Thursday, December 13, 2012

Pinda akta daun ketum kepada Akta Dadah Berbahaya

KUALA LUMPUR 12 Dis. - Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Dalam Negeri digesa mengkaji semula undang-undang berkaitan penyalahgunaan daun ketum agar dipinda kepada Akta Dadah Berbahaya, berbanding Akta Racun yang digunakan sekarang. Ahli Dewan Negara, Mohd. Khalid Ahmad berkata, pindaan itu juga perlu merangkumi kesalahan menghidu gam yang banyak dilakukan golongan remaja di negara ini. Katanya, hal demikian ini kerana denda kesalahan penyalahgunaan air daun ketum yang mengkhayalkan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 didapati rendah iaitu tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun. "Kajian Persatuan Pengasih Malaysia menunjukkan ramai yang mengambil air daun ketum untuk dicampur dengan kopi bagi mendapatkan tenaga dan ramai anak remaja terbabit dalam hal ini," katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 dalam sidang Dewan Negara hari ini. Mohd. Khalid menambah, dakwaan sesetengah pihak kononnya minum air daun ketum boleh menurunkan tekanan darah tinggi dan sebagainya adalah tidak benar dan diragui. "Kalau betul, kenapa pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2012) tiada pameran mengenai air daun ketum seperti tongkat ali dan kacip fatimah," katanya. Dalam pada itu, Ahli Dewan Negara, Datuk Boon Som Inong memberitahu, penjualan air daun ketum oleh penduduk tempatan di utara tanah air kepada rakyat Thailand juga didapati berleluasa. "Sudah seperti industri dan mereka boleh jual sekitar RM30 sepeket kepada orang Thailand namun di negara itu ia adalah satu kesalahan," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20121213/pa_02/Pinda-akta-daun-ketum-kepada-Akta-Dadah-Berbahaya#ixzz2Ew05c2hO © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: