Akta perbankan Islam, takaful tahun depan

Johor Bahru: Akta khusus bagi mengawal selia industri kewangan Islam dan takaful akan berkuat kuasa tahun depan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Beliau berkata, rang undang-undang bagi Akta Perkhidmatan Kewangan Islam dan Takaful itu sudah memasuki bacaan pertama dan kedua di Parlimen. “Buat masa ini, sektor kewangan Islam dikawal selia Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA) dan (selepas ini akan diambil alih) Akta Perkhidmatan Kewangan Islam dan Takaful (yang) akan mula berkuat kuasa tahun depan,” katanya pada sampingan Forum Kewangan Ekonomi Islam (WIEF) Ke8 di Johor Bahru, semalam. 'Beliau sebelum itu menyampaikan ucaptama pada forum bertajuk “Bersandar Ke Atas Kewangan Islam: Daripada Perundangan Kepada Nilai Ekonomi”. Zeti berkata, akta baharu itu bukan saja akan menyeragamkan keperluan perundangan bagi seluruh sektor, malah ia juga akan memastikan undangundang berkenaan turut mencerminkan ciri-ciri kontrak Syariah. Katanya, ia juga akan memastikan tahap peraturan adalah sepadan dengan tahap risiko institusi, pasaran dan produk kewangan Islam yang terdapat dalam seluruh sistem kewangan Islam. “Keperluan perundangan lebih jelas seperti dinyatakan oleh prinsip Syariah akan membolehkan peserta sistem kewangan Islam menyelaraskan amalan serta jangkaan masing-masing dengan tepat apabila mereka melaksanakan urus niaga serta perniagaan kewangan Islam,” katanya. Zeti berkata, walaupun pengamal dan ilmuwan kewangan Islam akan terus menggunakan sumber ‘fiqh muamalat’ untuk mewujudkan instrumen baru dan inovatif, rangka kerja perundangan masih perlu diperkukuh bagi memastikan ia diseragamkan dengan perkembangan baru dalam pasaran kewangan. Ini, katanya akan terus memberi keyakinan terhadap produk inovatif dan urus niaga kewangan. “Malah, ketika kegiatan kewangan Islam berkembang merentasi sempadan, pembangunan rangka kerja perundangan untuk memudahkan urus niaga akan menjadi teras yang paling penting. “Perlu ada pengiktirafan dan penerimaan badan kehakiman ke atas kontrak Syariah dalam sistem undangundang sivil,” katanya. Dalam perkembangan lain, Zeti berkata, Malaysia mempunyai kapasiti untuk melaksanakan pelarasan subsidi secara berperingkat tanpa memberikan tekanan kepada inflasi dan menjejaskan pengguna. Beliau berkata, ini kerana perniagaan dan syarikat tempatan mempunyai ruang mencukupi untuk mengawal serta mengurangkan kos pengeluaran masing-masing secara cekap. “Syarikat mampu menguruskan kos dengan cekap serta meningkatkan pengeluaran produk masing-masing untuk mengimbangi kenaikan harga kepada pengguna. Justeru ia tidak akan menyebabkan pengguna menanggung beban kos yang tinggi,” katanya. Pada pembentangan Bajet 2013, kerajaan mengumumkan rancangan untuk mengurangkan jumlah subsidi kepada RM37.6 bilion tahun depan yang meliputi harga barangan asas termasuk bahan bakar, gula dan minyak masak. Ia juga termasuk perbelanjaan melaksanakan beberapa program kebajikan sosial. Kerajaan dijangka membelanjakan RM42.4 bilion untuk subsidi tahun ini, 17 peratus lebih tinggi berbanding pada 2011. Paras inflasi Malaysia setakat Oktober lalu kekal stabil dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) hanya meningkat 1.3 peratus. - sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/AktaperbankanIslam_takafultahundepan/Article/

Comments

Popular Posts