Malaysia akan manfaatkan kewangan Islam

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Malaysia akan mengukuh dan memanfaatkan kelebihannya dalam kewangan Islam untuk meningkatkan penyepaduan kewangan dan hubungan dengan ekonomi antarabangsa, terutamanya untuk menyokong pengembangan aktiviti perdagangan dan pelaburan. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, kewangan Islam telah terbukti menjadi instrumen mujarab bagi negara untuk mencapai pembangunan ekonomi lebih terangkum, menyeluruh dan mapan. Beliau berkata, kewangan Islam bermula sebagai strategi bagi rangkuman kewangan yang lebih baik untuk orang Islam dan telah berkembang menjadi satu bentuk pengantaraan kewangan yang kompetitif bagi pelanggan runcit, perniagaan dan kerajaan. "Pada ketika ekonomi dunia mengalami kelembapan, kewangan Islam menjadi penting kepada agenda kita bagi pertumbuhan dan pembangunan mapan," katanya. Awang Adek berkata demikian pada Simposium Antarabangsa mengenai Pertumbuhan Mapan - Kestabilan Kewangan: Pengajaran bagi Tadbir Urus Ekonomi dan Sosial, di Tokyo semalam. Beliau berkata membangun di atas kekuatan dan kepakaran negara, sektor perkhidmatan kewangan Islam hari ini berkedudukan baik menjadi sektor utama pertumbuhan strategik bagi memudahkan transformasi ekonomi negara untuk menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi. Awang Adek berkata, pasaran sukuk Malaysia beransur-ansur menjadi pasaran bon Islam terbesar dunia, dengan penguasaan pasaran sebanyak 60 peratus, atau AS$108 bilion (RM324 bilion), dalam sukuk tertunggak pada akhir 2011. Beliau berkata, kedinamikan sukuk itu penting dalam menyumbang kepada pembangunan pasaran bon yang rancak, berkembang pada kadar 22.2 peratus setahun antara 2000 dan 2010. "Kami juga melihat peningkatan kukuh dalam penerbitan sukuk dalam nilai mata wang asing di Malaysia, menyumbang 14.5 peratus daripada sukuk dalam nilai dolar Amerika Syarikat yang diterbitkan di seluruh dunia," katanya. Persidangan itu mengumpulkan bersama 200 penganalisis dasar, sarjana ilmuan dan pembuat keputusan bagi dialog mengenai pertumbuhan mapan dan kestabilan kewangan. - BERNAMA Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121004/ek_03/Malaysia-akan-manfaatkan-kewangan-Islam#ixzz2Dyo8xsy9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts