Wednesday, December 05, 2012

Potensi besar kewangan Islam untuk berkembang - Najib

JOHOR BAHRU 4 Dis. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ber kata, kewangan Islam mempunyai potensi sangat besar untuk terus dikembangkan memandangkan sering mendapat pengiktirafan dari luar dunia Islam. Beliau berkata, jika diteliti, kewangan Islam mempunyai sumber pembiayaan yang baik, selain lebih mencerminkan ekonomi sebenar, kurang spekulasi, mampu mewujudkan perkongsian dan kestabilan jangka panjang. Menurutnya, skop membangunkan kewangan Islam juga amat luas, malah kurang digunakan berbanding pembiayaan konvensional. "Hari ini, kita lihat sudah ada pengiktirafan kepada kewangan Islam," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Kelapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini. Beliau mengulas bagaimana Malaysia boleh menaikkan status kewangan Islam, terutama dengan peranannya sebagai peserta kewangan Islam terkemuka di dunia. Najib yang juga Menteri Kewangan turut menyebut tentang ucapan khas Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tharman Shanmugaratnam sebelum itu yang mengatakan bahawa kewangan Islam mempunyai masa depan yang amat cerah. Tharnam yang juga Menteri Kewangan Singapura dalam ucapannya berkata, kewangan Islam bakal menawarkan peluang signifikan bagi pertumbuhan dan kepelbagaian dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. Beliau juga optimis dengan perkembangan kewangan Islam atas beberapa faktor, antaranya institusi kewangan Islam tidak terkena tempias semasa krisis ekonomi global, sekaligus berpotensi untuk terus berkembang. "Selain itu, kewangan Islam juga mempunyai potensi untuk berkembang dalam bidang-bidang lain seperti pembiayaan perdagangan dan infrastruktur serta pada masa sama boleh memenuhi permintaan pembiayaan produk asas yang mudah," katanya. Bagaimanapun, beliau berkata, kewangan Islam masih mempunyai ruang untuk penambahbaikan, selain beberapa cabaran penting bagi memastikan pertumbuhan kewangan Islam selari dengan kewangan global. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121205/ek_03/Potensi-besar-kewangan-Islam-untuk-berkembang---Najib#ixzz2EAH6OsMm © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: