Monday, December 03, 2012

Memperkukuh kewangan Islam

“SAYA belajar, kita perlu memberi semula kepada masyarakat. Dalam hidup kita perlu mempunyai keseimbangan iaitu belajar, mendapat dan mengembalikan semula (learn, earn and return)," tutur Iqbal Khan ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, SARAH NADLIN ROHIM di Kuala Lumpur, sehari sebelum beliau menerima Anugerah Diraja Kewangan Islam daripada Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada Rabu lalu. Tokoh perbankan Islam terkemuka berasal dari India ini ialah penerima kedua anugerah berprestij yang diperkenalkan pada 2010 untuk mengiktiraf individu yang memberi sumbangan luar biasa ke arah pembangunan kewangan Islam di peringkat global. Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Fajr Capital Limited, firma pelaburan Islam antarabangsa yang beroperasi di Dubai ini berkongsi sumber inspirasi, pandangannya terhadap hala tuju kewangan Islam dan hasratnya untuk terus menyumbang kepada pembangunan ummah. MINGGUAN: Tahniah. Apa perasaan menerima anugerah ini? IQBAL KHAN: Saya berbesar hati dan dengan rendah diri menerimanya sebagai penghargaan daripada industri kepada saya. Apa yang mendorong sehingga mencapai kedudukan sekarang? IQBAL KHAN: Motivasi terbesar saya ialah ibu sendiri yang sejak kecil bercerita mengenai tanggungjawab sosial korporat (CSR) semua agama termasuk Islam. Suatu hari kita perlu kembali kepada asas dan keturunan bagi menjalankan ekonomi mengikut kepercayaan dan bapa saya telah perkenalkan ekonomi Islam seawal usia. Saya bertuah dibesarkan di dalam keluarga cerdik pandai lalu mendorong saya mengambil jalan ini. Saya juga bertuah mempunyai mereka yang mengajar dan membantu sepanjang hidup. Bagaimana kerjaya anda bermula? IQBAL KHAN: Saya memulakan kerjaya dengan perbankan konvensional dan pelaburan di mana bermulanya pengenalan kepada Asia Barat sebelum terlibat dengan kewangan Islam pada 1991. Banyak perbezaan ketara kewangan Islam dahulu dan sekarang. Ia telah berkembang terutama dari segi jumlah produk termasuk pengenalan sukuk, takaful dan sebagainya. Kini terdapat juga pasaran baru yang berminat dengan kewangan Islam dan capaiannya semakin luas ke pasaran seperti England dan Singapura. Pada masa sama kita menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan. Kewangan Islam terpaksa mengharungi pelbagai cabaran untuk sampai ke tahap ini, apa pula cabaran yang bakal ditempuhi masa hadapan? IQBAL KHAN: Cabaran yang dihadapi seperti industri bank lain, bagaimana ingin menjadi lebih kompetitif, relevan kepada pelanggan dan mudah untuk menjalankan perniagaan. Apa yang perlu dilakukan adalah bekerja rapat dengan belia untuk membuatkan mereka lebih kompetitif dan mudah melakukan perniagaan, ia cabaran pada masa hadapan bagi kewangan Islam. Dari segi latihan kepada belia, adakah apa yang ada sekarang mencukupi? IQBAL KHAN: Satu bahagian yang perlu dilaburkan adalah dari segi latihan dan penyelidikan kepada profesional muda. Kelebihan kepada Malaysia apabila Bank Negara Malaysia (BNM) memulakan Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan dalam Kewangan Islam (INCEIF) yang Insya-Allah memainkan peranan penting dalam pembangunan pertumbuhan kewangan Islam. Saya percaya ia perkembangan penting dalam industri. Selain Malaysia, negara mana yang mempromosi kewangan Islam secara proaktif? IQBAL KHAN: Bahrain secara sejarah mempromosi, kemudian Dubai turut berminat. Terdapat juga pasaran-pasaran baru yang berminat seperti Oman yang telah membuka pasaran dengan membina lapangan yang luas, England turut terlibat dalam membangunkan rangka kerja baru. Adakah dunia Barat melihat kewangan Islam sebagai ancaman kepada sistem kewangan konvensional? IQBAL KHAN: Ia terserah bagaimana kita meletakkan kewangan Islam dalam pasaran. Ia adalah sukar bagi kewangan Islam terutama dalam meletakkan wang di tempat sewajarnya dalam membangunkan ekonomi, ia mengenai pelaburan beretika dan semestinya ia bakal diterima oleh setiap negara. Pada masa sama ia akan meningkatkan penyertaan dalam perbankan Islam dan bagi negara seperti England atau Singapura yang mempunyai rakyat Islam minoriti masih membuka ruang untuk rakyatnya mempunyai sistem perbankan tanpa perlu kompromi terhadap kepercayaan masing-masing. Apa lagi yang boleh dilakukan untuk mengembangkan kewangan Islam? IQBAL KHAN: Di peringkat global kita perlu terus berhubungan dengan negara-negara yang cuba untuk memahami kewangan Islam supaya mereka boleh bersikap terbuka. Kita dapat lihat inisiatif BNM dalam Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) menjemput dan berbincang dengan negara seperti China dengan menjelaskan mengenai manfaat kewangan Islam. Kedua, banyak negara mengalami perubahan apa yang dikenali sebagai Arab Spring, apabila orang ramai mengambil kuasa daripada kumpulan kecil. Apabila mereka mempunyai kuasa, mereka memilih kewangan Islam dan kita perlu menggalakkan penggunaan sistem kewangan itu bagi membawa kestabilan kepada ummah. Di peringkat global juga kita perlu bersetuju terhadap standard untuk sukuk dan sebagainya agar boleh membantu meluaskan pelaburan dan pembiayaan melangkaui sempadan. Selain itu, kita perlu melihat kepada perspektif global, terdapat banyak masalah sosial seperti kebuluran dan kemiskinan, kita boleh melakukan sukuk untuk perkara ini sama ada di peringkat domestik atau antarabangsa supaya wang dapat dijana pada hari ini. Bagaimana pula dengan Malaysia? IQBAL KHAN: Malaysia di kedudukan unik kerana sejak tiga dekad lalu telah menunjukkan kestabilan politik walaupun bertukar Perdana Menteri tetapi tetap konsisten untuk memperkukuh kewangan Islam. Kedua, kewangan Islam di Malaysia bersifat menyeluruh iaitu untuk penganut Islam dan bukan Islam. Ketiga, Malaysia mempunyai rangka kerja pelaksana disediakan oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti. Selain itu, Malaysia turut mempunyai inisiatif INCEIF dan kesemuanya adalah positif. Bagaimana untuk membawa perkara-perkara positif ini ke peringkat seterusnya? IQBAL KHAN: Ia dapat dilakukan dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan masa hadapan seperti kerja-kerja CSR, zakat dan wakaf. Wakaf perlu distruktur dengan baik memandangkan ia boleh menjadi sumber jangka panjang untuk mendapatkan dana. Kemudian, perlu mempunyai lebih banyak produk di samping pendidikan kepada pelanggan untuk menjadi lebih baik. Peluang besar dalam kewangan Islam adalah pengurusan aset dalam ekonomi sebenar pelaburan asas mudharabah seperti pengurusan aset untuk infrastruktur dan sebagainya. Malaysia mempunyai panduan dan kemampuan untuk berbuat demikian. Sebagai individu, adakah anda berpuas hati dengan sumbangan yang diberikan kepada kewangan Islam? IQBAL KHAN: Saya bertuah mempunyai peluang untuk menyumbang dalam platform terbaik iaitu Fajr Capital dan turut disokong oleh pemilik