Kita perlu memberi penekanan bersungguh-sungguh dalam latihan vokasional dan teknikal. Begitu juga standard dan hasilnya dalam memastikan bahawa pelajaran akan membuka peluang dan bukan menutupnya, katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Islam Dunia Kelapan (WIEF) di Persada Johor, di sini, semalam. Hadir sama Presiden Comoros, Ikililou Dhoinine; Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tharman Shanmugaratnam; Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Murad Ebrahim dan Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia, Tun Musa Hitam. Najib yang juga Penaung WIEF berkata, apa yang generasi muda Muslim mahu adalah peluang dalam sektor ekonomi dan bagi merealisasikan impian mereka, persekitaran ekonomi mapan berserta pendidikan dan pembaharuan ekonomi perlu dibangunkan. Katanya, ekonomi Islam juga mesti memahami perubahan kedua terbesar dalam kehidupan generasi muda, iaitu teknologi. Generasi hari ini tidak memahami sistem tertutup atau kerajaan satu hala. Mereka mengharapkan semua maklumat adalah bebas, demokrasi menjadi responsif dan komunikasi menjadi global. Mereka juga mahu memainkan peranan penting dalam ekonomi digital dan jika tidak berpuas hati, mereka tidak teragak-agak untuk memberitahu dunia, katanya sambil menambah negara Islam juga perlu membuka minda terhadap peluang yang ada dalam era ekonomi digital, menggalakkan kesederhanaan dan toleransi. Perdana Menteri berkata, kerajaan dunia Islam juga perlu bersedia melabur untuk generasi muda termasuk wanita dan meletakkan keyakinan terhadap mereka untuk terbabit dan turut serta dalam sektor ekonomi sepenuhnya. Katanya, segala perubahan dilakukan itu akan dapat membantu memanfaatkan sepenuhnya generasi muda yang menjadi antara sumber dan aset terpenting negara. Sebagai negara membangun, Malaysia amat komited untuk pembaharuan ekonomi dan sudah pun berdepan beberapa pilihan sukar sebelum ini. Kita tahu kita mesti memperbaiki penyampaian perkhidmatan awam dan menawarkan peluang baru bagi memastikan ia memenuhi kehendak rakyat, katanya. Pada 2010, kira-kira 60 peratus daripada penduduk dunia Islam berusia bawah 30 tahun dan menjelang 2030, masyarakat Islam akan merangkumi 26 peratus daripada penduduk dunia yang mana 60 peratus daripada jumlah itu berusia di bawah 30 tahun. sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/EkonomiIslamperluperubahan/Article

Comments

Popular Posts