Aset kewangan Islam berkembang 10-15 peratus

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Aset kewangan Islam dijangka berkembang antara 10 peratus dan 15 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang berikutan peningkatan permintaan bagi produk Islam serta pempelbagaian produk tersebut dalam pasaran. Pengarah Urusan Bank Dunia Mahmoud Mohieldin berkata potensi pertumbuhan bagi industri itu adalah besar dengan permintaan dan penawaran sebagai pemacu pertumbuhan. "Bahagian penawaran dipacu terutamanya oleh lebih banyak persaingan. Lebih banyak bank, bukan sahaja bank yang mempunyai ibu pejabat di negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) atau negara-negara dengan majoriti penganut Islam tetapi kita melihat banyak bank-bank seluruh dunia menawarkan kewangan Islam atau produk perkongsian keuntungan," katanya kepada pemberita di luar Forum Kewangan Islam Global (GIFF) ketiga, di sini, hari ini. Selain daripada itu, pempelbagaian produk juga semakin meningkat berbanding 10 hingga 15 tahun lepas, daripada instrumen perbankan kepada perkhidmatan kewangan bukan perbankan, katanya. Beliau berkata deposit dalam institusi kewangan juga mencatatkan pertumbuhan baik yang menawarkan beberapa instrumen kewangan berdasarkan kepada Perkongsian risiko dan keuntungan, memindahkan ini kepada pelaburan. "Jangan lupa yang aset kewangan standard dan industri bermula daripada asas yang sangat rendah oleh itu potensi pertumbuhan adalah besar. Saiz aset ketika ini berada sekitar AS$1.2 trilion hingga AS$1.3 trilion tetapi jika anda bandingkan dengan aset kewangan global, ia hanya kira-kira atau kurang daripada 0.5 peratus," kata Mahmoud. Aset kewangan Islam dijangka mencecah AS$1.6 trilion pada akhir tahun, katanya. Beliau berkata pertumbuhan perlu juga disokong oleh peraturan efektif berkaitan dan kualiti perkhidmatan yang boleh membantu kewangan Islam di masa depan. - BERNAMA Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20120918/ek_04/Aset-kewangan-Islam-berkembang-10-15-peratus#ixzz2Dyxioar2 © Utusan Melayu (M) Bhd

Comments

Popular Posts