platform tersebut yang turut melibatkan pelaburan kerajaan Malaysia dan Dubai. Kami mempunyai kemampuan untuk menghubungkan ekonomi sebenar dengan mencipta beberapa siri institusi sebagai model. Pada saya ia mengujakan. Fajr Capital mempunyai Fajr Foundation untuk kerja amal. Ia bertanggungjawab menjalankan beberapa perkara pertamanya, mikro ekuiti iaitu pembiayaan mikro bagi negara-negara yang memerlukan. Kedua, penyelidikan dengan kerjasama institusi seperti INCEIF. Ketiga, mengajar kepimpinan. Yayasan ini ditubuhkan bertujuan membantu kewangan Islam dalam jangka panjang. Bagaimana pula dengan kerja-kerja amal yang dilakukan sendiri? IQBAL KHAN: Secara peribadi, apa yang dilakukan oleh Fajr Capital melalui Fajr Foundation adalah sesuatu yang positif. Sebagai pemegang amanah Pusat Muslim London, ia organisasi unik yang menjadikan masjid sebagai pusat komuniti apabila terdapat gimnasium, pusat wanita, pusat mencari kerja dan sebagainya. Terdapat juga tempat bagi orang ramai mendapatkan maklumat seperti pendermaan organ dalam Islam dan banyak lagi. Saya turut terlibat dalam pembangunan belia Islam. Saya percaya sebagai seorang Islam, sekiranya telah berjaya, menjadi tanggungjawab anda membantu generasi muda. Adakah perkara-perkara ini akan dilakukan apabila bersara nanti? IQBAL KHAN: Bapa saya pernah mengajar, tiada erti bersara dalam hidup ini. Ia cuma ada retirement (bersara) dan retryment (mencuba semula). Beliau profesor di universiti dan apabila bersara beliau melalui proses retryment dengan menubuhkan sekolah untuk orang kelainan upaya dan kanak-kanak. Saya belajar, kita perlu memberi semula kepada masyarakat. Dalam hidup kita perlu mempunyai keseimbangan iaitu belajar, mendapat dan mengembalikan semula (learn, earn and return). Sekiranya Allah memberikan umur yang panjang, saya ingin menyumbang kepada industri dengan menulis dan terlibat dalam mengajar kepimpinan. Ibu bapa ialah inspirasi anda, adakah idola lain yang mendorong untuk mencapai kedudukan sekarang? IQBAL KHAN: Saya bertuah dibesarkan di kalangan cerdik pandai. Guru-guru ialah mentor ketika di sekolah. Sebagai pemuda saya berpeluang mengenali pemimpin tertinggi India melalui bapa saya. Ketika bekerja, saya berpeluang bekerjasama dengan Presiden Bank Pembangunan Islam (IDB). Saya meminati apa yang telah dilakukan oleh Tan Seri Zeti Akhtar Aziz dan bapanya Profesor Diraja Ungku Aziz yang memperkenalkan Tabung Haji dan sebagainya. Bapa saya telah mengajar saya, kita boleh belajar daripada sesiapa sahaja. Setiap interaksi sesama manusia adalah peluang untuk belajar dan saya mempercayainya dan menerima manfaat daripadanya. Nasihat kepada anak-anak muda. IQBAL KHAN: Kerja keras dan dapatkan keseimbangan dalam hidup. Ketika belajar perlu menjadi yang terbaik, jangan fikirkan jalan mudah untuk sampai ke destinasi seterusnya. Buat yang terbaik dan ikut kehendak diri. Jangan terlalu mengejar kebendaan dalam hidup tetapi kejarlah kecemerlangan. Selain itu, hormati kedua ibubapa. Rasa hormat tersebut membolehkan kita mendapat perkara terbaik dalam hidup kerana syurga di bawah tapak kaki ibu dan doa ayah adalah terbaik. Seluruh hidup saya, tidak pernah memberi ruang untuk ibu bapa berkecil hati, apa sahaja yang mereka hajati saya akan cuba tunaikan. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120923/re_13/Memperkukuh-kewangan-Islam#ixzz2DyoySAmZ © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: